Jumaat, Februari 15, 2013

Sukan Komanwel XVI (KL ‘98): Malaysia raih perak.


Sukan Komanwel XVI (KL ‘98): Malaysia raih perak.
1.0.  Sukan Komanwel XVI (KL ‘98).
Sewaktu temasya Sukan Komanwel XVI (KL ‘98), warna kuning telah dipilih untuk menjadi warna asas pakaian sukan kontinjen Malaysia pada sebarang temasya sukan akan datang dan ia buat pertama kalinya akan digunakan pada KL ’98. Warna kuning juga dipilih sebagai warna utama jersi skuad hoki negara yang dibimbing oleh jurulatih dari Jerman, Paul Lissek. Pasukan hoki negara sebelum itu beraksi pada Kejohanan Piala Dunia di Utrecht, Belanda di bawah seorang lagi jurulatih dari Jerman, Volker Knapp. Di bawah kendalian Lissek, Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney dan meraih gangsa sewaktu Sukan Asia 2002 di Busan. Bagaimanapun, kontrak Lissek ditamatkan selepas Malaysia gagal untuk layak ke Sukan Olimpik 2004 di Athens.

1.1.  19b September 1998: Separuh Akhir Hoki KL ’98.
Sewaktu Separuh Akhir Hoki Lelaki untuk KL ‘98, Australia bertemu England manakala Malaysia berdepan cabaran India pada 19hb September 1998. India dan Australia merupakan pasukan pilihan, di mana India pernah menewaskan Malaysia sebanyak 25 kali. Malaysia yang hanya pernah seri 4 kali dan menang 3 kali ke atas India, kali terakhir menang 3-2 untuk mengatasi negara ‘benua kecil’ tersebut sewaktu Kelayakan Sukan Olimpik di Auckland pada 1991.

Australia berjaya menepati ramalan apabila menewaskan England, 3-2. Bagaimanapun, India yang dihidangkan 8 pukulan sudut penalti gagal menembusi kekebalan gawang Roslan Jamaluddin untuk tewas 0-1. Mirnawan Nawawi menjaringkan gol emas pada minit ke-77 dalam masa tambahan, menewaskan penjaga gol Jude Menezes, untuk menempah tiket ke perlawanan akhir. Kejayaan tersebut tambah manis buat Mirnawan yang digelar ‘Dribble King’, memandangkan hari tersebut merupakan hari lahirnya yang ke-27. Selain Mirnawan, pemain muda negara, Suhaimi Ibrahim yang baru berusia 18 tahun ketika itu turut menyerlah.

Antara bintang India ialah Dhanraj Pillai, yang menjaringkan 5 gol sewaktu Sukan Komanwel 1998. Beliau juga mengetuai India untuk memenangi pingat emas pertama Sukan Asia dalam sukan hoki selepas penantian selama 32 tahun. Beliau juga merupakan pemenang Anugerah Rajiv Ghandi Khel Ratna. Sebelum itu, Malaysia menewaskan Pakistan (1-1); seri 2-2 dengan England; dan menang ke atas Kanada 2-1. Rekod lima perlawanan tanpa kalah ini berjaya membawa skuad kebangsaan untuk bertemu Australia dalam perlawanan akhir. Skuad negara hanya bolos 4 kali meskipun terpaksa mengharungi 35 kali pukulan sudut penalti. 

1.2.  20hb September 1998: Perlawanan Akhir Hoki KL ’98.
Bagaimanapun, aksi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun 1998, berakhir apabila skuad Australia yang menduduki ranking keempat dunia ketika itu, menewaskan Malaysia 4-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Australia mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-2 dengan penyudahan sudut penalti kedua hasil tolakan Adam Commens selepas dua rakannya memperdayakan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dengan acahan pukulan. Michael Brennan kemudian menggegarkan gawang Malaysia dengan rembatan deras untuk membawa Kookabura bertambah selesa 2-0.

Kemudian, Roslan tertewas dan rembatan Stephen Davies menjadi puncanya untuk turut mencipta jaringan peribadi keenam pada temasya KL '98. Sekalipun dibolosi tiga kali, tampanan kaki kanan Roslan tetap cemerlang untuk sempat menidakkan cubaan solo Brennan yang berhasrat mencari gol keempat, beberapa minit selepas itu. Brennan bagaimanapun menghukum lagi kelalaian tulang belakang Malaysia ketika lencongan sudut penalti ketujuh pada minit ke-50 untuk mencipta jaringan keempat Australia. Sebaik sahaja gol keempat lawan itu, segelintir kecil peminat mulai beredar meredakan kepadatan stadium yang sebelumnya menampung kira-kira 12,000 penonton.
  • MALAYSIA: Roslan Jamaluddin, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Maninderjit Singh, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Charil Anwar Aziz, Lam Mun Fatt, R. Shankar, K. Keevan Raj, Mirnawan Nawawi, Calvin Fernandez;
  • AUSTRALIA: Damon Diletti, Michael Brennan, Adam Commens, Jason Duff, Jeremy Hiskins, Matthew Smith, Jay Stacy, Daniel Sproule, Stephen Davies, Michael York, Steven Holt.


2.0   Ganjaran Pasca KL ’98.
PINGAT perak yang diraih skuad hoki lelaki negara pada temasya tersebut menghasilkan durian runtuh bernilai RM214,000 dengan 16 pemain mewakili pecahan besar sebagai penerimanya. Sumbangan sebagai membalas jasa bakti hasil pencapaian mendadak KL ‘98 itu datangnya daripada empat pihak - Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), syarikat Sony dan Thasleem Ibrahim, salah seorang pegawai badan induk itu. Setiap pemain dijanjikan RM8,000 oleh MSN, RM3,000 oleh PHM manakala Sony dan Thasleem, pengerusi jawatankuasa pertandingan hoki masing-masing menyumbangkan RM15,000 dan RM5,000 untuk habuan seluruh anggota pasukan termasuk pegawai.

Ketua pasukan, Mirnawan Nawawi mendahului barisan wira negara ini di samping Nor Saiful Zaini Nasiruddin, R. Shankar, Chairil Anwar Aziz, Roslan Jamaluddin, Calvin Fernandez, Nor Azlan Bakar, Maninderjit Singh, Lam Mun Fatt, Nasihin Nubli Ibrahim, K. Keevan Raj, K. Logan Raj, Chua Boon Huat, Suhaimi Ibrahim, S. Kuhan dan M. Kaliswaran. Manakala pegawai pasukan yang terdiri daripada jurulatih - Paul Lissek, Stephen Van Huizen, Yahaya Atan serta pengurus R. Yogeswaran di samping anggota panel perubatan Dr. Ramlan Aziz dan Othman Hussin, menerima skim ganjaran yang sedikit berbeza daripada MSN.
******************************************************
Sumber dan Rujukan:
  1. http://jugjet.blogspot.com/2009/09/young-players-hound-chua-boon-huat.html;
  2. http://m2002.thecgf.com/SPORTS/Hockey/Heroes/default.asp;
  3. http://www.tribuneindia.com/1998/98sep11/sports.htm;
  4. http://thestar.com.my/;
  5. http://rizalhashim.blogspot.com/2012/09/revving-things-up.html;
  6. http://www.utusan.com.my/;
  7. http://www.squashpics.com/commonwealth_games_'98.htm;
  8. http://www.fiveartscentre.org/p/1998%20Commonwealth%20Games.jpg.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan