Rabu, Disember 25, 2013

MPPJ FC Juarai Piala Malaysia 2003.



2003: Nidzam cuba mendapatkan bola di padang 
becak daripada penjaring 50 gol semusim 
MPPJ FC, Juan Manuel Aristegui. 
MPPJ FC, Juara Piala Malaysia 2003.
Seperti yang kita sedia maklum, Kelab MPPJ FC mewakili Majlis Perbandaran Petaling Jaya (kemudiannya dikenali sebagai Majlis Bandaraya Petaling Jaya). Mereka diberi gelaran ‘The Black Widows’, dan turut diberi gelaran ‘Gergasi Biru Selangor’. Sejarah MPPJ FC bermula pada musim 2000 apabila menyertai kancah Piala FAM. Pada musim 2001, MPPJ FC menjuarai Piala FAM apabila menewaskan SAJ FC dengan jaringan 3-1 dan ketua pasukan MPPJ FC ketika itu ialah Dollah Salleh.
Stadium utama mereka, Stadium MPPJ dibuka pada 1996 dan mampu memuatkan 25,000 orang. Sebelum ini, stadium ini dikenali dengan nama Stadium MPPJ sebelum ditukar kepada Stadium MBPJ apabila Petaling Jaya mendapat taraf bandar raya. Stadium ini terletak di Jalan SS 7/15, 47301 Kelana Jaya, Petaling JayaSelangorMalaysia. 
Sekitar 2002, MPPJ asalnya bukanlah sebuah pasukan yang diberikan perhatian, memandangkan sudah menjadi tradisi dalam Liga-M, pasukan negeri lebih mencuri tumpuan peminat dan pemerhati bola sepak. Kebanyakan pemain yang membarisi skuad MPPJ ialah pemain buangan dan ‘serpihan’ pasukan negeri dan kelab lain. Mereka dihimpunkan oleh pihak pengurusan, diserasikan dengan corak kendalian jurulatih serta ditambah dengan kehadiran dua pemain import yang sangat berkualiti – Juan Manuel Arostegui dan Sebastian Martelotto.
Skuad MPPJ FC terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke kemuncak bola sepak Malaysia pada tahun 2003. Berjuang semenjak era 90an, akhirnya mereka berjaya menempatkan diri ke dalam saingan Liga Premier 2 pada tahun 2002. Meskipun Liga Premier 2 bukanlah liga utama, tetapi ia memberikan peluang kepada 4 pasukan teratas liga tersebut untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia.
Skuad ‘The Black Widow’ mengejutkan banyak pihak apabila berjaya menduduki tempat ketiga Liga Premier 2 (2002), seterusnya layak ke saingan trofi tertua di benua Asia itu sehingga ke Peringkat Suku Akhir, di mana mereka tewas dengan agregat 1-5 kepada Kedah FA. Saingan 2002 menyaksikan Gergasi Merah, Selangor FA menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FA hasil jaringan bintang lagendanya, Amri Yahya.






 


Era gemilang 2003/2004 MPPJ FC.
Pada tahun 2003, pihak pengurusan MPPJ FC membuat keputusan yang signifikan apabila mendapatkan khidmat dua penyerang import yang menjadi tonggak kejayaan kelab tersebut. Kombinasi dua bintang Argentina – Martelotto dan Arostegui dianggap sebagai gandingan pemain tengah-penyerang paling berbisa dalam sejarah bola sepak moden Malaysia. Arostegui pernah beraksi di samping lagenda Argentina seperti Riquelme dan Veron ketika era akademi belia Boca Juniors FC dan Piala Dunia Belia.
Dalam aksi sulung kedua-dua bintang dari Argentina ini, MPPJ FC membenam PDRM FA, 4-0, di mana Arostegui menjaringkan ‘hat-trick’ dan Martelotto menjaringkan satu gol. Arostegui menjadi Penjaring Terbanyak Liga Premier 2 dengan 33 gol daripada 22 perlawanan.
Menduduki tempat keempat Liga Premier 2, MPPJ FC sekali lagi layak ke saingan Piala Malaysia. Kali ini, merek a berjaya sampai ke Peringkat Separuh Akhir – bertemu jaguh Utara, Perlis FA.
MPPJ FC menang 3-1 di Stadium MPPJ, sebelum seri 1-1 di Kangar. Dengan agregat 4-2, MPPJ FC mencatat sejarah besar – pasukan kelab pertama beraksi dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia, menentang Naib Juara 2002, Sabah FA. 12 orang daripada anggota skuad MPPJ FC sepanjang musim itu merupakan pelajar UiTM.
Sekitar 70,000 orang penyokong membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil – dengan ramai yang memakai jersi serta mengibarkan bendera Sabah, Selangor serta Albiceleste – Argentina. Sewaktu Final Piala Malaysia 2003, kurang-lebih 35,000 orang peminat Sang Badak berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika itu. Semangat berkobar-kobar dan sorakan mereka menenggelamkan suara para penyokong MPPJ FC.
Bekas lagenda Selangor yang mewakili Sabah FA, K. Sanbagamaran dilayangkan kad merah pada babak awal permainan. Apa pun, Sang Badak beraksi bersungguh-sungguh pada malam bersejarah itu. Dengan tiga gol jaringan Arostegui itu, beliau berjaya mencatat rekod – 50 gol yang disumbat sepanjang musim 2003.
Pasukan ini mendapat markah merit untuk memasuki Liga Super selepas berjaya memenangi Piala Malaysia 2003. Kejayaan menjulang Piala Malaysia tersebut diteruskan dengan Trofi Piala Sumbangsih (2004); Juara Liga Perdana Malaysia (2004); dan Juara Piala Sultan Selangor (2004). Kelab MPPJ FC muncul juara bersama Piala Sultan Selangor selepas terikat 2-2 dengan Pilihan Singapura.
Selain dua bintang Argentina, faktor kemenangan mereka ialah disebabkan mempunyai jurulatih yang berwibawa (Dollah Salleh) yang berjaya membimbing pasukan ini menjadi juara. Lagenda Malaysia, Dollah Salleh ketika itu telah dilantik sebagai jurulatih ‘bidang terjun’ untuk menggantikan Ken Shellito yang meletakkan jawatan secara tiba-tiba.
  • Skuad MPPJ FC (2003): Abd Rauf Ahmad, Amirul Zain Ismail, Othman Katmon, Jamsari Sabian, Yuzaiman Zahari, Juan Manuel Arostegui, V. Thinagaran, Kamarulzaman Yob Majid, Aslam Najmudden, Mior Mohd Nasir Yusof, Anuar Abu Bakar, Zaidi Zaing, Walter Antahar, Aiman Tan, Bruno Martelotto, K. Nanthakumar, Azrin Shah Zainal dan Fadzly Aziz. Jurulatih: Dollah Salleh.


2005-2007: Prestasi MPPJ FC Merudum.
Pada musim 2005, MPPJ FC memancing pemain-pemain berstatus bintang dan hampir 90% pemain-pemain skuad MPPJ FC 2005 adalah berstatus bintang. Ketika era 2005, MPPJ digelar ‘Chelsea Malaysia’ manakala Pahang, ‘Real Madrid Malaysia’, kerana mengambil ramai pemain berbakat dan mempunyai nama besar di Malaysia. Namun, tahun 2005 menyaksikan Selangor menguasai saingan liga tempatan dengan kehadiran bintang import Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy bersama gandingan Brian Fuentes dan pemain-pemain tempatan berpengalaman.
Kendati, langit tidak selalu cerah. Prestasi pasukan ini mula merudum apabila tonggak utama mereka (Juan Manuel Arostegui) memilih untuk meneruskan kerjaya di liga yang lebih berdaya saing. Juan Manuel Arostegui bertindak keluar daripada pasukan hanya 24 jam sebelum perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2006. MBPJ FC kemudiannya kalah kedua-dua perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia  2006 dengan agregat 5-0.
Sementelah, jurulatih mereka (Dollah Salleh) telah berhijrah ke Selangor FA selain perpindahan beberapa orang pemain akibat masalah kewangan menyebabkan pasukan ini mulai merudum prestasi mereka. Ini menyaksikan pasukan ini terpaksa menarik diri selepas mereka gagal untuk menghantar penyertaan pasukan mereka untuk bertanding dalam Liga Malaysia untuk musim 2007.
MPPJ FC kemudiannya menghadapi beberapa masalah dalam hal pengurusan, khususnya untuk melunaskan gaji, bonus serta hutang tertunggak. Natijahnya, ramai pemain utama memilih untuk berhijrah. Setelah gagal mendaftarkan pasukan pada 2007, MPPJ FC akhirnya telah digantung pendaftarannya oleh FAM.
Deduksinya, kejayaan skuad MPPJ 2003 dan 2004 adalah manifestasi dasar pengurusan yang bagus dan telus, yang berjaya membawa hasil yang lumayan. Antara kejayaan yang dicapai oleh kelab ini ialah Juara Piala Malaysia (2003); Juara Liga Perdana Malaysia (2004); Juara Piala Sultan Selangor (2004); dan Juara Piala Sumbangsih (2004). Sejarah yang dicatat pada 2003 pasti tidak akan dapat dilupakan oleh peminat tegar bola sepak Malaysia. 

-------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. Akhbar Utusan Malaysia;
  2. Akhbar New Straits Times;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. https://www.facebook.com/yuzaimanzahari?fref=ts;
  5. https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
  6. https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?ref=ts&fref=ts;
  7. https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts.

1 ulasan:

  1. Baca blog ni mengimbau 1001 kenangan MPPJ FC. Gambar yang ada pun menarik. Terima kasih atas penulisannya.

    BalasPadam