Isnin, Julai 11, 2011

Bahagia dalam pasungan.


“Makan,” pelawa Emak. “Mak dah siap masak ni, kata tadi lapar?”

“Eh?...,” saya yang sedang asyik menghadap kaca TV, tiba-tiba jadi mati andar untuk beberapa ketika.

“Mari lah makan dengan Mak, dengan Abah. Mak ada masakkan ‘ikan parang masak kicap’ ni,” suara Emak kedengaran untuk kesekian kalinya.

“Eh?.......,” saya jadi tertanya-tanya untuk sekali lagi. Dan, lagi. Dan, lagi.

***********************************************************************

Saya bangun dengan jantung yang berderap kencang, penuh debar. Saya berjalan sedikit gopoh menuju arah dapur dan meja makan. Dengan rasa ingin tahu yang melimpah-ruah.

Saya menelan air liur.

Gulp.

gulp.

gulp.

Saya nampak Emak dan Abah sedang duduk di meja makan, sambil tersenyum memandang saya.

“Eh, Emak???...” Tanya saya dalam hati.

Saya terus berlari-lari anak menuju ke arah Emak. Dan, Emak nampak pelik dengan tindakan saya itu.

“Sihat tak? Kenapa ni?” Tanya Emak bergurau.

Saya tidak menjawab soalan Emak yang itu, dan terus mencium tangan Emak. Saya kucup pipi Emak.

Pipi kanan Emak. Harum.

Pipi kiri Emak. Wangi.

Dahi Emak. Bening.

Sewangi, seharum dan sebening kasih Emak. Terharu saya dibuatnya.

Sepanjang kami makan, saya tidak menjamah walau secubit nasi. Hanya menggaul-gaulnya dengan kuah masak kicap yang saya sedia maklum enak, tanpa perlu merasainya.

“Kenapa? Dari tadi asyik pandang Mak? Ada apa-apa ke?” Kata Emak sambil ketawa kecil. Abah turut tumpang ketawa. Bahagia.

“Tak ada apa, rindu sangat kat Mak… hehe,” jawab saya, ringkas.

“Kenapa rindu pulak? Kan Mak selalu ada. Dekat je, kan?” getus Emak sambil tersenyum. Indahnya wajah Emak. Tenang.

“Mesti lah rindu. Dah dekat sebulan tak dapat cium tangan Mak… Rindu sangat lah, Mak…”

Allahu Akbarullahu Akbar
Allahu Akbarullahu Akbar

assolatu khairum minan naum
assolatu khairum minan naum


Kedengaran suara Azan memecah suasana.

Saya lihat jam di dinding. "Eh? Azan apa ya ni?” Tanya saya kepada Emak. Emak hanya tersenyum indah. Tenang,

“Azan Subuh,” jawab Emak. “Jangan lupa sembahyang. Jaga solat,” pesan Emak.

“Hah, Subuh?” Tanya saya, sedikit pelik.

Saya pun bermonolog dengan diri, “Subuh? Dah tu, aku sedang bersahur ke ni?”

Tiba-tiba, saya pun terbangun daripada tidur.

Mimpi.

Mimpi.

Mimpi.

***********************************************************************

Saya hanya bermimpi. Mimpi bertemu Emak. Mimpi kucup pipi Emak. Mimpi kucup dahi Emak. Mimpi cium tangan Emak. Mimpi makan masakan Emak.

Mimpi ini mimpi ringkas. Tapi, mimpi ini adalah mimpi yang paling indah.
Sayang Emak. Rindu Emak.

Demi Allah, saya sayang Emak saya.


Bahagialah diri
di atas lembaran kehidupan
yang penuh, dengan fi’il dan tabiat insan

Bahagialah diri
dengan rasa rindu, kasih, sayang,
dan kecintaan
yang, memercup mekar dan mengharum
dalam jambangan hayat kehidupan,
penuh ketulusan

Bahagialah diri
meneruskan jejak kehidupan
dengan iman dan ketaqwaan

Bahagialah diri
untuk kesekian kalinya
membuang dosa dan onar
memurnikan jalan yang dilalui

Dan untuk selamanya
bahagialah diri
dengan rahmat, dan kasih-Nya Illahi
yang kita syukuri
tiap petang dan pagi
sampai ukhrawi.



Abu Hurairah r.a pernah mendengar sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)


Salam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan