Jumaat, April 05, 2013

Persidangan Minggu Halal Sedunia 2013.

Bersama salah-seorang pembentang kertas kerja sewaktu Persidangan Minggu Halal Sedunia, Saudara Jurgen Georg Huniken. Beliau merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Van Hees GmbH di Jerman. Mempunyai kelulusan dalam bidang sosiologi, ekonomi dan pentadbiran perniagaan, beliau mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang industri ramuan makanan.
Saudara Afifi, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia, bersama Saudara Jurgen. Saudara Afifi bakal melanjutkan pelajarannya dalam bidang PhD di United Kingdom tidak berapa lama lagi.
Iklan promosi Persidangan Minggu Halal Sedunia 2013.
 
 
 
Persidangan Minggu Halal Sedunia (3hb dan 4hb April 2013).

I
Alhamdulillah, pada 3hb dan 4hb April 2013, saya dan sahabat, Saudara Afifi Ab Halim, berkesempatan menghadiri Persidangan Minggu Halal Sedunia 2013 (World Halal Week Conference 2013) yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Persidangan halal sejagat itu telah disertai oleh  lebih 500 peserta dari lebih 20 negara yang membincangkan isu pengeluaran, kajian dan potensi pemasaran halal sedunia. Persidangan dua hari itu bertemakan ‘Ekonomi Halal: Mewujudkan Momentum’, di mana seramai 20 orang penceramah dan ahli panel dijemput menghadiri persidangan itu, yang telah membentangkan pemikiran, pandangan dan cadangan mereka mengenai bagaimana industri Halal boleh mewujudkan momentum bagi penyertaan yang lebih luas oleh peserta dan organisasi perniagaan.

II
Membuat penampilan yang keempat, Minggu Halal Sedunia asalnya dikenali sebagai ‘Minggu Halal Kuala Lumpur’. Forum Halal Sedunia mengumumkan rancangan penubuhan sebuah dana ekuiti swasta bernilai AS$500 juta (RM1.54 bilion) yang tertumpu kepada pembangunan industri halal. Penubuhan dana secara berperingkat itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada majlis pelancaran Azka Capital pada sewaktu persidangan tersebut.

III
Apa yang menarik ialah saya dapat melihat penglibatan ramai pengusaha dan ahli perniagaan belum Islam yang begitu bersungguh-sungguh mempromosikan perkhidmatan dan produk yang diusahakan oleh syarikat dan universiti mereka. Hal ini membuktikan bahawa industri halal adalah sebuah lapangan yang sangat luas dan memberikan manfaat yang baik kepada umat sarwajagat, tanpa mengira latar keturunan dan agama.

IV
Ramai delegasi – dalam dan luar negara – yang tidak melepaskan kesempatan untuk membina jaringan (networking) seperti bertukar-tukar kad nama, risalah dan sebagainya. Tidak sedikit yang membincangkan soal pembubaran Parlimen Malaysia yang diumumkan oleh DS Najib Tun Abdul Razak pada hari perasmian persidangan tersebut. Apa pun, selamat memilih dan meletakkan sikap buat semua rakyat Malaysia yang sudah mendaftar dan layak untuk mengundi. Hidup Malaysia kita. Padu.    

------------------------------------------------------
Sumber dan pautan:

  1. www.thestar.com.my/;
  2. http://www.worldhalalforum.org/whf_intro.html;
  3. www.utusan.com.my/;
  4. http://www.smecorp.gov.my/v4/node/3150;
  5. http://www.sinarharian.com.my/bisnes/hdc-anjur-persidangan-minggu-halal-sedunia-1.142849.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan