Khamis, April 10, 2014

Liga FAM 2014: Harimau Muda C, 2-1, Kuala Lumpur FA.


I
Liga FAM: Harimau Muda C, 2-1, Kuala Lumpur FA.
Alhamdulillah, pada 6hb April 2014 (Ahad), Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola Sepak (RBS) berkesempatan menyaksikan perlawanan di antara Harimau Muda C dan Kuala Lumpur FA (KLFA). Perlawanan dalam saingan Liga FAM tersebut berlangsung di Padang Pusat Latihan Maybank, Bangi, pada jam kurang lebih 4.45 petang.
Selepas dua perlawanan tanpa menang atau menjaring gol, KLFA kembali ke Lembah Kelang dengan misi untuk mengekalkan kedudukan di takhta Liga FAM. Liga FAM Malaysia 2014 merupakan edisi ke-62 dalam sejarah bola sepak Malaysia, iaitu liga divisyen 3 dalam sistem piramid bolasepak Malaysia yang bermula pada 9hb Mac 2014.
KLFA dilihat melakukan beberapa perubahan setelah merehatkan empat pemain ketika seri 0-0 dengan Cebagoo FC pada Rabu lepas. S. Sumindran dan Lukman Noor Hakim Jaafar bermain dalam perlawanan Piala Presiden pada Isnin untuk mengembalikan kecergasan dan diserapkan ke dalam skuad menentang Harimau Muda C. S. Shanmuganathan mengalami sedikit kecederaan dan ini memberi laluan pada Romdhizat Jamian untuk disenaraikan semula dalam kesebelasan pertama.

 

II
Walaubagaimanapun, 4 pertukaran dilakukan oleh KLFA untuk perlawanan ini dengan S. Harivarman, B. Prabaharan, S. Shanmuganathan dan Romdhizat Jamian tidak terlibat dalam kesebelasan utama. Lukhman dalam senarai utama buat kali pertama dan penampilan pertama sejak perlawanan Piala FA menentang Kedah. Noor Azizi, Naufal dan Mughilan kembali dalam kesebelasan utama. S. Sumindran dibangku simpanan setelah pulih dari kecederaan bersama penyerang B-21, Hadzirun.
Barisan KLFA: 01. Hafiz Arbaen; 28. Chairi Emmir Solehaddin; 24. Taufiq Shukor; 11. Syazwan Rani; 03. Noor Azizi Azman; 18. Naufal Naim Tony Rosdin; 07. Syafiq Johari (kapten); 12. J. Mughilan Kartik; 04. Benedict Martin; 20. Zulkifli Affendi Zakri; dan 21. Lukhman Noor Hakim Jaafar.
Simpanan: 22. Hafiz Abu Bakar; 14. Hasnol Hamzah; 08. Fitri Kamal; 13. Syafiq Zahari; 16. S. Sumindran; 19. Fariz Ismail; dan 33. Hadzirun Che Hamid.
Sementara itu, barisan Harimau Muda C pula: Azam; K. Kannan; Adam Shafiq; Raphi Mariappen; Alif Haikal; Muhammad; Amirul Hafizul; Dominic Tan; Adib; Syazwan Andik; dan Sean Eugene.

III
Untuk rekod, KLFA telah ditubuhkan pada tahun 1974 dengan menggunakan nama ‘Wilayah Persekutuan’ sebelum menggunakan nama ‘Kuala Lumpur’ pada 1986. Pasukan ini pernah menjuarai Liga Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Liga-Piala Malaysia) pada 1986 dan 1988, dan mencipta sejarah apabila memenangi Piala Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut pada 1987, 1988, dan 1989. KLFA juga pernah menjulang Piala FA pada 1993, 1994, dan 1999.
Sementelah, KLFA turut mempunyai tradisi dengan pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang iaitu Selangor FA. Pertemuan tersebut dikenali sebagai ‘Klang Valley derby’. Jadi, bukanlah sesuatu yang menggembirakan untuk melihat pasukan dengan sejarah sehebat KLFA beraksi di Liga FAM. 



 
IV
Dalam perlawanan tersebut di Bangi tersebut, Harimau Muda C telah menewaskan KLFA, 2-1 di mana gol-gol Harimau dijaringkan oleh Muhd Syazwan Andik Ishak (minit ke-17) dan Sean Eugene Selvaraj (minit ke-35). Gol saguhati KLFA pula disumbangkan oleh Lukhman Noor Hakim Jaafar (minit ke-33).
6 percubaan tepat dilakukan oleh Harimau Muda, sementara KLFA hanya melakukan dua percubaan tepat, meski memiliki 4 sepakan sudut. Ini merupakan perlawanan ketiga berturut-turut tanpa menang untuk KLFA.
Jurang mata semakin rapat, saingan semakin hebat. Liga FAM musim ini sukar diramal. Hanya pasukan yang mempunyai konsistensi yang mantap akan menjuarai liga. Misi 2 slot ke Liga Perdana 2015 semakin disemarakkan. Pasukan mana yg akan layak? Sama-sama kita nantikan.
Semoga KLFA bangkit semula. Setiap pasukan ada bangun-jatuhnya. Justeru, sebagai penyokong setia; sokong tak boleh hanya waktu gagah, tapi juga waktu rebah. Bersama kita martabatkan jersi serta liga tempatan. Padu.
Baham KL Baham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan