Rabu, Februari 10, 2016

RAHMAN OLA BOLA DAN 1001 JASA PENGULAS SUKAN.


RAHMAN OLA BOLA DAN 1001 JASA PENGULAS SUKAN.
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Terima kasih, buat semua “Rahman” yang banyak berjasa, kepada peminat sukan tanah air.
Menyaksikan gelagat Rahman (Bront Palarae ) dalam filem “Ola Bola”, menyingkap suka-duka seorang pengulas sukan. Sungguh, tidak mudah untuk menjadi seorang pengulas yang disenangi ramai, apalagi untuk dikenang dalam sejarah.
Pastinya, kepada generasi sebelum alaf baru, suara pengulas di corong radio dan peti TV, menjadi santapan hiburan para peminat yang tidak dapat turun ke stadium.
Berikut kami di Retro Bola Sepak (RBS) bingkiskan semula, sedikit coretan – tentang pengulas sukan legenda Malaysia...
----------------------------------------
“Saya Hasbullah bin Awang, 4331208 mengajak saudara mengenali antara bintang-bintang yang kian mengerdip…”
Begitulah antara celoteh awal Dato’ Haji Hasbullah Awang, pengulas sukan legenda ketika bertugas mengendalikan rancangan ‘Tunas Harapan’ di Radio Malaysia Siaran Tempatan Kuantan pada 1974.
Beliau juga pernah mengendalikan rancangan radio ‘Soal Jawab Agama’.
Titik tolak permulaan Haji Hasbullah sebagai pengulas sukan bermula pada 1978, apabila Othman Haji Muhammad tidak dapat hadir ke stadium untuk mengulas perlawanan di antara Pahang menentang Singapura.
Antara pengulas sukan yang sebaris dengan beliau ialah Datuk Rahim Razali, Abdullah Hashim, Sherkawi Jirim, Jamaluddin Alias dan Amin Mahir.
Nyata, bukan mudah untuk menganalisis serta memberikan pandangan dalam sesuatu rancangan sukan, apatah lagi bila ianya disiarkan secara langsung. Setiap pengulas perlu berada dalam kelas tersendiri, sentiasa menterjemah perlawanan dengan adil, berfakta dan menarik.
Memetik kata-kata bekas pengacara rancangan ‘Dunia Sukan’ (TV3), Jahidin Ahmad: “Mengulas itu adalah satu kerja seni. Setiap pengulas perlu mencari identiti sendiri”.
Bagi mereka yang membesar ketika zaman 90an, suasananya masih berbeza berbanding kini, apatah lagi ketika era tersebut, Liga Semi-Pro mula diperkenalkan oleh FAM dan menjadi kegilaan rakyat Malaysia.
Ketika itu, kebiasaannya, ‘highlight’ akan disiarkan ketika ‘Evening News’ di TV3, sekitar pukul 11 malam.
Kebiasaannya, para pengulas mempunyai ciri dan karisma tersendiri pada setiap patah dan gaya tutur bahasa yang diterjemah daripada tindakan luar jangka.
Salute tinggi buat para pengulas sukan tanah air yang berjasa.
Padu & Grande; buat semua.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan