Isnin, Mei 19, 2014

Majlis Hi-Tea Bekas Pemain Selangor bersama Kelab Jersi Kita (KJK).


Majlis Hi-Tea bersama 
Bekas Pemain Selangor dan Kelab Jersi Kita (KJK).
18hb Mei 2014: Alhamdulillah, petang tadi, Kelab Jersi Kita (KJK) dan ASFC telah menganjurkan majlis Hi-Tea bersama para bekas pemain Selangor FA yang berjasa. Antara bekas pemain yang hadir ialah Abang Shahril Arsat(treble Piala Malaysia 1995, 1996 dan 1997); Abang Jamsari Sabian (treble 2005); Abang Nor Suhaimi Kenon (Juara Liga Malaysia 2000); dan Abang Elie Aiboy (treble 2005).
Majlis yang dianjurkan pada 18hb Rejab 1435H (Ahad) ini berlangsungd ari jam 5.30 petang hingga 7 malam; dan bertempat di Restoran Putera Ayu yang terletak di Lot 34486-2, Jalan Besar Padang Jawa, 41300 Shah Alam, Selangor.
Sesi dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan perasmian oleh wakil KJK dan ASFC. Seterusnya, program dilanjutkan dengan sesi perkongsian nostalgia para bekas pemain sewaktu beraksi bersama Selangor. Selain itu, sesi autograf dan ramah mesra bersama bekas pemain turut dianjurkan bagi merapatkan lagi hubungan ukhwah sesama mereka.
Sahabat KJK turut membuka booth mini yang mempamerkan jersi-jersi nadir (rare) pasukan-pasukan liga bola sepak Malaysia dari era Semi-Pro sehinggalah sekarang. Antara barangan lain yang dipamerkan ialah memorabilia bola sepak tempatan (tiket perlawanan era 90an, bola dari tahun 60an, pingat, setem bola sepak lama dan barangan berkaitan sejarah bola sepak Malaysia) serta buku-buku dan majalah-majalah lama bola sepak Malaysia.
Masih lagi pada peringkat proses pendaftaran pendaftaran pertubuhan, Presiden Jawatankuasa Penaja KJK merupakan Saudara Asmizan Kasmawi atau lebih dikenali sebagai ‘AzmieSwitchimage’. Timbalannya pula ialah Saudara Kheiriel Hembeley Mohd Zakaria (King Kheiriel) dan Setiausahanya ialah Saudara Zairudin Hashim (Che Din).
Selain ‘booth’ di Karnival Syria Needs You (2014) di Stadium Malawati, KJK juga pernah membuat pameran di beberapa karnival dan program seperti Karnival Belia Putrajaya (2013) dan Karnival Sukan TV3 (2013) di Sri Pentas, Bandar Utama.
Selain membuka gerai pameran dan jualan, KJK turut mengadakan perlawanan bola sepak padangpersahabatan secara berkala serta futsal pada setiap Jumaat, pukul 10 malam di The Challenger Sports Centre, berhampiran Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang. Selain itu, ahli-ahli KJK turut turun ke stadium setiap kali perlawanan Liga-M, serta yang melibatkan pasukan kebangsaan. Hal ini bertujuan merapatkan hubungan sesama ahlinya.
Paling penting, tiada istilah siapa hebat atau tidak dalam KJK. Semua pengumpul jersi dan majalah bola sepak lama, tanpa mengira latar keturunan mahupun status, diraikan sebagai ahli keluarga. Kewujudan KJK juga agak signifikan bagi membolehkan ahlinya membuat rujukan atau pertanyaan sesama mereka berkenaan kualiti serta nilai sesuatu jersi, selain membuat rujukan berkenaan kaedah atau tempat yang paling sesuai untuk membuat sesuatu jersi ‘DIY’.
Komunikasi seperti ini penting bagi mendapatkan maklumat untuk mengelakkan unsur penipuan -- di mana para ahli dapat membantu satu-sama lain jika terdapat penipuan; baik daripada pihak pembeli mahupun penjual jersi Liga-M.
Mempunyai wakil di setiap negeri di seluruh Malaysia, kelab ini ditubuhkan dengan tujuan mengeratkan silaturrahim sesama pengumpul jersi dan majalah lama bola sepak tempatan. Matlamat jangka panjang KJK adalah ingin mengeluarkan e-book dan buku bercetak berkenaan sejarah bola sepak Malaysia serta jersi Liga-M.
Juga, KJK berhasrat untuk menubuhkan cawangan berdaftar di setiap negeri bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menghargai jersi tempatan melalui pameran yang dibuat di seluruh negara. Akhir sekali, KJK berhasrat untuk mempunyai galeri pamerannya sendiri bagi membolehkan koleksi arkib bola sepak negara dipamerkan kepada orang awam.
Akhir kalam, terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan program Hi-Tea bersama bekas pemain Selangor ini. Ada rezeki, kita anjur lagi. Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan