Ahad, Oktober 07, 2012

20 September 2012: Kenyataan Presiden ABIM berkenaan filem Innocence of Muslims.


21 September 2012: Kelihatan Presiden ABIM, Saudara Amidi Manan (berkemeja biru) turut bersama menyertai perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.
21 September 2012: Berhampiran Kedutaan AS dan bangunan Tabung Haji yang ikonik. 
21 September 2012: Alhamdulillah, dapat jumpa Abang Osman Tikus (Pyanhabib Rahman), seniman rakyat yang sempoi.
21 September 2012: Demonstrasi anjuran Pemuda PAS dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika Syarikat.
21 September 2012: Pemuda UMNO turut mengadakan tunjuk perasaan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur. 
Selain berdemonstrasi, ABIM turut menghantar Naib Presidennya, Saudara Jufitri Joha untuk berdialog dengan Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones di kediaman duta tersebut di Kuala Lumpur. Berita lanjut di sini: http://gptd-spain.blogspot.com/2012/09/diskusi-hi-tea-bersama-duta-amerika.html.
**********
Logo ABIM.
Innocence of Muslim: Umat Islam Perlu Kuasai Media Tangkis Tohmahan Barat.
Oleh: Saudara Haji Amidi Abd Manan, 
(Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia [ABIM])
(Kenyataan ini disiarkan oleh laman sesawang rasmi ABIM pada 
20 September 2012).

Kemarahan umat Islam terhadap penerbitan filem Innocence of Muslims begitu membuak-buak di seluruh dunia. Kemarahan itu jugalah yang menyebabkan kematian Duta Amerika Syarikat ke Libya dan tiga orang pegawainya. Ini bukan kali pertama agama Islam dipersendakan oleh musuh Islam menerusi pelbagai sudut dan cara. Ada yang mempersendakan hakikat keimanannya, hukum-hakamnya dan peribadi Rasulullah SAW. Kata-kata yang kesat dilemparkan baik menerusi media elektronik mahupun bercetak. Ia dilaksanakan oleh kelompok bukan Islam dan kelompok Islam yang telah rosak keyakinan dan pemikirannya.

Setiap kali penghinaan berlaku, setiap kali jugalah umat Islam bangkit menentang penghinaan berkenaan. Tunjuk perasaan, memorandum bantahan dan fatwa terus menerus diadakan bagi menunjukkan rasa kurang senang dengan penghinaan yang dilakukan. Bagi filem Innocence of Muslims kali ini ia disebarkan menerusi trailernya di YouTube. Pihak Google selaku pemilik YouTube dengan angkuh telah menolak permintaan Kerajaan Amerika untuk mengeluarkannya daripada penyiaran di YouTube.

Kita perlu menyelar keengganan Google ini atas dasar keluhuran media. Filem berkenaan satu fitnah yang besar. Menggambarkan Rasulullah sebagai pembohong kepada Muslim adalah satu perkara yang tidak dapat diterima akal. Seharusnya media yang didukung oleh satu kuasa besar dunia peka dengan perkara ini. Kita mahukan media yang bertanggungjawab terhadap penyiarannya. Jika perkara itu tidak benar, ia harus dihentikan. Inilah asas kepada keluhuran media. Membiarkan fitnah berleluasa adalah satu perbuatan yang terkutuk dan boleh mencetuskan huru-hara.

Sudah sampai masanya umat Islam mempunyai kekuatan media yang tersendiri. Ia satu jihad bagi menangkis segala pembohongan yang semakin menjadi-jadi. Ia satu tuntutan fardu kifayah bagi umat dan fardu ain bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) ini. Jika ada negara Islam yang sanggup berbelanja trilion dolar Amerika untuk membeli kelengkapan perang, perbelanjaan yang sebegitu juga harus dikeluarkan untuk peperangan media ini. Ia bagi menjamin maruah Islam dan umatnya dapat dibela dengan sewajarnya.

Kita perlu membuatkan musuh Islam berasa takut dan marah. Kita perlu menguasai kedudukan yang strategik sehingga musuh Islam menjadi gerun dan gentar. Ia dikira sebagai amal salih seperti yang dinyatakan dalam Surah at-Taubah ayat 120. Dalam dunia moden hari ini kegerunan itu bukan saja pada kelengkapan persenjataan tetapi kepada kekuatan media. Jangan ada pihak yang menyatakan bahawa protes umat Islam ini sebagai sesuatu yang sia-sia dan membuang masa.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sudah menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta AS ke Malaysia, Datuk Paul W Jones pada 13 September yang lalu. Dalam memorandum itu dinyatakan kekesalan terhadap penerbitan filem Innocence of Muslims dan juga kekesalan terhadap pembunuhan yang tidak sewajarnya berlaku ke atas Duta AS di Libya.

ABIM menekankan pihak Kerajaan AS khususnya perlu lebih peka terhadap sensitiviti umat Islam. Kepekaan ini boleh difahami dan dipertingkatkan menerusi dialog dan perbincangan khusus bagi membina persefahaman yang lebih baik. Di pihak umat Islam, kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah satu kewajipan. Selain menyatakan kemarahan kita terhadap segala bentuk penghinaan, kita perlu mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan kita terhadap Islam. Jadikan Islam sebagai cara hidup. Islam bukan hanya agama ritual semata-mata yang diamalkan pada ketika tertentu.

Di sinilah juga terletaknya kepentingan dakwah. Dakwah adalah landasan hidup setiap Muslim. Mesej kesejahteraan yang dibawa oleh Islam perlu disampaikan dengan berkesan. Setiap orang Islam adalah pendakwah dan sekali gus duta yang membawa imej dan mesej Islam. Gejala rasuah, kemunduran, kemiskinan, buta huruf dan penindasan sesuatu yang sinonim dengan negara Islam. Ia perlu dibanteras sehabis-habisnya jika kita mahukan imej Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam disampaikan dengan berkesan. Kita tidak mahu kokokan umat Islam dipersendakan kerana ekor yang dilumuri najis.

Umat Islam di Malaysia perlu untuk bersama suara umat Islam sedunia dalam bantahan ini. Bantahan ini ditujukan kepada penerbit filem, Google dan masyarakat bukan Islam yang lain yang mempunyai niat serong terhadap Islam.

**********
Sumber:
  1. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.383273948411439.90550.100001865100396&type=1; dan
  2. http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/43-isu-semasa/284-innocence

Tiada ulasan:

Catat Ulasan