Isnin, April 21, 2014

Liga Super 2014: Selangor menang, 1-0, ke atas Lions XII di Shah Alam.

I
Liga Super 2014: Selangor menang, 1-0, ke atas Lions XII di Shah Alam.
19hb April 2014: Alhamdulillah, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola Sepak (RBS) berkesempatan menyaksikan perlawanan pusingan kedua Liga Super 2014; di antara Selangor dan Lions XII di Stadium Shah Alam (SSA).  Kekecewaan Selangor yang baru tersingkir untuk layak ke pusingan kedua Piala AFC, ditebus dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas juara bertahan, Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi bagi terus menghambat pendahulu liga, Pahang FA. 
Selangor membariskan penyerang berbisa, Paulo Rangel dan Thamil Arasu pada bahagian depan manakala Lions XII meletakkan Sufian Anuar dan ketua pasukan, Safuwan Baharudin sebagai jentera yang menggerunkan lawan. Selain Thamil dan Rangel, antara kesebelasan utama Selangor ketika menentang Lions XII ialah Farizal Marlias, Bunyamin Umar, Rizal, Shahrom Kalam, Azmiey, Panta, Veenod, Kunanlan, dan Andik Vermansah.













II
Dengan seorang lagi import baru dari Brazil, Evaldo Silva dos Santos yang didaftar menggantikan Junior Aparecido digantung perlawanan akibat kad merah diterimanya pada aksi sulung bertemu Perak minggu lalu, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic menggandingkan Shahrom Kalam dan Rizal Fahmi Rosid di posisi pertahanan manakala Pantelidis ditarik ke posisi tengah bergandingan dengan S. Veenod. 
Sebelum perlawanan, Selangor memutuskan untuk membatalkan hasrat mendaftar pemain tengah import baru dari Brazil, Clebinho Viana pada pintu perpindahan kedua yang ditutup semalam bagi membolehkan pemain pertahanan import dari Australia, Steve Pantelidis terus dikekalkan sehingga hujung musim. Pantelidis membalas kepercayaan itu apabila berjaya menanduk masuk gol tunggal kemenangan Selangor pada minit ke-23 selepas menyambung tandukan awal Paulo Rangel hasil sepakan sudut Andik Vermansah. 
Bersambung babak kedua, Selangor berpeluang menambah jaringan tetapi tandukan jarak dekat Rangel pada minit ke-55 diselamatkan penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud. Jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad kemudian mengeluarkan Sufian Anuar selepas penyerang yang meledak hatrik ketika mereka menewaskan Pahang 4-1, Selasa lalu itu kurang menyerlah untuk menggantikannya dengan Firdaus Kasman minit ke-66. Bagaimanapun, Pantelidis sekali lagi berpeluang menambah jaringan buat dirinya dan Selangor pada minit ke-80, namun tandukannya hasil sepakan sudut Andik berjaya ditepis keluar Izwan.


III
Tatkala berbesar hati dengan tindakan FAS yang membuat pusingan-U apabila mengekalkan Pantelidis dan menyingkirkan calon pengganti beliau, Barbosa, saya terasa sedikit sayu apabila pemain Merah Kuning yang berpotensi besar, Raimi Md Nor dilaporkan dipinjamkan ke Felda United. Beliau menerima penghormatan dan sorakan daripada para penyokong di Stadium Shah Alam selepas perlawanan menentang Lions XII.
Beliau kelihatan terharu dek penghormatan yang diberikan oleh penyokong The Red Giants itu. Raimi dikhabarkan hanya dipinjamkan ke Felda United selama satu musim sahaja, memandangkan masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Selangor FA.
Kendati, melihat kepada kemampuan Raimi yang baik tetapi kurang diberikan peluang; ada kebaikannya juga jika beliau pergi untuk mengembangkan bakat – daripada hanya duduk di bangku simpanan. Selamat maju jaya kepada Raimi, semoga berjaya dengan pasukan baharu. Terima kasih di atas segala jasa yang dicurahkan selama bersama Sang Gergasi Merah.
PKNS pula telah mengesahkan bahawa mereka telah melepaskan Nazmi Faiz Mansor ke Selangor tanpa mendedahkan nilai perpindahan. PKNS dan Selangor FA juga turut bersetuju untuk kerjasama pertukaran pemain di masa depan memandangkan kedua-dua pasukan adalah dari negeri yang sama. Semoga Nazmi dapat membuktikan kemampuan sebenar beliau di Selangor, sebagaimana aksi hebatnya sewaktu di kemuncak prestasi sewaktu menyarung jersi negara.

IV
Timbul sedikit kontroversi apabila Rangel enggan digantikan meskipun telah diarahkan oleh Mehmet dan pengadil pada minit-minit akhir perlawanan. Akibatnya, beliau telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana melengah masa pertukaran gantian pemain dan diarahkan keluar padang pada perlawanan tersebut. Beliau malah terus menuju ke terowong pemain, tanpa bersalaman atau duduk di bangku simpanan Selangor FA. Namun, penting untuk dinyatakan di sini bahawa demikianlah sifat seorang penyerang tulen; yang enggan digantikan selagi belum menjaringkan gol.
Selangor dilihat banyak melepaskan peluang untuk menambahkan gol, tatkala kedua-dua pasukan gagal menunjukkan dominasi dalam perlawanan tersebut. Shahrom Kalam berjaya menampilkan aksi mantap dalam mengekang tonggak Lions XII, Sufian Anuar yang mengkucar-kacirkan kubu Tok Gajah dalam perlawanan terdahulu. Masa penuh: Selangor, 1-0, Lions XII. Keputusan ini sekaligus menamatkan kemarau tiga tahun tanpa menang Red Giants ke atas Sang Singa. 

V
Tahniah kepada sekalian pemain, pengurusan serta penyokong Selangor di atas 3 mata yang kita perolehi. Sasaran seterusnya ialah untuk memenangi Liga Super dan Piala Malaysia. Terima kasih kepada para pemain yang sudah mula menghargai penyokong-penyokong yang hadir ke Stadium. Tahniah juga kepada semua penyokong yang memenuhi Stadium Shah Alam.
Momentum sudah ada, tinggal lagi konsistensi prestasi Selangor dan kehadiran penonton yang menjadi persoalan. Apa jua keputusan selepas ini, semoga pemain Merah Kuning tetap mengekalkan disiplin serta tahap persembahan yang jitu, di samping kesetiaan para penyokong yang hadir memberikan sokongan dan dokongan. Barang diingat: Selangor tidak akan selamanya menang. Sokong; jangan hanya waktu gagah. Sokong juga; waktu gagah dan rebah.
Akhir kalam, selamat berjuang, duhai Gergasi Merah Kuningku. Berjuang tak pernah senang, ombak derita tiada henti. Kobar jiwa semangat. Maju Selangor. Forza Selangor. Viva Selangor. Padu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan