Selasa, April 14, 2015

Terima kasih, Sabah yang ramah!


Terima kasih, 
Sabah yang ramah!
Alhamdulillah, baru-baru ini berkesempatan bercuti di Sabah bersama isteri tercinta, Nur ‘Aliaa. Antara tempat yang sempat kami kunjungi ialah Desa Cattle, Desa Dairy Farm di Tanah Tinggi Mesilau, Kundasang; Rumah Terbalik Sabah di Tamparuli; ‘Poring Hot Spring’ di Ranau; Kota Kinabalu Wetlands; Pulau Sapi; Pulau Manukan; dan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu.
Memang banyak tempat menarik di Sabah, namun apa yang penting ialah, pastikan kita berbelanja mengikut kemampuan, dan membuat sedikit kajian dan semakan – berkenaan kos dan perbelanjaan sebelum ke sana.
Sempat juga saya menyelam ‘bundle’ di tanah tinggi Kundasang. Selain harga pakaian yang murah, pilihannya juga pelbagai. Saya dimaklumkan bahawa ramai peniaga pakaian lusuh-terpakai di Kundasang, tinggal di Kota Kinabalu – kira-kira dua jam lebih perjalanan. Kagum dengan semangat dan kesungguhan para peniaga di sini.
Sekadar peringatan, memandangkan laluan ke Kundasang dari Kota Kinabalu memerlukan kita melalui kawasan berbukit-bukau seperti Cameron dan Genting Highland, maka pemanduan yang cermat adalah penting. Apalagi, menjelang Asar, kawasan tersebut akan mulai berkabus tebal – dan membuatkan pandangan menjadi terhad.
Meskipun banyak tempat yang indah kami kunjungi, namun lawatan ke Muzium Sabah dan Kampung Budaya, benar-benar memberi kesan kepada saya. Mengenali sejarah Negeri Di Bawah Bayu lebih dekat, selain peluang untuk lebih menghargai kekayaan tradisi, budaya dan etnik di Malaysia, adalah kesyukuran yang tak bertepi.
Alhamdulillah, sempat ketemu dengan sahabat pengumpul jersi dari Sabah, Bro Stefano Di Franco. Terdahulu, sempat juga ngeteh dengan Cikgu Rasyeed Syed, pengumpul jersi otai yang sudi belanja minum dan menghadiahkan jersi.
Terima kasih Nisa dan Bari; sebab sudi belanja kami makan tengah hari. Paling utama -- terima kasih Sabah; atas segala keramahan dan indah kenangan. Ada rezeki dan panjang umur, kita jumpa lagi.
In sya ALLAH.
:)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan