Khamis, Mac 21, 2013

Hospital Pakar Al-Islam: Hospital Mesra Ibadah.



Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Antara pemandangan awal Kampung Baru, satu masa dahulu.
Hospital Pakar Al-Islam, sekitar 90an dikenali sebagai Pusat Perubatan Kampung Baru.
Kakitangan Pusat Perubatan Kampung Baru yang bertugas sewaktu Aidilfitri ketika awal 2000an.
 
Antara pemandangan indah dari jendela Hospital Pakar Al-Islam, berlatarbelakangkan Menara Berkembar KLCC.
---------------------------------------------------------------------------
"Dan apabila aku sakit Dialah (ALLAH) yang menyembuhkan aku." -- (Asy-Syu’ara, Ayat ke-80).
Pusat Perubatan Kampung Baru.
‘Kampung Baru Medical Centre’ (‘Pusat Perubatan Kampung Baru’ - KBMC) telah dirancang penubuhannya seawal tahun 1992. Idea penubuhannya telah bermula apabila Dr. Ishak b. Mas’ud, Ketua Biro Kesihatan ABIM ketika itu, berpeluang melawat Islamic Hospital of Jordan. Atas kesedaran perlunya sebuah institusi perubatan yang mempraktikkan rawatan fizikal, mental dan spiritual secara seimbang untuk kebajikan masyarakat umum, ABIM telah merestui penubuhan KBMC ini. Dr. Suhaimi B. Hj. Abdul Halim, seorang lagi aktivis PKPIM pada zaman pelajarnya, telah turut sama merangka pelan awal penubuhan KBMC.

Pada tahun 1994, kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian bangunan KBMC telah bermula. Jumlah modal berbayar yang telah dikeluarkan ketika itu adalah RM1.5 juta dengan agihan 60% sahamnya dipegang oleh beberapa orang doktor sementara 40% lagi dipegang oleh Koperasi Belia Islam Malaysia (Berhad). 

Pada Oktober 1997, Klinik Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Klinik Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Klinik Pakar Kanak-kanak, Klinik Pakar Kulit, Klinik Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Klinik Pakar Kulit, Klinik Pakar Perubatan/Gasteroenterologi telah dibuka.

Pada 2hb Januari 1997, KBMC mula beroperasi sepenuhnya. Ketika itu, KBMC digerakkan oleh 70 tenaga kerja dengan 4 doktor pakar sepenuh masa. Dr. Ishak b. Mas’ud telah mengambil cuti tanpa gaji dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia selama setahun (Disember 1996 – Disember 1997) untuk memikul amanah sebagai Pengarah KBMC. Pn. Nor Azizah bt. Hamdin adalah Pengurus Besar pertama KBMC (15 Mei 1995 - 23 April 1998). En. M. Aminuddin b. Ismail telah mengambil alih jawatan Pengurus Besar pada 1 Ogos 1998 (sehingga kini).

Dalam usahanya untuk menjadi sebuah hospital yang unik dan unggul, KBMC sentiasa menitik beratkan usaha berterusan untuk mendidik dan membimbing kakitangan, pesakit dan pengunjungnya.

Untuk itu, KBMC menganjurkan Kelas Fardhu ‘Ain untuk kakitangannya (setiap Rabu untuk kakitangan lelaki dan setiap Jumaat untuk kakitangan wanita), Tazkirah Sabtu (setiap Sabtu untuk kakitangan dan pengunjung), bimbingan kerohanian untuk pesakit lelaki dan wanita oleh ustaz dan ustazah bertauliah, Siri Ceramah dan Kaunseling Kesihatan (sekali setiap hujung bulan) dan pameran dan pemeriksaan kesihatan di tempat umum seperti sekolah dan kawasan perumahan. KBMC juga menerima kunjungan pelajar sekolah dan IPT yang ingin melihat perjalanan perkhidmatan perubatan dan pentadbiran KBMC.

KBMC percaya, untuk menghasilkan perkhidmatan yang unik dan unggul juga, kakitangannya perlu mempunyai rasa kepunyaan dan semangat kekitaan dalam menjalankan tugas dan tanggung jawabnya di KBMC. Oleh itu, KBMC telah menganjurkan Retreat Kakitangan KBMC ke-2 pada 1-3hb Jun 2001. Program latihan yang dikendalikan motivator En. Affendy Zulkifly dan Ustaz Jaafar Muhammad dan bertempat di Pusat Latihan ABIM, Sungai Ramal dan Institut Latihan FAMA Port Dickson ini telah memberi suntikan baru kepada kakitangan untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pesakit dan pengunjung KBMC. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila ada kakitangan KBMC diberikan pujian kerana kecemerlangan dalam perkhidmatan oleh pesakit dan pengunjung KBMC.

Rentetan daripada Retreat Kakitangan KBMC ke-2, Kumpulan Aktiviti Kakitangan KBMC telah dilancarkan. Melalui kumpulan akitiviti ini, Badan Induk Kumpulan Aktiviti KBMC (BIDUK) telah ditubuhkan. Program ini adalah dalam rangka usaha KBMC untuk terus membina dan menyuburkan semangat kakitangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakitnya. Selain itu, Kumpulan Akitiviti Kakitangan ini juga menjadi saluran untuk kakitangan KBMC menyalurkan idea untuk kepentingan pesakit dan pengunjung KBMC. Sudut Bacaan, Program Ziarah Pesakit, Rumah Anak Yatim Angkat adalah antara program yang telah dijalankan dan sedang dalam perancangan. KBMC kemudiannya dikenali sebagai ‘Al-Islam Specialist Hospital’ (Hospital Pakar Al-Islam). 

Exco Biro Kesihatan ABIM, Dr Shahrizal Azwan yang sering menyampaikan ceramah kesihatan, turut bersama-sama turun padang setiap kali program kemasyarakatan diadakan.
Antara program kemasyarakatan yang dianjurkan secara bersama oleh Biro Kesihatan ABIM dan Hospital Pakar Al-Islam.
Program turun padang di perkampungan Orang Asal.
Turut dibuka, klinik amal dan pemeriksaan kesihatan percuma sewaktu program dijalankan.
Skuad Prihatin ABIM, antara yang turun padang.

Antara program yang dianjurkan di kawasan perkarangan Hospital Pakar Al-Islam.
Pemandangan waktu malam, Hospital Pakar Al-Islam.
Hospital Pakar Al-Islam
‘Al-Islam Specialist Hospital’ (Hospital Pakar Al-Islam) ataupun dulu dikenali dengan nama ‘Pusat Perubatan Kampung Baru’ (KBMC) dibangunkan sebagai salah satu program da'wah Bil-hal Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui Biro Kesihatan ABIM. Perancangan ini bermula dari awal 1992. Menyedari bahawa perlunya ada sebuah hospital perubatan yang mengambil kira aspek rawatan yang menyeluruh termasuk aspek fizikal, psikologi, mental dan rohani. ABIM mengorak langkah membangunkan sebuah hospital yang berusaha memupuk nilai-nilai ISLAM dalam semua aspek perjalanan hospital pakar.

Melalui agensi ekonomi ABIM, Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI), Biro Kesihatan ABIM bersama beberapa orang doktor pakar yang lain. KBMC telah mula beroperasi sejak September 1996.  Dengan lokasi yang strategik, berhadapan dengan Masjid Jamek Kampung Baru dan terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur, KBMC dibina dengan harapan sebagai satu tuntutan fardu kifayah disamping menggabungkan aspek ekonomi dan dakwah.

Sempena sambutan 10 Tahun KBMC (2006), KBMC telah mempromosikan satu konsep pusat perubatan yang mesra ibadah iaitu “Hospital Mesra Ibadah”. Sejajar dengan misi KBMC, di mana mereka membantu pesakit Muslim dalam melakukan ibadah seharian. KBMC cuba sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang profesional dan cemerlang dan sentiasa meningkatkan perkhidmatan kami kepada pesakit.

Kini KBMC telah bergelar Al-Islam Specialist Hospital atau Hospital Pakar Al-Islam dimana KBMC telah melakukan penjenamaan semula pada 24 Ogos 2008 di Hotel Regency Kuala Lumpur. Majlis Penjenamaan semula tersebut telah dilancarkan oleh Y.B Dato' Dr Ahmad Zahid Hamidi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. 

Hospital Pakar Al-Islam mempunyai kapasiti katil sebanyak 60 buah buat masa sekarang dan mempunyai kemudahan seperti Unit Kemalangan dan Kecemasan 24 jam dan klinik perubatan am. Perkhidmatan utama Hospital Pakar Al-Islam adalah khidmat rundingan perubatan seperti Gastroenterologi (Pakar Usus), Rheumatologi (Pakar Sendi), Dermatologi (pakar Kulit), O & G (Pakar Sakit Puan) termasuk infertaliti, Pembedahan Am (Laparoscopy/Plastic/Urology), Orthopedik(tulang), ENT (pakar telinga hidung & tekak), Oftalmologi (pakar mata) dan Paediatrik (pakar kanak-kanak).

Antara risalah yang diberikan kepada orang ramai berkenaan pakej serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Hospital Pakar Al-Islam.
Antara temubual yang disiarkan akhbar: Pandangan Dr Sahrizal Azwan terhadap bahaya tindik dan tatu.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Norlida Kairon, memberi penerangan berkenaan sejenis sakit puan kepada wartawan.
Dr Ishak Masud, Pengarah Hospital Pakar Al-Islam.
Dr Ishak bersama Ahli Lembaga Pengarah Hospital Pakar Al-Islam.
 
  
 
Antara fasiliti dan kemudahan yang disediakan bagi memudahkan para pesakit menunaikan ibadah meskipun sewaktu terlantar di atas katil.
Hospital Mesra Ibadah (HMI)
Hospital Mesra Ibadah (HMI) merupakan satu konsep yang digunakan dalam pengurusan hospital untuk mencapai nilai-nilai kecemerlangan dan jati diri pada warga kerja Al-Islam serta memfokuskan kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan.

Hospital Mesra Ibadah bertujuan untuk memberi kesedaran melalui pendidikan pesakit dan keluarga supaya sentiasa mendekatkan diri dengan ALLAH S.W.T. Pihak pengurusan memberikan komitmen yang tinggi dalam mewujudkan kesedaran tersebut dan secara aktif bagi memudahkan pesakit beribadah. Sebagai hospital yang menjunjung nilai-nilai Islam, pihak pengurusan menyediakan pegawai-pegawai agama untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pesakit. Mereka akan menziarahi pesakit secara rutin setiap hari bagi membantu pesakit menunaikan ibadah dan memberi latihan serta tunjuk ajar kepada wargakerja Al-Islam agar turut sama membantu pesakit. Selain itu kemudahan asas untuk menunaikan ibadah seperti arah kiblat, telekung, sejadah, penyembur air serta debu tayamum turut disediakan.

Pesakit di Al-Islam akan dibantu dan dibimbing oleh seorang ustaz bagi pesakit lelaki dan seorang ustazah bagi pesakit perempuan untuk mengerjakan ibadah semasa dalam keadaan sakit selaras dengan konsep Hospital Pakar Al-Islam iaitu Hospital Mesra Ibadah (HMI).
------------------------------------------------------

Rujukan dan Pautan:
  1. http://www.al-islamhospital.com.my/joomla/;
  2. http://kbmckl.tripod.com/pages/pengenalan.htm;
  3. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm;
  4. http://www.timingcctv.com/application/hospital/mc-kgbaru1.jpg;
  5. http://akeef.blogspot.com/
  6. http://yan-yanjournal.blogspot.com/;
  7. http://suentaufik.blogspot.com/2011/04/berkampung-hospital-pakar-kg-baru-aka.html;
  8. http://anglelady.blogspot.com/2010/04/kelas-antenatal-2010-al-islam.html;
  9. http://kakciknurseroja.blogspot.com/2012/12/pakej-bersalin-di-hospital-pakar-al.html.

2 ulasan:

  1. assalamualikum
    Saya ingin bertanya tentang kos perubatan disini adakah lebih mahal atau lebih murah drp hospital pakar swasta yg lain..
    maaf bertanya utk kepastian.
    terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam alaik. Tuan/Puan boleh rujuk kepada pihak Hospital Al-Islam sendiri: 03-2693 1007.

      Saya sekadar berkongsi info sahaja. :)

      Padam