Isnin, Julai 27, 2015

SKUAD KAMPUNG LARUT TIN, JOHAN PIALA MERDEKA 1978.

SKUAD KAMPUNG LARUT TIN, JOHAN PIALA MERDEKA 1978.
Orang dulu kalu tengok bola, sampai boleh cekik referee wo dia punya fanatik...”
Era 60an-70an merupakan antara dekad kemuncak bola sepak negara. Malaysia dibarisi dengan barisan nama tokoh sukan serta atlet yang bermain bermati-matian.
Tahun-tahun tersebut juga menyaksikan SuperMokh, meski sudah tersohor, tetap pergi ke kampung-kampung di kawasan Lembah Klang - mencari bakat muda yang boleh diketengahkan untuk beraksi dengan pasukan seperti PKNS dan Selangor.
Padang-padang dipenuhi dengan penonton awam yang melimpah-ruah; bersorak dan mengkritik sekuat hati.
Tahun itu tahun 1978. Setiap ceruk di Malaysia penuh dengan anak-anak muda yang beraspirasi untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya.
Ada yang mahu menjadi seperti Raja Bola Ghani Minhat, SuperMokh Dahari, Towkay Soh Chin Aun, Santokh Singh, Aru The Spiderman mahupun Ali dan Isa Bakar.
Menyarung jersi pasukan, meskipun pasukan kampung, adalah kebanggaan yang mesti dizahir dengan aksi yang sepenuh jiwa.
Sementara itu di Taiping, anak-anak muda Kampung Larut Tin membuktikan bahawa mereka bukan calang-calang.
Dengan susah-payah serta kekurangan, serta disiplin yang tinggi; mereka berjaya mengharumkan nama Larut Tin, kawasan bijih timah yang bersejarah.
Padang Esplanade berhampiran Lake Garden menjadi saksi apabila mereka muncul juara Piala Merdeka, Liga Matang.
Mereka turut bermain dalam Divisyen Dua, Liga Taiping, Perak. Salah-seorang anggota pasukan Kampung Larut Tin, Mohamad Bakar meneruskan kerjaya sebagai pemain pasukan Perak FA.
Tahun berikutnya, empat orang anggota skuad ini menyertai angkatan tentera.
Zaman yang indah.
* Kongsikan pengalaman serta gambar retro Tuan-Tuan mahupun saudara terdekat di halaman Retro Bola Sepak (RBS); sebagai inspirasi serta memori indah.
Bahawa negara kita pernah mempunyai para pemain bola yang bersemangat serta berdisiplin tinggi, meski beraksi untuk skuad kampung masing-masing.
Semoga minat dan semangat kita untuk memartabatkan bola sepak tak pernah luntur.
Padu dan Grande; buat mereka yang berjasa dalam bola sepak Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan