Selasa, Jun 03, 2014

Sekitar Majlis Peluncuran naskah “Mudahnya Maqasid Syariah”, karya Dr Jasser Auda.


1997: Kelihatan (mantan) Presiden ABIM, Dr Muhammad 
Nur Manutty sewaktu Wacana Khas anjuran ABIM 
sempena kehadiran Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.
1997: Kelihatan (mantan) Presiden ABIM, 
Dr Muhammad Nur Manutty sewaktu Wacana Khas 
anjuran ABIM sempena kehadiran Syeikh 
Yusuf al-Qaradhawi.

Ustaz Siddiq Fadzil, sewaktu 
memimpin ABIM.
Ustaz Siddiq Fadzil, 
1985.
Tayangan video kedatangan Syeikh Qaradhawi 
ke Yayasan Anda pada 1985.
1985: Syeikh Qaradhawi menyampaikan ucapannya, 
sambil diterjemahkan oleh Ustaz Ghani Shamsuddin.
1985: Ustaz Siddiq Fadzil di Yayasan Anda, 
bertindak selaku pengerusi majlis.
Ustaz Ghani Shamsudin sedang menterjemahkan 
ucapan Syeikh Qaradhawi.


Naskah Risalah terbitan ABIM yang membuat liputan berkenaan
kedatangan Syeikh Qaradhawi.
ILSAS-UNITEN, tempat 
seminar berlangsung.
Seputar Majlis Peluncuran naskah 
“Mudahnya Maqasid Syariah”, karya Dr Jasser Auda.
I
Majlis Peluncuran naskah “Mudahnya Maqasid Syariah”, karya Dr Jasser Auda (30hb Mei 2014).
Alhamdulillah, Majlis Peluncuran naskah “Mudahnya Maqasid Syariah”, karya Dr Jasser Auda telah dilangsungkan dengan jayanya pada 30hb Mei 2014, di Auditorium Abu Zahrim, Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), UNITEN, Selangor Darul Ehsan. ‘Peluncuran’ merupakan istilah yang lazimnya digunapakai di Indonesia.
Dalam kebiasaan, masyarakat Malaysia menggunakan istilah pelancaran. Maksudnya sama – ‘launch’. Dari aspek teknikal, tiada perbezaan makna. Istilah peluncuran atau luncur menggambarkan keadaan yang lebih membumi, berbanding peluncuran atau lancar. Luncur ke bawah, lancar ke atas.
Selain peluncuran buku terjemahan ke bahasa Melayu ini yang asalnya gabungan dua karya Dr. Jasser berjudul “Maqasid for the Beginner” dan “Facilitating Maqasid Al-Shariah” (Bayn al-Syari’ah wa al-Siyasah), turut diadakan sesi tandatangan bersama hadirin serta ‘Wacana Maqasid Syariah’.
Dr. Jasser Auda merupakan Timbalan Pengarah Pusat Perundangan dan Etika, Fakulti Pengajian Islam di Doha, Qatar. Beliau telah diberi kepercayaan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi untuk menulis kajian mengenai pemikiran Maqasid menurut al-Qaradhawi. Buku itu telah dikarangnya dan telah diterbitkan.
Kepercayaan seorang guru besar dunia Islam seperti Syeikh al-Qaradhawi menunjukkan pengiktirafan beliau terhadap kesarjanaan Dr. Jasser. Pelbagai buku lagi ditulisnya, mendapat pujian pelbagai sarjana termasuk oleh tokoh terkenal, Syeikh Abdullah Ben Bayyah.

II
Penterjemah buku ini ialah Saudara Marwan Bukhari, diterbitkan oleh PTS, serta disunting oleh Saudara Jufitri Bin Joha, manakala penyuntingnya ialah Dr. Zulkifli Hasan (Exco Shariah dan Kewangan Islam ABIM). Dengan mendapatkan naskah ini, kita berpeluang memahami peranan Maqasid dalam perkembangan Islam kontemporari serta memahami Maqasid sebagai satu projek pembangunan dan hak-hak asasi manusia.
Naskah ini juga memuatkan pemahaman berkenaan Syariah dan interaksi dengan masyarakat majmuk serta hakikat pelaksanaan Hudud. Untuk makluman, naskah ini boleh ditempah dengan menghubungi atau menghantar SMS ke  nombor: 019-288 1300 atau 019-293 6300.

III
Perasmian majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Cikgu Haji Amidi Dato’ Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Mantan Presiden PKPIM itu menzahirkan rasa kagumnya tatkala melihat kehalusan pekerti Dr. Jasser Auda, yang sentiasa berebut untuk membuka pintu dan saling mempersilakan insan di sekelilingnya.
Dilahirkan pada tahun 1966 dan berperwatakan sederhana, Dr. Jasser dilihat memperlihatkan perwatakan seorang Arab Mesir yang baik, yang suka memuliakan orang lain. Dr Jasser yang memegang dua PhD dalam bidang hukum juga tidak segan silu untuk menyantuni Murabbi Umat, Ustaz Siddiq Fadzil apabila saling menuangkan air ke gelas masing-masing.
Pengerusi Majlis pada majlis tersebut ialah Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin. Sementelah, Saudara Marwan Bukhari pula menyampaikan kata aluan serta pengenalan ringkas mengenai disiplin Maqasid Syariah. Menurut beliau, konsep ‘Maqasid Syariah’ dilihat sebagai sebuah asas dalam pembaharuan pemikiran Islam. Ia merupakan tujuan, matlamat, kebijaksanaan atau apa-apa perkataan yang seumpamanya yang terkandung dalam setiap arahan Syariah.
Syariah yang dimaksudkan ini bukan sekadar hukum-hakam fiqh atau undang-undang jenayah, sebaliknya dalam erti kata yang lebih luas iaitu sebuah cara hidup (a way of life), lantas merangkumi soal akidah, ibadat dan hukum-hakam praktikal. Ia merupakan sebuah jalan yang terang, atau turut disebut sebagai al-Tariqah al-Ilahiyyah (jalan keTuhanan).

IV
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Kolej Dar al Hikmah (KDH), Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan aluannya, menyebut bahawa “Maqasid Syariah adalah disiplin yang menyerlahkan matlamat, nilai, hikmah, dan kebijaksanaan di sebalik hukum – ‘wisdom behind the ruling’.” Adalah penting, menurut beliau, untuk kita saling bertukar pandangan, buah fikiran dan mendengar kupasan ringkas surah-surah al-Quran dengan ‘orientasi kekinian’.
Dr Jasser memperkatakan tentang soal Fiqh (Islamic Jurisprudence) serta matlamatnya. Beliau turut menegaskan bahawa pemeliharaan Islam tidak terhad hanya untuk mengangkat hukum dan undang-undang agama tersebut, tetapi juga merangkumi pemeliharaan imej positif agama Islam itu sendiri. Menurutnya, “Syariah merupakan asas kepada hikmah, keadilan, keprihatinan serta kebaikan manusia.”
Tambah beliau lagi, “Sekiranya keadilan sosial didefinisikan secara falsafah dan diukur secara praktikal menerusi ‘hak-hak asasi’ (fundamental rights), maka kita boleh mendefinisi dan mengukurnya di dlama Islam menerusi ‘Maqasid Syariah’. Hal yang demikian, pemeliharaan hak asasi manusia – daripada perspektif Islam – adalah pemeliharaan kehidupan, kepercayaan (keimanan), pemikiran, maruah dan harta – pada tahap individu dan masyarakat yang berbeza-beza.”

V
Bengkel ‘Memahami Maqasid Syariah: Belia dan Masyarakat Madani -- 
Isu dan Cabaran’ di IAIS.
Selain itu, Dr Jasser Auda turut dijemput ke Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS)  Malaysia (International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia) sebagai pembentang dalam program diskusi: ‘Bengkel Memahami Maqasid Syariah: Belia dan Masyarakat Madani -- Isu dan Cabaran’ (Workshop on Maqasid Al-Shari’ah: Youth and Civil Society -- Issues and Challenges).
Beliau mengulas berkenaan bagaimana Maqasid Syariah mampu menentukan objektif hasil kerja kita, menentukan keutamaan dalam hidup kita, serta membentuk asas persamaan antara satu sama lain, baik yang menganut Islam mahupun belum memeluk agama suci tersebut. Dr. Jasser sebelum itu turut menikmati sarapan pagi sambil berdiskusi snatai bersama Prof. Dr. Hashim Kamali dan Dr. Azam di IAIS.
Sementara itu, Pengerusi serta Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) IAIS, Prof. Mohammad Hashim Kamali turut membentangkan berkenaan perbincangan soal kebebasan dan hak asasi manusia di dalam Islam. Hal ini, menurut beliau, merupakan pembangunan agenda Islam yang sangat penting di Malaysia, berbanding isu-isu kecil yang terlalu diperbesar-besarkan.
Menerusi bengkel ini, para peserta dan hadirin berkesempatan untuk berinteraksi dengan Dr. Jasser Auda sendiri mengenai beberapa perkara seperti: ‘memahami asas serta kepentingan Maqasid Syariah’, ‘perlaksanaan Hudud dan Maqasid Syariah’ serta ‘Maqasid Syariah dan masyarakat belum Islam’.

VI
Terdahulu, pada 30hb Mei 2014, MobTV menerusi slotnya, ‘Let’s Talk’ turut menjemput anak murid dan sahabat Dr. Jasser, Saudara Marwan Bukhari untuk mengupas soal Maqasid Syariah sempena Peluncuran Buku Dr Jasser Auda dan Wacana Intelek Maqasid Syariah di Dewan Abu Zarim, ILSAS, UNITEN. Program ini dikendalikan oleh Penolong Setiausaha Agung ABIM, Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Kuliah Sabtu (Saturday’s Lecture) di Bilik Latihan, Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (International Institute of Islamic Thought and Civilization - ISTAC), Kuala Lumpur turut dijalankan pada 31hb Mei 2014. Kuliah ini telah dianjurkan oleh Pusat Perikatan Ketamadunan Antarabangsa (International Centre for the Alliance of Civilisations - INTAC) dan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (International Institute of Islamic Thought - IIIT). Tajuk yang disampaikan ialah 'Pembinaan Negara-Bangsa dalam Konteks Maqasid Syariah' (Nation Building in the Context of Maqasid Al-Shariah).

VII
ISTAC ditubuhkan pada 27hb Februari 1987 diasaskan pengarah pertamanya iaitu Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ia merupakan institusi kajian dan pasca-siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Institut ini menawarkan 10 program dalam lima bidang utama di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran (Ph.D) mengenai Islam dan tamadun-tamadun lain yang turut merangkumi bidang falsafah, teologi, etnik dan isu kontemporari, sains Islam, dunia kontemporari Islam dan keagamaan.
Perpustakaan ISTAC menghimpunkan pelbagai koleksi manuskrip, jurnal, monograf dan buku-buku yang menjadi rujukan sarjana Islam dari seluruh dunia. Perpustakaan tersebut mempunyai koleksi bahan rujukan beberapa pakar dan ahli penyelidik dalam bidang kajian pemikiran, sejarah, agama, budaya dan tamadun yang kesemuanya berjumlah 40,000 jilid.
Untuk rekod, penubuhan INTAC pada 2012 adalah bertujuan melahirkan graduan berkualiti khusus kepada bidang berkaitan yang mempunyai kredibiliti untuk membuat kajian, sekali gus memberi maklumat tepat kepada mereka yang memerlukan.
IIIT pula ditubuhkan pada 1981, dan merupakan antara yang terawal mengusulkan idea mengIslamisasikan ilmu pengetahuan. Visi bersama IIIT adalah untuk mengIslamisasikan disiplin ilmu kontemporari melalui seminar dan penerbitan. Usaha institut ini banyak menggabungkan dengan jalinan pandangan dunia Islam dengan kaedah saintifik terutamanya bidang sains sosial dan kemanusiaan.
Di ISTAC, Dr. Jasser menyatakan bahawa “Maqasid Syariah bukan hanya berkaitan perihal perundangan, dan hukum-hakam. Ia sebenarnya berkaitan membentuk sistem fikir yang mampu keluar dari legar kebiasaan.”

VIII
Selain itu, pertemuan para ilmuan secara santai turut dijalankan iaitu di antara; Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri, Ustaz Abd. Ghani Shamsuddin (mantan Timbalan Presiden ABIM pada 1985-1987), Dr. Jasser Auda, Dr. Wifaq Mokhtar dan Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali (mantan Timbalan Presiden ABIM pada 2005-2007).
Sesungguhnya, kehadiran Dr Jasser disenangi ramai pihak, di atas ketinggian ilmu serta kehalusan akal budinya. Bergambar ‘selfie/usie’ di Pejabat ABIM Taman Cemerlang, menikmati durian di Bangi, serta kembara ilmu sepanjang berada di Malaysia, digambarkan oleh Dr Jasser sebagai pengalaman indah dan membahagiakan.
Memetik kata-kata Syeikh Rohimuddin al-Bentani (cucu saudara Imam Nawawi al-Bentani), ‘dimensi kerohanian adalah ‘missing link’ dalam gerakan Islam’. Oleh yang demikian, wajar untuk kita bangkit dan bekerja dalam nuansa kebangkitan semula Islam – ‘sohwah Islamiyah’; ‘Islamic resurgence’ atau ‘reawakening’ – bersama dimensi kerohanian yang jitu, dinamik dan progresif.
Intihanya, terima kasih Dr Jasser Auda. Tahniah Saudara Marwan Bukhari. Tahniah Dr Zulkifli Hasan. Syabas Cikgu Amidi dan Saudara Jufitri Bin Joha. Tahniah juga buat Abim Pusat. Kita jumpa lagi dalam program wacana akan datang. Bersama menegakkan kebenaran dan keadilan. Hidup biar berjasa. Padu. 

--------------------------------------------------------------

Sumber:
  1. Dr Jasser Auda, Maqasid al-Shariah: A Beginner’s Guide (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2008);
  2. Dr Jasser Auda, Bayn al-Shariah wa al-Siyasah, cetakan pertama (Beirut: Arab Network for Research and Publishing, 2012);
  3. Dr Jasser Auda, Maqasid as-Shariah as Philosophy of Islamic Law (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2007);
  4. Dr Tariq Ramadan, To Be A European Muslim (Leicester: Islamic Foundation, 1999);
  5. http://www.marwanbukhari.com/2014/02/pendekatan-maqasid-dalam-teori.html;
  6. https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia?fref=ts;
  7. https://www.facebook.com/wasif.wan?fref=ts;
  8. https://www.facebook.com/muhammad.ezzat?fref=photo;
  9. https://www.facebook.com/marwan.bukhari.5;
  10. https://www.facebook.com/hadie04?fref=photo;
  11. https://www.facebook.com/raziffuad?fref=photo;
  12. https://www.facebook.com/jasseraudamalaysia?fref=photo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan