Ahad, September 04, 2011

Al-Fatihah buat Noramfaizul Mohd Nor!

Ketika entri ini ditulis, jenazah jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, sedang disembahyangkan di Masjid TUDM, Subang.

Seperti yang kita sedia maklum, Allahyarham meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia.

Hari ini, rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum dan fahaman, bersatu buat kesekian kalinya, kali ini – untuk bertafakur dan merakam rasa takziah di atas pemergian Allahyarham.

Semoga kematian Allahyarham memberikan peringatan yang baik buat kita semua: bahawa kepulangan ke kampung asal (kematian) itu adalah pasti.

Dan, pengorbanan Allahyarham yang sanggup melupakan kesenangan beraya di kampong halaman, demi menyertai misi ke Somalia, seharusnya menjadi iktibar buat kita semua.

Sesungguhnya, tanggungjawab itu adalah lebih utama daripada waktu senang lenang.

Sekadar selingan, saya fikir, ada baiknya: jika kadar keselamatan petugas media dan anggota misi seperti yang disertai Allahyarham, dapat dipertingkatkan semaksimum mungkin. Benar, adalah mustahil untuk kita mengelakkan takdir ALLAH (kematian).

Tetapi, apalah salahnya jika kita berikhtiar sedaya mungkin.

Juga, semoga isu pokok (kebuluran dan konflik peperangan) di Somalia, tidak kita lupakan. Betapa bertuahnya kita hidup di bumi bertuah, Malaysia. Syukur.

Al-Fatihah buat seorang lagi wira negara dan agama, Noramfaizul Mohd Nor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan