Senja. Dan, hujan pun turun dengan semarah-marahnya. Selebat-lebatnya. Siap kilat dan petirnya.
Motor yang saya tunggangi dari tempat kerja -- menuju jalan pulang ke rumah -- saya matikan enjinnya di sebuah pondok menunggu bas.
Di pondok itu, saya lihat dua kelibat manusia. Seorang wanita -- dalam lingkungan umur awal 40an -- saya perhati sedang memeluk seorang budak lelaki (yang saya kira berusia lingkungan 7 tahun-darjah satu).
“Anak ke, Kak?” Tanya saya kepada perempuan itu.
“Aah. Dia ni penakut sikit,” jawab perempuan itu, dengan senyuman seorang ibu. “…Takut hujan, takut kilat,” sambungnya lagi. Masih setia dengan senyumannya.
“Adik siapa nama?” Soal saya, kali ini kepada anak kecil itu.
“Aiman,” jawabnya – ramah – dalam gusar. Setiap kali guruh berdentum, setiap kali itu jugalah makin erat ibunya didakap, dan mendakap.
Saya terus berbual-bual dengan perempuan itu, dan anaknya, sambil memerhatikan motor kesayangan yang basah ditimpa hujan.
******************************************************
“Takutlah Mak, ada geledek,” keluh saya yang berumur 5 tahun kepada Emak. ‘Geledek’ itu istilah jawa. Maksudnya guruh.
Entah kenapa, hari tu – petang, kira-kira pukul 2 – hujan turun diselang-selikan dengan kilat dan suara menggelegar yang menyentap hati.
Suasana rumah saya, yang dikelilingi pohon tinggi melampai seperti pokok kelapa itu, terasa sangat menggerunkan.
Saya tidak takutkan hujan. Tidak juga takutkan guruh. Tapi, entah kenapa, guruh hari itu membuatkan saya ketakutan. Tubuh Emak saya dakap seerat-eratnya.
“Kenapa nak takut?” Tiba-tiba Emak menimbulkan soal. “Kan hujan tu rahmat. ALLAH sayang kita. Sebab tu ALLAH turunkan hujan,” sambung Emak.
Saya hanya diam sedari tadi. Kehangatan dakapan Emak mengurangkan rasa takut saya. Redup wajah Emak menenangkan. Bening suara Emak melunakkan rawan hati.
Ketika saya curi melihat pohonan nyiur dan dahan pokok durian yang terhoyong-hayang dipukul angin kencang di luar rumah, ketakutan saya sudah beransur hilang.
Kerana Emak telah menenangkan saya. Dan saya rindukan ketenangan waktu di sisi Emak.
******************************************************
Aiman segera menaiki bas yang berhenti di hadapan pondok itu. Perempuan yang saya tidak ketahui namanya itu, hanya tersenyum kepada saya sambil memimpin tangan anak kecilnya.
Dari pondok itu, saya melihat Aiman tersenyum melambai-lambai ke arah saya dari dalam bas. Mungkin ketakutannya pada guruh dan kilat sudah berkurangan. Mungkin.
Sungguh, Aiman bertuah -- dia punyai ibu. Semoga Aiman jadi anak yang soleh. Amin.
Senja yang makin berengsot waktunya, membuatkan saya ralit dek kesyahduan dingin dan bening titisan hujan. Saya melihat jam di tangan – secara curi-curi – sebelum akhirnya saya tersedar: saya belum bersolat, meski Maghrib telah sampai waktunya.
Maka, hujan yang masih lebat itu, saya redahi juga. Tanggungjawab kepada Sang Penakluk Jiwa harus saya tunaikan.
Namun, kerinduan kepada Emak masih terimbau-imbau.
Maghrib itu, saya cuba menyentuh hikmah dan rahmat Sang Pencipta. Demi ALLAH, saya sayang Emak saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan