Sabtu, September 28, 2013

Program Ibadah Korban dan Aqiqah di Selatan Thai dan Kemboja.


Untuk Program Korban dan Akikah di Kemboja, boleh rujuk kepada Tuan Haji 
Masrukhin Marzoki.
Program berterusan di Kemboja. Bukan setakat beri makan, tapi ilmu dan kesedaran.
Untuk Program Ibadah Korban di Selatan Thai, boleh rujuk kepada Tuan Haji 
Kamaruddin Kassim.
‘Akikah’ ialah penyembelihan binatang ternakan (contoh: lembu atau kambing) yang dilakukan selepas kelahiran bayi (lebih afdhal pada hari ketujuh) sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Sementelahan, ‘korban’ adalah amalan menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih al-An’aam (binatang ternakan seperti lembu, kambing, kerbau, dan lain-lain) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin.
Binatang yang boleh disembelih untuk ibadah korban dan akikah adalah terdiri daripada al-An’aam seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Binatang lain seperti rusa, seladang dan seumpamanya tidak boleh dikategorikan dalam golongan al-An’aam sekalipun ia jinak. Menurut Imam Khatib as-Syarbini, seekor unta atau lembu yang hendak dijadikan korban atau akikah boleh dikongsi bersama tujuh orang. Namun, kambing dan biri-biri tidak boleh dikongsi.
Tempoh atau waktu untuk melaksanakan ibadat korban agak singkat iaitu pada hari raya haji dan diikuti dengan tiga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah, sebaliknya tempoh melaksanakan ibadat akikah adalah panjang.
Menurut Imam al-Shafie tempoh terbaik untuk akikah ialah hari ketujuh setelah kelahiran, sekiranya tidak dapat dilakukan dalam tempoh tersebut, boleh dilaksanakan dengan tidak melebihi tempoh nifas iaitu 60 puluh hari. Sekiranya tempoh nifas juga tidak dapat dilaksanakan oleh beberapa sebab terutamanya kefakiran, maka boleh dilaksanakan tidak melebihi tempoh susuan iaitu dua tahun.
Dalam tempoh itu juga tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah dilaksanakan sebelum berumur tujuh tahun. Sekiranya setelah tujuh tahun juga tidak dapat ditunaikan maka boleh dilanjutkan sehingga mencapai umur baligh.
Perbezaan antara ibadat korban dan akikah menurut kitab Mughni al-Muhtaj ialah ibadat korban disunatkan diberikan kepada fakir miskin daging yang mentah. Sebaliknya bagi daging akikah, sunat diberikan kepada fakir miskin setelah dimasak kerana Rasulullah SAW meminta Saidatina Fatimah untuk berbuat demikian.
Selain itu juga, diharamkan daging korban diberikan kepada orang kaya dan terdapat padanya unsur jual beli, namun jika diberikan kepada orang kaya dengan berniatkan sebagai hibah atau hadiah maka ia tidak menjadi satu kesalahan kerana orang kaya juga layak untuk menerima hadiah dan hibah. Sebaliknya tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ada unsur pemilikan atau jual beli pada daging akikah.
Oleh kerana hukum berkorban itu sunat mu’akkad (perkara sunat yang dituntut dalam agama) dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.
Supaya ibadah korban dan aqiqah itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah-ibadah tersebut. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara’.
Selamat menjalani ibadah korban dan aqiqah.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillahilhamd!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan