Jumaat, Mac 01, 2013

Ulama' & Politik: Teraju Watak Utama Atau Sekadar Di Pinggiran?


Saudara Amidi Manan, Presiden ABIM dan mantan Presiden PKPIM.
Logo Angkatan Belia Islam malaysia (ABIM).
Ulama' & Politik: Teraju Watak Utama Atau Sekadar Di Pinggiran?
Oleh: Amidi Abd Manan
Bahang Pilihan Umum ke 13 semakin terasa. Congakan tarikh semakin sempit pilihannya. Dari tahun kepada bulan, dari bulan kepada hari dan kini hanya menanti detik. Detik yang semakin hampir begitu mendebarkan. Setiap parti politik yang bertanding sudah tentu sibuk membuat persiapan. Dari manifesto, poster, kain rentang, bendera sehinggalah barisan calon. Segala maklumat dikumpul bagi menentukan calon terbaik yang boleh menang dan memenangkan parti masing-masing. Tambahan pula kini diakui inilah pilihan raya umum yang paling sengit dalam sejarah tanah air.

Calon disaring dengan teliti. Kelulusan, pengalaman, kemasyhuran, kepakaran dan pengaruh diperkirakan demi sebuah kemenangan bagi menentukan kuasa pemerintahan negara. Sudah ada serangan terhadfap tokoh-tokoh tertentu apabila namanya disebut-sebut bakal bertanding mewakili parti tertentu. Sukar ditentukan samada serangan itu dilakukan oleh pihak dari parti yang sama atau dari parti lawan. Ini kerana ancaman bukan sahaja kepada parti lawan, tetapi turut dirasai oleh mereka yang telah lama menanti dan ‘mengidam’  gelaran ‘YB’.

Salah satu golongan yang kuat pengaruhnya dalam masyarakat adalah kelompok agamawan. Golongan ini sentiasa ‘digilai’ oleh parti politik bagi menyerlahkan warna ‘keagamaan’ parti masing-masing. Kenyataan Setiausaha Agung UMNO baru-baru ini yang menyatakan bahawa kelompok agamawan ini bakal mewakili parti sebagai calon mengesahkan pandangan ini.

Perkara ini terjadi kerana hubungan bangsa Melayu khususnya dengan agama amat rapat sekali. Orang Melayu amat menghormati ulama’ yang dirasakan mampu memberikan bimbingan terhadap persoalan hidup dan ini sekaligus mempengaruhi citarasa dan pilihan orang Melayu itu sendiri. Maka tidak hairanlah jika kita cuba membariskan nama pejuang kemerdekaan, nama kelompok agamawan ini tidak boleh dicicrkan sewenang-wenangnya. Dari Sheikh Tahir Jalaludin, Ustaz Abu Bakar Bakir sehinggalah ke zaman pasca merdeka iaitu Za’aba. Kelompok ini bertanggungjawab menyalakan kesedaran dan penentangan terhadap penjajah sebagai satu perjuangan agama yang perlu ditanggung oleh semua orang Melayu.

Masyarakat umum melihat perkembangan ini dengan penuh minat. Masyarakat melihat tiga perkara berkaitan ulama dalam politik. Pertama adalah penampilan dan kewibawaan pandangan. Masyarakat melihat sejauh manakah ulama itu mampu mengemukakan pandangan dan penyelesaian yang praktis terhadap permasalahan masyarakat dan negara. Adakah ia masih lagi berlegar dalam ruangan teori atau ia mampu menjadi idea pendorong terhadap satu tindakan yang konkrit?

Kedua, kedudukan ulama dalam sesebuah parti. Setinggi manakah kedudukannya? Ia memberi maksud kekuatan pengaruh kelompok agamawan tersebut. Jika hanya berada pada tahap jawatankuasa kecil atau jawatan kuasa pengelola ia melambangkan pengaruh ‘agama’ seperti yang diwakili oleh kelompok ini masih tidak diberikan ruang yang signifikan dalam persoalan yang lebih dasar dalam sesebuah parti.

Ketiga, peranan yang diberikan kepada kelompok ini selepas pilihan raya nanti. Adakah hanya menduduki jawatan yang berkaitan dengan hal ehwal agama sahaja? Tidak layakkah mereka ini menduduki tempat-tempat yang lebih strategik. Bukankah agama itu khususnya agama Islam adalah agama yang syumul dan sudah tentu mampu memberikan jawapan terhadap pelbagai persoalan kehidupan? Maka ketika inilah nanti, masyarakat umum akan menilai keikhlasan golongan agama dibawa masuk ke dalam gelanggang politik. Adakah mereka ini sebagai watak utama atau sekadar pelakon tambahan untuk melengkapkan sebuah cereka?

Namun sebelum itu, kelompok agamawan perlu membuktikan mereka juga mempunyai kualiti dan kemampuan yang setara dalam pelbagai bidang. Bukan sahaja dari sudut ilmu agama tetapi juga dalam aspek yang lain yang lebih khusus sifatnya. Mereka perlu membuktikan keperibadian yang lengkap dan cekap bagi menawarkan khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Selain itu masyarakat juga menilai ketahanan jati diri kelompok agamawan dalam simpang perenang politik yang begitu rencam. Adalah sesuatu yang mengaibkan apabila kelompok ini terpalit dengan kerosakan moral yang sentiasa membayangi kehidupan seorang ahli politik. Masyarakat menilai dan terus menilai, dan apabila tiba masanya masyarakat akan membuat pilihan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan