Rabu, Januari 15, 2014

Presiden ABIM dalam Forum NOW di KLSCAH.


Alhamdulillah, pada 14hb Januari 2014, sekitar jam 8.30 malam, satu forum telah dianjurkan oleh National Oversight & Whistleblowers (NOW) dengan tajuk “Hidup Melampaui Kemampuan: Perspektif Undang-Undang”. Forum ini telah dijalankan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH).
Moderator untuk forum ini ialah Pengarah Eksekutif NOW, YB Rafizi Ramli menakala ahli-ahli panelnya adalah Saudara Haji Amidi Dato’ Abdul Manan (Presiden ABIM); Dato’ Akhbar Satar (Presiden TI Malaysia); YB N. Surendran (Ahli Parlimen) dan Saudara Richard Wee (Setiausaha Majlis Peguam).
Menjawab soalan yang diutarakan oleh moderator, Saudara Amidi menyatakan bahawa sejelasnya, rakyat cukup mengambil berat terhadap gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita. Selanjutnya, Saudara Amidi menegaskan bahawa adalah menjadi harapan rakyat terbanyak agar jenayah rasuah dapat dibanteras.
Tambah beliau, situasi semasa menunjukkan bahawa rakyat telah mula menunjukkan rasa peka dan sikap ‘ambil peduli’ terhadap bagaimana kekayaan negara diurus, seterusnya menggesa penambahbaikan terhadap perbelanjaan negara.
Seterusnya, Islam, menurut Saudara Amidi, memelihara hak golongan yang kurang berkemampuan selain mengangkat konsep ‘wakaf’ demi kemaslahatan umum. Konsep wakaf adalah bertujuan menuju kepada manfaat masyarakat (social benefit) dengan menekankan unsur kebajikan, kebaikan dan persaudaraan.
Hal ini, menurut Saudara Haji Amidi, berikat-rapat dengan isu ‘keadilan sosial’ dan begitu dekat dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang gigih berjuang untuk mengurangkan jurang kemiskinan dalam masyarakat – seterusnya dapat mengelakkan penyelewengan terhadap perbelanjaan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan