Isnin, April 14, 2014

Liga Super 2014: Selangor, 1-0, Perak FA di Stadium Shah Alam.


I
Liga Super 2014: Selangor, 1-0, Perak FA di Stadium Shah Alam.
Alhamdulillah, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola Sepak (RBS) berkesempatan menyaksikan perlawanan pusingan kedua Liga Super 2014; di antara Selangor dan Perak di Stadium Shah Alam (SSA).  Dalam situasi yang jarang-jarang berlaku, SSA dipenuhi dengan ramai penonton, sehingga ramai terpaksa beratur panjang di luar stadium untuk membeli tiket, laksana sebuah perlawanan penting membabitkan skuad Gergasi Merah. Bagi mengelakkan situasi tidak diingini, para penyokong yang beratur panjang sehingga pukul 9.15 malam telah dibenarkan masuk secara percuma oleh pihak keselamatan serta pengurusan stadium.
Dalam perlawanan sebelum ini, Selangor berjaya menewaskan Perak 1-0 di Ipoh, tetapi seri 1-1 dengan T-Team, sekaligus mengagalkan selangor untuk menduduki tangga pertama, dan akhirnya sekadar menduduki tempat kedua liga. Selain tewas kepada Selangor, 0-1 di laman sendiri pada 5hb April 2014, keputusan FAM menolak satu mata dan menghadiahkan 2 mata kepada T-Team berikutan insiden pertukaran pemain di bawah 48 jam, merudumkan lagi moral pemain perak. Bukan itu sahaja, berbagai konflik dalaman terpaksa dihadapi oleh skuad Perak dengan pemain import yang digugurkan, meski belum sempat beraksi. Perak juga dahagakan penyerang dalam sentuhan mendapatkan gol, selain ketandusan idea di atas padang.

II
Sementelah, pasti ramai yang mengenali sosok penyokong sejati Gergasi Merah ini. Kelibatnya yang sering melaungkan “1, 2, 3…. Ombak!” kepada para penyokong Selangor sebelum diikuti dengan alunan lambungan ombak ‘Mexican Wave’ sepanjang stadium sedari era Stadium Merdeka lagi. Beliau yang dimaksudkan ialah Saudara Osman Ombak, yang berasal dari Batu 9, Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Banting, Selangor dan berkhidmat dengan Proton. Beliau yang dianggap sebagai penyokong ‘Otai’ dan ‘Legenda Selangor’ kebiasaannya melaksanakan ‘tugas’ selaku pelaung ‘sorakan ombak’ itu di Pintu 8, SSA.

III
Meskipun SSA sudah agak lama tidak digunakan memandangkan terdapat kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan dilakukan, masih terdapat kekurangan yang signifikan iaitu soal keselesaan jemaah yang ingin bersolat di Surau SSA. Hal yang demikian, adalah sangat diharapkan agar pihak pengurusan stadium dapat memperbaiki serta memperbesarkan surau tersebut memandangkan keluasannya yang agak kecil sehingga menyebabkan para penyokong terpaksa menunaikan solat di luar surau, selain tiada kemudahan tempat solat untuk kaum wanita. Masalah keselesaan untuk mengambil wudhu’ juga berlaku, di mana tekanan air yang keluar agak rendah, sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa menunggu lama. Terdapat juga banyak rungutan berkenaan tempat duduk penonton yang agak kotor, yang mana menimbulkan kesangsian berkenaan tahap kesucian atau kebersihan untuk bersolat; khususnya apabila terkena pada seluar.

 IV
Dalam usaha Selangor memperkukuhkan pasukan untuk saingan seterusnya dalam Liga Super dan Piala AFC, mereka telah mengikat dua pemain dari Brazil iaitu Clebinho dan Evaldo Silva Dos Santos. Berdasarkan rekod, Clebinho atau nama sebenarnya Cleber Barbosa Viana pernah beraksi untuk kelab divisyen dua Brazil iaitu Guarani FC sebagai pemain penyerang. Manakala Evaldo Silva pula adalah pemain pertahanan yang pernah beraksi untuk kelab-kelab seperti Sao Caetano dan FC Tokyo. 
Clebinho akan menggantikan pemain import Selangor yang juga dari Brazil iaitu Junior Aparecido yang tidak menunjukkan prestasi yang baik disebabkan masalah keluarga. Manakala Evaldo akan menggantikan tempat pemain dari Australia iaitu Steve Pantelidis yang juga kurang beraksi dengan baik untuk Selangor.
Ini akan menjadikan Selangor mempunyai trio import dari Brazil iaitu Paulo Rangel, Evaldo dan Clebinho yang juga kali pertama buat Selangor dalam saingan Liga Malaysia. Andik Vermansyah dari Indonesia masih kekal untuk import kuota Asia dan persembahan beliau juga dipuji oleh banyak pihak.

V
Pusingan kedua Liga Super 2014 bermula dengan nota positif buat pasukan Selangor FA, selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Perak di Stadium Shah Alam. Jaringan tunggal The Red Giants diperoleh menerusi pemain penyerangnya, Paulo Rangel pada minit ke-8. Jaringan pemain Brazil itu juga memastikan kedudukannya di puncak carta penjaring terbanyak Liga Super terus kukuh dengan 10 gol.
Babak pertama perlawanan menyaksikan permainan dikuasai Selangor namun mereka dikejutkan dengan insiden pemain dibuang padang melibatkan pemain pertahanan, Evaldo Silva Dos Santos yang mengutip kad kuning kedua pada minit kecederaan separuh masa pertama. Insiden itu memberi peluang kepada pasukan Bos Gaurus untuk memberi tekanan kepada Selangor pada babak kedua. 
Meskipun begitu, pasukan yang menduduki tangga tercorot liga itu tidak mampu mengancam pertahanan Selangor. Misi mereka mencari tiga mata penting juga semakin sukar dicapai apabila Muhd Rafiq Faeez turut dibuang padang. Kejadian itu membuka peluang kepada kedua-dua pasukan untuk bersaing dengan kekuatan sama banyak sehinggalah wisel penamat ditiup pengadil, Zulfikfli Ahmad.
Kemenangan Selangor memastikan mereka dalam saingan memburu kejuaraan liga apabila berada di tangga kedua dengan 24 mata di belakang pendahulu liga, Pahang yang mempunyai 25 mata.
Kekalahan buat Perak pula bermakna mereka terus bergelut dalam zon penyingkiran di kedudukan tercorot dengan hanya lapan mata selepas 12 perlawanan. Semoga Perak FA bangkit semula. Kejor Yob Kejor; Ipoh Mali Tala Sombong. Forza Selangor. Maju Selangor. Viva Selangor.
Bersama kita tolak hooliganisme dan samseng dalam bola sepak. Juga, bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu.
-----------------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/groups/432310200203275/?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/groups/285351638583/?fref=ts;
  4. http://news.abnxcess.com/bm/2014/04/liga-super-selangor-benam-perak-1-0/;
  5. http://futbalfeva.blogspot.com/;
  6. https://www.facebook.com/asianadotmy;
  7. https://www.facebook.com/zaid.ayid?fref=ts;
  8. https://www.facebook.com/mamat.ninie/posts/610117639063087;
  9. https://www.facebook.com/arepeng.udin/posts/10201868526450558;
  10. https://www.facebook.com/DuniaSukanOnline?fref=ts.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan