Isnin, Julai 16, 2012

Borak Buku dengan Dr Razak Idris.

Penyampaian cenderahati oleh Saudari Nissa' Yusof, wakil penganjur Borak Buku.      
15hb Julai 2012 (Ahad), 3.30 petang.
Alhamdulillah, pada 15hb Julai 2012, saya menjadi moderator untuk acara “Borak Buku”, di mana kali ini, Dr Muhamad Razak Idris, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hadir untuk mengupas Buku “Kerugian Apa yang Dideritai Akibat Kemerosotan Kaum Muslimin”.

Buku terbitan tahun 1950an ini dikarang oleh Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi. Buku ini telah diterbitkan ke dalam banyak bahasa, antaranya, bahasa Melayu Indonesia, Arab dan Inggeris.

Acara yang terbuka kepada semua ini dianjurkan – sebulan sekali -- di Kedai Coffee Bean, Stesen Sentral Kuala Lumpur oleh Biro Penulis Muda PENA, ITBM, DBP Wilayah Tengah dan Alumni MPR.

Penulis buku ini, Almarhum Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi, merupakan seorang tokoh cendekiawan Islam yang pernah menjadi Pengasas Bersama “Constituent Council of the Muslim World League” (Mekah) dan Pengerusi Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Raja Faisal di atas sumbangannya terhadap perkembangan dan pembangunan dunia Islam.  

Secara umumnya, Dr Razak menyatakan bahawa buku -- yang di dalamnya terdapat kata pengantar oleh Sayyid Qutb – ini mengupas bahawa darjat manusia sekaliannya hanya akan berada dalam keadaan yang mulia dengan pengamalan nilai-nilai dan prinsip dalam Islam.  

Buku ini mengajak kita berfikir untuk menghayati dan mengkaji kesan yang diberikan oleh Tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain, terhadap kebajikan kebendaan dan pembangunan spiritual kemanusiaan.

Dr Razak membuat rumusan ringkas berkenaan intipati buku ini: kemunduran Islam membawa kepada penderitaan manusia sekaliannya, kerana nilai-nilai etika dan syariah telah dikesampingkan. Justeru, Dr Razak menyeru kepada umat Islam agar kita dapat berikhtiar bersungguh-sungguh, demi menguasai bidang ilmu, ekonomi, teknologi dan ketenteraan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan