Sabtu, Julai 28, 2012

Memancing pengalaman.

Antara koleksi buku dan majalah terpakai yang saya kumpul -- sepanjang duduk di rumah sewa – sejak enam bulan yang lepas. Kebanyakannya diterbitkan sekitar akhir 80an dan awal 90an. Dibeli dengan menggunakan duit syiling yang disimpan di dalam tabung.

Ada yang berharga semurah 0.50 sen, dan semahal RM30.00: bergantung kepada tahap kelangkaan (rarity) naskah tersebut. Naskah-naskah tersebut saya beli dari beberapa buah kedai buku terpakai. Antaranya, di Bazaar Chowrasta (Georgetown, Pulau Pinang), AmCorp Mall (Petaling Jaya), Pasaraya Giant Seksyen 13 (Shah Alam), dan kedai buku terpakai di Banting, Selangor dan Pekan Taiping, Perak.

Saya memang menyukai buku dan majalah lama, khususnya yang menyiarkan rencana berkenaan sejarah atau politik di Malaysia. Kendati pun,  memandangkan agak payah untuk mencari buku atau majalah politik terpakai, saya perlu bermusafir sehingga ke Pulau Pinang. Bazaar Chowrasta adalah tempat kesukaan saya, dalam hal memborong makalah politik terpakai.

Sekiranya ada dalam kalangan pembaca tulisan ini yang mempunyai buku atau majalah politik Malaysia yang terpakai, bolehlah maklumkan kepada saya. Saya berminat untuk membelinya.

Suka untuk saya memetik kata-kata sahabat Facebook saya, Cikgu Mohamad Musip, “Saya tidak pandai memancing ikan. Saya cuma mahu memancing pengalaman.”

Benar, jauh perjalanan, luas pemandangan.

****

Tiada ulasan:

Catat Ulasan