Sabtu, Mac 31, 2012

Ustaz Siddiq Fadzil: Majlis Kuliyyah Tafsir Maudhu’i Siri ke-61.


Pada 24 Mac 2012, telah berlangsung Majlis Kuliyyah Tafsir Maudhu’i yang dipimpin oleh Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan mantan Presiden ABIM.

Kuliyyah untuk Siri ke-61 ini berlangsung di Dewan Besar, Kolej Dar al Hikmah (KDH), Sungai Ramal Dalam, Kajang. Tajuknya ialah ‘Mencari Kurnia dalam Iman dan Komitmen mengikut Jejak Perjuangan Ar-Rasul SAW’ (Surah al-A’raf: Ayat-Ayat 156-158).

Ustaz Siddiq memulakan majlis dengan menyatakan bahawa ayat-ayat di dalam Surah tersebut diturunkan sebagai respon kepada doa Nabi Musa Alaihissalam (A.S).

Dalam berdoa, pesan Ustaz Siddiq, kita perlulah beradab, iaitu dengan menyatakan keagungan dan kebesaran ALLAH SWT. Doa yang dipanjatkan dengan penuh rasa kehambaan lah yang layak disambut oleh ALLAH SWT.

Ustaz Siddiq menambah, bukan ‘amal’ yang membawa kita ke Syurga, tetapi ‘rahmat’ ALLAH SWT. Ciri-ciri orang yang mendapat rahmat, berdasarkan ayat-ayat dalam Surah tersebut, adalah individu-individu yang menghayati dan menyantuni beberapa konsep seperti ‘iman’; ‘taqwa’; dan ‘zakat’.

Selanjutnya, Ustaz Siddiq menegaskan bahawa tidak cukup untuk umat Islam hanya belajar tentang ‘iman’; tetapi perlu juga mentaati ALLAH SWT dan meneladani perjuangan Rasulullah SAW.

Beliau juga menyatakan bahawa dakwah perlu bersifat universal memandangkan Islam adalah agama yang mudah dan sederhana. Hal yang demikian, kita perlu menampilkan ajaran Islam yang ‘ramah’ dan berhikmah.

Ustaz Siddiq Fadzil selanjutnya menekankan betapa perlunya wujud sikap berani berkata ‘tidak’ terhadap kezaliman dan pembodohan. Beliau mengimbau bagaimana penyair tersohor Indonesia, Almarhum Rendra menukilkan di dalam puisinya, watak ‘Pak Saijo’ yang telah dibunuh oleh Algojo, merasa kesal di atas kematiannya.

‘Pak Saijo’ menyesal kerana sepanjang hidupnya, ia menjadi penakut. Maka Ustaz Siddiq bermadah, “Hidup jangan jadi penakut. Orang yang takut mati pun tetap akan mati juga.”


* Untuk teks asal Majlis Kuliyyah Tafsir Maudhu’i ini, sila klik pautan ini:
‘Mencari Kurnia dalam Iman dan Komitmen mengikut Jejak Perjuangan Ar-Rasul SAW’ (Surah al-A’raf: Ayat-Ayat 156-158).

Salam.

2 ulasan:

  1. saudara kenapa link yg diberi utk kesuluruhan kuliyyah ini da disable..

    BalasPadam
  2. Pena Siswa :: Maaf, syeikh. Saya pun tak pasti. Cuba semak di laman sesawang rasmi ABIM.

    Kalau sudah tiada juga, boleh buat carian di laman Fb ABIM Pusat. Sebab saya pernah terbaca teks asal kuliyyah ini di laman tersebut. :)

    BalasPadam