Selasa, April 29, 2014

Template Jersi Final Piala Malaysia 1979.

Final Piala Malaysia 1979: Selangor, 2-0, Singapura.
Semenjak 1967-1979, piala baru telah diperkenal dengan nama ‘Piala Malaysia’ bagi menggantikan Piala HMS Malaya dan Perak sekali lagi menjadi pasukan pertama memenangi piala baru tersebut. Selangor terus memperkukuhkan status sebagai pasukan yang paling digeruni sepanjang tempoh ini dengan memenangi 9 trofi Piala Malaysia dari 13 perlawanan akhir. Nasib berbeza terhadap Singapura kerana hanya menjuarai sekali pada tahun 1977 setelah lima kali mencuba.
Kekebalan Selangor didorong oleh beberapa pemain berkaliber negara ketika itu. Antaranya Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, mendiang R. Arumugam, Soh Chin Aun, Chow Kwai Lam , Hanafiah Ali dan beberapa pemain lain. Kekuatan pemain-pemain ini disetiap posisi padang telah menaikkan nama Selangor diarena bolasepak tanah air. Hanya pasukan Terengganu sahaja merupakan pasukan baru yang muncul pada perlawanan akhir pada 1973.
Empat buah pasukan negeri telah layak ke Separuh Akhir Piala Malaysia 1979, selepas menduduki empat tangga teratas liga. Separuh Akhir Pertama berlangsung pada 3hb Jun 1979, menemukan Pahang yang tewas, 0-1, kepada Singapura manakala Selangor menewaskan Sabah, 3-1.
Pada pusingan kedua yang berlangsung pada 9hb Jun 1979, Singapura menewaskan Pahang, 2-1, manakala Selangor mengalahkan Sabah, 4-0. Seperti yang kita sedia maklum, zaman kegemilangan skuad Sabah bermula pada penghujung tahun 1970-an. Stadium Likas pernah menjadi tempat yang menggerunkan. Malahan ada yang menyifatkan stadium itu sebagai ‘kuburan’ bagi setiap pasukan pelawat yang bermain menentang pasukan Sabah yang gagah perkasa satu ketika dahulu. Pada masa ini jugalah beberapa pemain berkualiti dilahirkan.
Tahun 1979 merupakan tahun kegemilangan buat bola sepak Sabah apabila berjaya memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia ketika pertama kali menyertai kejohanan itu. Kejayaan Sabah pada masa itu tidak terlepas daripada peranan yang dimainkan oleh Stanley Chew, jurulatih bolasepak Sabah ketika itu. Melalui kepakaran beliau sebagai jurulatih Sabah, lahirlah pemain-pemain yang hebat dan berkualiti seperti Hassan ‘Cucuk’ Sani, ‘King’ James Wong, Peter Rajah, Awang Sabtu dan ramai lagi nama-nama lain yang turut mencorak warna dalam sejarah bolasepak Sabah.
Barisan legenda inilah yang membantu Sabah menjadi naib juara liga dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia pada tahun 1979 dan paling menarik, Sabah menjadi pasukan yang paling banyak menjaringkan gol. 
Tidak cukup dengan itu, status Sabah semakin melonjak apabila gergasi Inggeris, Manchester United berkunjung ke bumi Sabah pada tahun 80-an untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan. Perlawanan tersebut menyaksikan United menewaskan pilihan Sabah dengan jaringan 0-2. Sementara itu, pada perlawanan akhir, Selangor menjulang Piala Malaysia pada tahun 1979 setelah berjaya menewaskan Singapura, 2-0.
SuperMokh menulis dalam kolumnya yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times pada 9hb September 1982, bahawa beliau ditawarkan sebanyak $20,000 untuk tidak menjaringkan gol dalam perlawanan akhir menentang Singapura. Terdahulu, SuperMokh menyatakan bahawa beliau pernah ditawarkan sebanyak $5,000 dan $2,000: juga untuk tidak menjaringkan gol, dalam Final Piala Malaysia 1978 (menentang Singapura) serta Final Pestabola Merdeka 1978 (menentang Korea Selatan). Hal ini menunjukkan bahawa isu rasuah telah pun membarah dalam kancah bola sepak Malaysia semenjak sekian lama.
Semoga era kegemilangan SuperMokh akan menjelma kembali, tatkala kita berdoa agar isu mengatur perlawanan tidak lagi menjadi racun yang membunuh bola sepak negara. Julang semangat zaman. Padu.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Che Din. Nak mintak Che Din uploadkan gambar label atau washtag atau nombor yang menunjukkan id code item ni. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam alaik, Boh. In sya ALLAH, akan diusahakan. Padu. :)

      Padam