Rabu, September 03, 2014

27hb Ogos 2014: Selangor tumpas, 1 - 2 kepada Sime Darby.


I
27hb Ogos 2014: Selangor tumpas, 1 - 2 
kepada Sime Darby.
Alhamdulillah, pada 27hb Ogos 2014, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola Sepak (RBS) sempat menyaksikan perlawanan di antara pasukan Selangor yang berdepan Sime Darby di Stadium Shah Alam untuk aksi perlawanan pusingan kedua kumpulan D, kempen Piala Malaysia 2014 yang bermula jam 8.45 malam pada hari Rabu.
Menariknya, kali ini Sahabat KJK dan RBS turut ditemani oleh dua bekas bintang Liga-M yang pernah menyarung jersi Selangor, Abg Shahril Arsat dan Abg Jamsari Sabian. Terkenal dengan keramahan dan sifat tidak sombong mereka, kedua-duanya juga pernah menjulang Piala Malaysia bersama skuad The Red Giants.

II
Pada perlawanan pusingan pertama kumpulan yang berlangsung pada Sabtu sebelumnya di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor telah menewaskan Sime Darby 2-0 menerusi jaringan Paulo Rangel dan Hazwan Bakri.
Anak didik Mehmet Durakovic gagal mengulangi untuk memastikan jaminan selesa di peringkat seterusnya walaupun mendahului lawan. Kini, laluan Juara Piala Malaysia 32 kali ini dilihat sedikit berliku menjelang pertemuan malam nanti menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah pun mengesahkan slot di pusingan seterusnya.

III
Turun dengan barisan terkuat, tuan rumah mempunyai beberapa peluang terhidang yang gagal diterjemahkan dengan jaringan gol seharusnya menjadi pengajaran. Selangor dibarisi oleh: Farizal, Kunalan, Shahrom, Panter, Azmi, Andik, Veenod, Nazmi, Rizal, Hazwan, dan Rangel. Paulo Rangel dan Shahrom Abd Kalam antara pemain berpeluang meletakkan tuan rumah di hadapan namun sebaliknya berlaku.
Namun, kerja keras pemain Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Ahmad Hazwan tenang menewaskan Mohd Sufian selepas tidak dikawal pertahanan lawan. Pergerakan gandingan menarik pemain Selangor, Ahmad Hazwan bersama rakan pasukannya Paulo Rangel menghasilkan gol menarik pada minit ke-63 pada separuh masa kedua perlawanan.

IV
Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Fahrul Razi Kamaruddin meledak jaringan penyamaan pada minit ke-75 untuk mengejutkan tuan rumah. Tekanan berterusan menyaksikan Farizal sekali lagi tertewas menerusi tandukan Mateo Roskam yang memanfaatkan hantaran Juzaili Samion pada minit ke-82 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas mengharungi empat perlawanan, Selangor mengutip 6 mata dan berada di tempat kedua kumpulan D. Menang-kalah-seri: semuanya adat permainan. Perjuangan pasukan Belia (Bawah 19 Tahun) Selangor untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas berakhir bila tewas kepada pasukan Perak, 1-2 di Stadium Hang Tuah pada peringkat suku akhir. Peluang masih ada dan masih ada yang kekal yakin bahawa The Red Giants mampu ke peringkat seterusnya.

V
Seperti biasa, soal Stadium Shah Alam yang lengang kembali menjadi perbualan ramai pihak. Ada yang menghentam, ada yang memboikot, ada juga yang memberikan cadangan-penyelesaian. Kita semua ada kenangan masing-masing ketika muda/kecil. Stadium yang penuh, ‘scoreboard’ yang berfungsi baik, pengumuman nama-nama pemain sebelum perlawanan bersama gambar seperti di Stadium Larkin sekarang. Selingan tendangan penalti separuh masa, dan dapat hadiah buat penyokong terpilih.
Apalah kiranya, kita meriahkan lagi Stadium Shah Alam khususnya, supaya jadi kenangan indah buat generasi kecil dan yang lebih muda. Perkara pokok, kita perlu penuhi stadium dulu, beri sokongan padu buat pemain, setiap kali berkelapangan. Kalau bukan kita, siapa lagi. Kita boleh terus mengkritik pengurusan, tapi sementara kita memberi cadangan konstruktif, kita perlu sedar, di depan kita, para pemain skuad Merah-Kuning sedang berjuang atas nama Selangor.

VI
Kini, tarikan SSA mungkin kurang, tidak semegah era 90an dulu. Tapi, sokongan tidak boleh surut. Tarikan stadium satu hal, kesetiaan penyokong satu hal yang lain. Itu kita perlu jelas dan semat dalam jiwa bersama. Ya, kita mesti menghargai sejarah silam. Tapi, realiti hari ini juga perlu kita tanggapi dan dokong. Selagi ada kelapangan dan kemampuan, turun ke stadium, beri sokongan. Ini pasukan kita - Selangor Darul Ehsan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan