Rabu, Mac 06, 2013

Piala Malaysia 1999: Brunei FA lawan Sarawak FA.


 

Piala Malaysia 1999: Brunei FA lawan Sarawak FA.

4hb Disember 1999, Stadium Merdeka.
Pada 4hb Disember 1999, satu perlawanan bersejarah telah dilangsungkan, menemukan dua wilayah berjiran: Sarawak dan Brunei dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia. Pada Peringkat Separuh Akhir, Brunei menewaskan Negeri Sembilan dengan agregat 4-3, manakala Sarawak mengalahkan Terengganu dengan agregat 3-1. Final ‘Borneo Derby’ ini mempunyai nilai sejarah tersendiri. Buat pertama kali dlm sejarah Piala Malaysia, dua pasukan Borneo bertarung dalam final dan buat pertama kali juga Piala Malaysia akan menyeberang Laut Cina Selatan. 

Antara isu yang menyelubungi final tersebut ialah pemilihan gelanggang perlawanan akhir oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). FAM tetap bertegas memilih Stadium Merdeka atas alasan khuatir perlawanan tidak akan mendapat sambutan jika dianjurkan di Kepulauan Borneo. Hal ini mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan kem kedua-dua pasukan yang bakal berentap, meskipun akhirnya terpaksa juga akur terhadap keputusa FAM tersebut.

Sarawak dibimbing oleh pemain lagendanya, Jalil Rambli. Jalil bukan sahaja mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama Sarawak FA yang membawa pasukan tersebut ke perlawanan akhir Piala Malaysia, malah menenggelamkan pencapaian Alan Vest dan Awang Mahyan selama ini yang pernah membawa Sarawak ke peringkat suku akhir sebanyak lima kali.

Kurang-lebih 30,000 orang penyokong setia Sarawak-Brunei memenuhi Stadium Merdeka pada malam tersebut. Tatkala Sarawak FA menampilkan beberapa pemain muda tempatan, Brunei dibarisi oleh dua pemain import dan kebanyakan pemain berpengalaman (berusia) seperti Rosli Liman (30); Said Abdullah (32); Nordin Tujoh (35); dan Liew Chuan Fue (38).

Pada minit ke-35, pemain import Brunei FA, Patron Akapo berjaya melepasi perangkap off-side Sarawak FA dan melakukan percubaan, tetapi Berjaya dihalang oleh penjaga gol Sarawak FA, Mazlan Wahid. Malangnya, bola tersebut Berjaya dirampas oleh Rosli Liman untuk gol pertama Tebuan. 5 minit selepas separuh masa kedua bermula, Ramles Sari menyalakan harapan buat skuad Ngap Sayot, apabila menyamakan kedudukan setelah menerima hantaran daripada Ibrahim Mantali dan menewaskan dua orang pertahanan Brunei FA.  Bagaimanapun, Rosli Liman sekali lagi muncul sebagai wira Brunei FA, apabila menjaringkan gol kemenangan Tebuan pada minit ke-51, hasil hantaran Brian Iman Bothwell. 

Tatkala ramai mata yang tertumpu kepada Brian Bothwell dan Akapo untuk menyerlah, Rosli Liman berjaya mengejutkan ramai dengan dua gol yang membawa kepada menyeberangnya trofi Piala Malaysia buat kali pertama ke Bandar Seri Begawan.  Brunei menutup abad ke-20 dengan menjuarai Piala Malaysia untuk pertama kali di mana perlawanan akhir yang pertama melibatkan kedua-dua pasukan adalah dari Borneo. Kejayaan Brunei juga menyaksikan Stadium Merdeka digunakan untuk kali terakhir bagi gelanggan akhir Piala Malaysia.
  • Sarawak FA: Mazlan Wahid; Bobby Pian; Bobby Chua; Ramos Sari; Ramles Sari; Dahlan Matusin; Roslan Ismail;  Zaidel Sakup; Efandy Sugandi; Ibrahim Mantali; Nazri Yunos; Gilbert Cassidy Gawing;
    Brunei FA: Rosli Liman; Rosanan Samak; Liew Chuan Fue; Sallehudin Damit; Norsilmy Taha; Nordin Tujoh; Irwan Mohamed; Rosaidi Khamis; Fadlin Gelawat; Ali Momin; Azmanuddin Gillen; Patron Akapo; Brian Bothwell; Ibrahim Abu Bakar;
    Pengadil: Amir Shariffuddin Wong dan S. Selearajan.  


Sumber dan rujukan:
  1. Majalah Shoot;
  2. Majalah Liga Profesional;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. www.collectsoccer.com;
  5. profbola-soccer.blogspot.com;
  6. http://sarawakfootballshirts.blogspot.com/2012/08/sarawak-1999-malaysia-cup-final-match.html;
  7. http://www.utusan.com.my/;
  8. http://thestar.com.my/;
  9. http://nst.com.my;
  10. http://nationalfootballteamsasia.741.com/Brunei.htm;
  11. http://www.bt.com.bn/eSupp/special/National_Day2012/files/assets/seo/page16.html.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan