Sabtu, Oktober 22, 2011

Kosa Kata Klasik dan Bidal Melayu (Siri 5).

1) Air lalu kubang tohor = Gaji yang diterima lekas habis;

2) Air lata = Air terjun;

3) Air lebam = Air mayat;

4) Air laut hijau siapakah celup, duri di hutan siapakah pertajam? = a. Orang yang sudah mahir dengan tipu helah, pasti tidak mudah ditipu; b. Kekayaan tidak perlu diheboh-hebohkan;

5) Bagaikan embun di hujung rumput = Kasih-sayang yang tidak berkekalan;

6) Bagaikan tikus jatuh di kepuk = Mendapat keuntungan yang banyak secara tiba-tiba;

7) Burung terbang dipipiskan lada = Mengharapkan sesuatu yang belum pasti;

8) Daya kuda = Ukuran tenaga bekerja bagi mesin;

9) Di luar merah, di dalam pahit = Tipu daya selalunya berjaya oleh kata-kata yang lemah-lembut;

10) Kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah = Berbuat baik kerana sesuatu sebab yang tersembunyi;

11) Kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit = Disebabkan seorang berbuat keburukan, nama kumpulan menjadi buruk;

12) Panas setahun dihapuskan oleh hujan sehari = Perkara yang diusahakan untuk masa yang lama, menjadi sia-sia, akibat satu kesilapan;

13) Seperti mendukung biawak hidup = Membuat pekerjaan yang sukar dan berbahaya;

14) Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik = Setiap manusia perlu sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak menghadapi masalah kelak;

15) Tulang bersimpul = Orang yang malas bekerja; dan

16) Umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain = Dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.


Sumber dan Rujukan:

i. A.W. Hamilton. Malay Proverbs: Bidal Melayu, 1947. Singapura: Eastern Universities Press Ltd;

ii. Hamedi Mohd Adnan. Kamus Kosa Kata Klasik untuk STPM, 1998. Kuala Lumpur: Penerbit Elman;

iii. Hanapiah Sudin. Peribahasa Kini untuk Q.T., SPM, MCE dan HSC, 1976. Kuala Lumpur: Penerbitan Fargoes; dan

iv. Mohd. Tajuddin Hj. Abd Rahman. Kamus Peribahasa Melayu untuk Pelajar, 2001. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd.

3 ulasan: