Jumaat, Mei 09, 2014

Mac 2001: Aksi Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 2002.

Mac 2001: Aksi Malaysia 
dalam Kelayakan Piala Dunia 2002.
Malaysia mengharungi kelayakan Piala Dunia 2002 pada Mac 2001. Kelayakan itu diadakan secara dua pusingan; dengan pusingan pertama dilangsungkan di Hong Kong pada 3-11hb Mac 2001 manakala pusingan kedua di Doha, Qatar pada 20-25hb Mac 2001. Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan Tiga bersama Hong Kong, Qatar dan Palestin.
Anak buah Allan Harris turun menentang Qatar di Hong Kong pada 4hb Mac 2001. Pada masa itu kem pasukan kebangsaan baru lepas reda dari insiden ‘Hard Rock Trio’. Rosdi Talib (Terengganu) melakukan kejutan dengan gol pendahuluan pada minit ke-9. Tapi kemudian Khairil Zainal (Negeri Sembilan) dibuang padang dan hasilnya Qatar membolosi gawang Malaysia yang dikawal Mazlan Wahid (Sarawak) dengan 5 gol.
Malaysia tewas 1-5 kepada Qatar di Stadium Negara, Hong Kong, dengan gol saguhati djaringkan oleh Rosdi Talib pada minit ke-9. Pada Mac 2001, kita menang 2-0 ke atas Hong Kong di stadium yang sama, hasil sumbangan Akhmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke 46 dan 79. Selanjutnya, pada 11hb Mac 2001, Malaysia tumbang tipis kepada Palestin, 0-1 di Hong Kong.
Di Al Sadd, Doha, Malaysia sekali lagi seri 0-0 dengan Qatar pada 20hb Mac 2001. 23hb Mac 2001 menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Hong Kong, di mana gol tunggal Negara dijaringkan oleh Hairuddin Omar pada minit ke-86. Pada 25hb Mac 2001, Malaysia menang 4-3 ke tas Palestin di Al Arabi Club, Doha. Gol-gol Malaysia disumbangkan oleh Akmal Rizal (21’), Hairuddin Omar (54’, 68’), dan Irwan Idrus (56’).
Piala Dunia FIFA 2002 merupakan edisi ke-17 Piala Dunia FIFA, berlangsung di Korea Selatan dan Jepun dari 31 Mei-30 Jun. Kedua-dua buah negara dipilih sebagai tuan rumah oleh FIFA pada Mei 1996. Untuk kali pertama dalam sejarah, Piala Dunia dianjurkan di dua buah negara. Ia juga merupakan kali pertama Piala Dunia diadakan di Asia. Brazil memenangi kejohanan untuk rekod kali kelima, menewaskan Jerman 2–0 di final.
Sejumlah 199 pasukan cuba untuk layak ke Piala Dunia FIFA 2002 dimana proses kelayakan bermula dengan undian awal pada 1999. Juara bertahan Perancis dan dua tuan rumah Korea Selatan dan Jepun layak secara automatik dan tidak perlu bermain sebarang perlawanan kelayakan. (This was the last time that the defending champions automatically qualified).
Tiga belas tempat telah disaingi oleh pasukan-pasukan UEFA (Eropah), lima oleh pasukan-pasukan CAF (Afrika), empat oleh pasukan-pasukan CONMEBOL (Amerika Selatan), empat oleh pasukan-pasukan AFC (Asia), dan tiga oleh pasukan-pasukan CONCACAF (Amerika Utara dan Tengah Dan Caribbean). Baki dua tempat telah ditentukan dengan playoff antara AFC dan CONCACAF dan antara CONMEBOL dan OFC (Oceania). Empat negara layak untuk kejohanan akhir buat pertama kalinya: China, Ecuador, Senegal, dan Slovenia.
Pastinya para peminat bola sepak Malaysia mengeluh lagi apabila skuad negara masih tidak berupaya menyerlah pada pentas antarabangsa sesudah tamat kelayakan Piala Dunia 2002. Dua kemenangan daripada enam perlawanan yang dicatat dalam kempen kelayakan Kumpulan Tiga Asia ini, pantas dikira menyimpang daripada kehendak mereka. Peminat yang begitu dahagakan kegemilangan sejak sekian lama, terkilan lagi kerana jalan cerita baru yang diyakini, rupanya berbalik kepada yang lama.
Sukan nombor satu di negara ini terus gagal menghulurkan rasa bangga kepada para peminat ketika taraf bola sepak mereka telah beralih kepada profesional sepenuhnya sejak lebih sedekad. Sesudah skuad Abdul Rahman Ibrahim agak memberi keyakinan pada kempen Piala Tiger 2000, pasukan Allan Harris tidak mampu meneruskan rentak itu dalam kelayakan Piala Dunia ini.
Tetapi Harris, jurulatih dari England yang ditugaskan menyambung kemajuan pasukan negara sesudah kontrak Rahman tamat hujung tahun lalu, tampak punya tiga alasan utama atas kegagalan pasukan bimbingannya. Pertama, Harris membawa pasukan ke peringkat lebih tinggi dan lebih kompetitif berbanding Piala Tiger. Keputusan yang dicatat sudah dijangka semua. Kedua, Harris kehilangan tiga pemain utama pada saat akhir dan terpaksa memanggil pemain bidan terjun.
Dan ketiga, bendera putih di kem Malaysia dikibar lebih awal sesudah melihat undian kumpulan dan skuad yang sepatutnya disediakan khusus untuk kelayakan Piala Dunia ini, dijadikan bahan ujian untuk sasaran lebih utama, pingat emas Sukan SEA XXI Kuala Lumpur pada 2001. Empat gol yang dijaringkan Akmal untuk bergelar penjaring terbanyak bersama penyerang Qatar, Mohammed Salem Al-Enazi dan Emad Ayoub El Kair dari Palestin, adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.
Tetapi apa pula peranan Rusdi Suparman, Ahmad Shahrul Azhar, Bahtiar Othman, Rosdi Talib, Khairil Zainal, B. Rajinikandh, Bobby Pian serta beberapa lagi pemain senior dalam pasukan kebangsaan. Mereka adalah agen yang menyokong peningkatan pemain Sukan SEA 2001 ini dan lambat laun menjadi legenda kepada generasi baru yang bakal lahir. Skuad Bawah 23 Tahun Malaysia kemudiannya memenangi pingat perak, selepas tewas tipis, 0-1 kepada Thailand di Stadium Bukit Jalil. 
Apa pun, keputusan yang dicatat skuad negara dalam kelayakan ini sekadar mengulangi kegagalan-kegagalan lalu. Malah, tempat ketiga adalah lebih buruk berbanding skuad Wan Jamak Wan Hassan dalam kelayakan yang sama, 1997 lalu. Harus diteliti dan dikaji secara mendalam, mengapa Malaysia tewas 2-1 kepada Hong Kong pada pusingan kedua di Doha dan gagal mengatasi Palestin pada pusingan pertama di Hong Kong ketika ramai yang menganggap dua pasukan itu sepatutnya mudah diatasi.
Menariknya, Palestin, sebuah pasukan yang tidak dikenali di peringkat antarabangsa, mencuri tumpuan dengan aksi kental merampas tempat kedua, yang sepatutnya milik Malaysia. Malah skuad itu hampir pula membuat kejutan. Begitu juga Hong Kong yang semakin maju bola sepaknya. Biarpun dianggap tidak setanding, Palestin dan Hong Kong sudah membuktikan di mana mereka sebenarnya ketika ini. Malaysia perlu lekas sedar di mana pula mereka. Kobar jiwa semangat. Hidup Malaysia kita. Padu.
BARISAN SKUAD KEBANGSAAN:
Ketua delegasi: Datuk Dr. Ibrahim Saad;
Jurulatih: Allan John Harris;
Penolong jurulatih: B. Sathianathan;
Penolong jurulatih: Norizan Bakar;
Jurulatih penjaga gol: Lim Chuan Chin;
Pemain: Mazlan Wahid, Mohd. Syamsuri Mustaffa, B. Rajinikandh, Juzaili Samion, Rosdi Talib, Khairil Zainal, Rusdi Suparman, Gilbert Cassidy Gawing, Hairuddin Omar, Jaafar Salleh, Mohd. Shukor Adan, Irwan Fadli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian (ketua pasukan), Bahtiar Othman, V. Saravanan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Abdul Ghani Malik, Bobby Pian, Anuar Jusoh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan