Isnin, April 02, 2012

Wajah Hati Redha: Skuadron Rakyat



**************************

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, kamar hati ini cukup teruja, sambil diselit kegembiraan yang membuncah, selepas manuskrip novel sulung saya, Wajah Hati Redha: Skuadron Rakyat berjaya disiapkan dan diluluskan untuk urusan penerbitan, dengan izin ALLAH S.W.T.

In sya ALLAH, saya akan ikhtiarkan untuk memaparkan gambar kulit muka hadapan (cover) novel saya dalam entri yang akan datang.

Dengan penuh rasa rendah diri, saya sajikan novel ini kepada pembaca yang budiman, seadanya, baik dan buruknya sekali: baik untuk dimanfaatkan, buruk untuk dibuang.

**************************

Sedikit sinopsis novel ini:
Tahun 1940an. Tanah Melayu bergolak. Malapetaka Darwinisme menjengah Kampung Kundang, Selangor. Di kala negara kuasa-kuasa besar berebut-rebut mempamerkan kuasa mereka, negara-negara kecil menjadi mangsa. Sejarah perjuangan menentang British yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela menjadi pedoman buat Ahmad Redha, Shukor Dhani dan sahabat-sahabatnya untuk bangkit, menentang penaklukan Jepun ke atas desa tercinta.

Kisah perjuangan Redha menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Redha, pejuang yang cekal menghadapi kesusahan zamannya demi agama, bangsa dan tanah air. Demi hasrat memperjuangkan kemerdekaan, Redha rela mengorbankan kasih pada isterinya. Redha bersama rakan-rakan pejuangnya menentang kedatangan Jepun di Kampung Kundang. Mereka merupakan skuadron rakyat yang berkhidmat sepenuh hati untuk rakyat.

Ahmad Redha kental berjuang, di bawah tadahan hujan - dalam kemuliaan perjuangan, atas nama TUHAN.

**************************

Novel ini baru sahaja siap dicetak minggu lalu. Justeru, sekiranya ada pihak atau sahabat budiman yang berminat untuk membuat tempahan awal novel saya, bolehlah berhubung dengan saya menerusi:

i) Blog ini http://chedinsphere.blogspot.com/;

ii) Laman Facebook Che Din; dan

iii) Emel saya, hujjahpawana@yahoo.com

Saya akan berikan nombor telefon bimbit saya buat sahabat yang betul-betul berminat untuk membuat tempahan.

Untuk novel ini, saya menggunakan nama pena Zairudin Ashrafi; iaitu gabungan nama penuh saya dan nama anak menakan saya, Ammar Ashrafi.

Saya amat berharap agar novel ini diterima ramai, sekurang-kurangnya, bagi menggalakkan kita semua menghargai sejarah anak bangsa dan tanah air.

Kerana kemerdekaan bumi tercinta ini tidak hanya berisi sisi damai; tetapi juga korban jiwa.

**************************



Al-Fatihah yang sekudusnya: buat semua bapak dan ibu kita. Pejuang bangsa - skuadron rakyat - yang redha berjuang; menempa rantai perjuangan; bersulamkan kesabaran dan kesedaran.

Salam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan