Isnin, Mei 21, 2012

Abang Meor : Sembang Tepi Jalan.



******

Abang Meor : Sembang Tepi Jalan.

Alhamdulillah, semalam, dapat juga saya bertemu dan berbual dengan seniman besar ini: Meor Yusof Aziddin. Saya percaya, sesiapa yang pernah -- dan selalu – bertandang ke Stesen Sentral KL, pastinya pernah melintasi seorang lelaki yang sedang asyik ber‘busking’.


Sebut sahaja lagu apa dan siapa: daripada Blues ke Folk; daripada Iwan Fals ke SAKRAT; pasti halwa telinga kita disegarkan dengan lantunan suaranya. Beliau pernah terlibat menghasilkan 10 buah album indipenden (indie) sejak tahun 2000 sehingga 2011. Merupakan seorang “professional busker” di Stesen Sentral KL sejak 2010, beliau turut menulis di http://www.pestajiwa.net/.

Lebih dikenali dengan nama ‘Meor’ (Seniman Pyanhabib menggelarkannya, ‘Meor Susah’), beliau turut menghasilkan album dan mengarang buku. Saya sangat senang kerana setiap isi perbualan beliau cukup berseni: ringkas dan santai, tapi berisi.


Sewaktu saya bergegas untuk ke acara ‘Borak Buku’ yang dijalankan di warung kopi mahal berdekatan, Abang Meor sempat menurunkan autograf pada halaman awal bukunya yang saya beli, Sembang Tepi Jalan.    


Antara yang dinukilkan di dalam ‘Sembang Tepi Jalan’:

“...Sembang Tepi Jalan ceritanya ditulis sekali lalu dan ianya emosi saya di waktu itu tatkala menulis. Sebahagiannya adalah pendapat peribadi (point of view) dan sebahagiannya adalah imaginasi. Menyentuh tentang siri ‘Syurga Yang Hilang’, saya harap ada sikap keterbukaan kita dalam menilai apabila membaca novel ini. Biasalah cerita, ada watak baik dan sebaliknya. Nampak juga seakan Adam sebagai seorang free-thinker yang penuh dengan keegoan dengan fahaman yang dipegangnya. Walau apa pun, di penghujungnya masih juga ada sinar selagi dalam diri kita ada sikap jujur dalam mengenal, bagi sayalah. Jadi apa yang baik di dalam novel tersebut, kita ambil dan tak baik kita jadikan sempadan...”


Sewaktu saya menghulurkan tangan jabat dan menghadiahkan beliau naskah Wajah Hati Redha, beliau terus menerima dengan senang seraya berkata, “...Terima kasih sahabat. Hidup ini perjalanan, bukan tujuan!”


Lagu Pak Iwan Fals, Bunga Kehidupan, tenang bergema di gegendang telinga saya, tatkala telefon genggam Nokia -- edisi lama -- bergegar dari dalam kocek baju, menjerit-jerit minta diangkat.


*****

2 ulasan:

  1. saya pun berkesempatan jumpa abang Meor, ada tulis kat sini: BERSAMA MEOR PESTA JIWA

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh, bagusnya. Bersamalah kita hargai seniman dan budayawan kita. :)

      Padam