Sabtu, Julai 30, 2011

Aie: Kartunis Lagenda (2).



Dunia seni dan Aie


Hasil kerja Aie bukan sahaja dapat dilihat dalam komik, malah pada muka depan cakera padat, poster dan ‘inlay’ artis terkenal. Antara muka depan album artis yang mendapat sentuhan kartunis Aie ialah album Kristal (Pak Belalang), Wings/Awie (Naga Keramat), Ku-2 (Evolusi), Def-Gab-C (Remifasolatido), dan Blues untuk Aku (The Album).

Beliau juga pernah terlibat dalam bidang lakonan melalui ‘Ujang: Siri TVlah Pulak’ dan ‘Air Mata Athirah’. Beliau pernah menjadi DJ bersama untuk rancangan kanak-kanak Radio 3, Shah Alam. Pantun jenakanya yang paling terkenal ialah pantun “Burung” dalam koleksi Din Beramboi, Radio Sembilan.

Pendirian Aie terhadap sastera jenaka ini terbentuk daripada sikap ingin mencari jati diri dan kelainan daripada kartunis yang sedia ada. Beliau banyak menerima tunjuk ajar dan pengalaman daripada kartunis yang terdahulu. Supaya tidak terikat dengan bentuk mereka, Aie mencari pendekatan melalui penggunaan kiasan dan bahasa Melayu yang tersusun bagi menghasilkan kartunnya.

Saya tidak sepenuhnya terikat pada bahasa Melayu yang baku. Ada kalanya juga saya memasukkan bahasa pasar atau bahasa slanga mengikut kehendak remaja kini. Tetapi mesejnya mesti jelas. Semua kartun saya harus mempunyai mesej, tidak kosong begitu sahaja.” Sekurang-kurangnya ada pengajaran yang didapati selepas membaca kartun beliau.

Beliau percaya bahawa setiap watak yang dibina, harus mempunyai jiwanya sendiri, watak sebegini akan menyebabkan pembaca menghayati kehidupan mereka walaupun di dalam komik. Pegangan kartunis ini bertepatan dengan disiplin kerja yang diamalkan. Beliau seorang yang begitu menghormati masa, memulakan kerja sekitar jam 4.00 atau 5.00 pagi sebelum masuk pejabat, menyambung kerja melukis dipejabat dan menetapkan empat keping gambar sehari untuk kartun ‘Bear dan Bob’ dan dua keping untuk kartun yang lebih sukar seperti ‘Aku dan Sesuatu’.

Figure manusia seperti watak Hassan dan Hussin memerlukan masa yang lebih lama.” tegas Aie. “Mood juga penting, persekitaran kerja harus membantu kartunis melukis. Kadang kala kartunis terpaksa mencipta mood tersebut. Kerja kartunis bukan seperti orang lain. Melukis kartun tidak sama dengan menilis surat atau kertas kerja. Kerja seni ialah kerja renyah, banyak hal yang kecil-kecil harus diteliti, drawing, warna, dan sebagainya.”



Falsafah dan Cita-cita: Aie.


Impian kartunis Aie yang masih belum tercapai sebagai kartunis ialah beliau ingin menghasilkan animasinya sendiri dan ingin karyanya diterima lebih baik dari sebelumnya. Aie berpendapat, “Jika sesiapa yang ingin menceburi bidang komik janganlah menghasilkan karya di mulut saja, sebaliknya tunjukkan melalui kayakinan pada karya anda sendiri. Biarpun orang mengatakan karya anda buruk dan kotor, janji anda berbangga dengan apa yang anda buat. Dalam dunia komik tiada siapa dapat mengajar anda untuk menghasilkan karya yang terbaik, guru yang paling baik adalah karya anda sendiri. Buatlah kerja bersungguh-sungguh, sekiranya mendapat peluang, jangan sia-siakannya.”

Aie mempunyai banyak cerita. Ciri-ciri khusus mengenai beliau turut tergambar dalam beberapa watak karyanya. Kartunis ini berjiwa besar, banyak pengalaman istimewa dan cerita menarik yang cuba dikongsi bersama-sama peminatnya. Kehidupan mempunyai banyak cerita, bukan setakat hidup sendiri, tetapi juga kehidupan teman-teman dan orang di sekeliling kita. Saya melihat persekitaran sebagai cerita terbaik, drama kehidupan manusia. Semua senyuman, ketawa, sengsara, derita dan air mata mempunyai nilainya dalam hidup manusia,” kata Aie.

Kehidupan Jessica dan suaminya Halim,” kata Aie, adalah satu contoh bagaimana manusia melalui kehidupan. Watak yang sederhana dan memikat. Kenakalan Yon dan ketabahan Zah merupakan daya penarik dalam siri ‘Blues untuk Aku’Sebagai kartunis, Aie memberikan mesej secara tidak langsung. Penggunaan banyak bahasa kiasan adalah penting. Bagi beliau, orang Melayu kaya dengan pelbagai peribahasa, kiasan, dan pantun. Cara ini akan memperkaya lagi penggunaan sastera tradisional dalam kalangan pembaca.

Falsafah dan pegangan Aie ketika berkarya nampak mudah, tetapi fungsinya amat besar. Beliau sentiasa mengingati diri sendiri supaya sentiasa memegang amanah sebagai khalifah, iaitu karyanya harus berguna kepada orang lain. Tidak kosong semata-mata dan tidak hanya dilihat sebagai hiburan yang kering tanpa jiwa. Karya apa pun kepada kartunis ini, harus berperanan kepada fungsi mengapa kita melakukan pekerjaan tersebut dan kerja yang dibuat adalah ibadat walau dalam bentuk apa sekalipun. Beliau tidak setuju majalah komik atau kartun dilihat sebagai hiburan tanpa apa-apa nilai.

Bernilai atau tidak sesebuah karya itu terletak kepada kartunis itu sendiri. Jika dia mementingkan unsur humor tanpa nilai-nilai ilmu atau pengajaran, maka yang tingal hanya humor dan tidak membantu peminat menilai sesuatu yang lebih besar.”

Oleh itu, yang penting ialah beliau mempunyai keinginan dan usaha untuk menjadikan komik Malaysia sebagai sebuah industri. Melukis merupakan satu perniagaan, industri yang besar. Beliau harus mengeluarkan sesuatu yang berkualiti untuk pembeli. Bagi Aie, kartunis yang baik ialah mereka yang tahu bagaimana ingin memasarkan diri, nama, dan karya masing-masing. Beliau juga mengingatkan kartunis baru bahawa tempat sentiasa ada untuk mereka dan jangan mudah berpuas hati dengan karya masing-masing. Sentiasa membuat perubahan dan pembaharuan adalah penting, di samping mencari idea yang lebih segar dan dinamik.

Pendapat beliau tadi bertepatan dengan nasihat kartunis Lat yang sentiasa dipegang oleh beliau, iaitu “Kita harus melukis dengan lebih baik dari hari ini dan terus-terusan melukis. Jangan sesekali berhenti.” Pesanan tersebut sentiasa mengiringi karier Aie sebagai kartunis. Aie adalah antara kartunis Malaysia yang sentiasa mencuba memberikan kesegaran dan nafas baru kepada dunia kartun Malaysia dan tidak pernah berhenti mencari konsep persembahan baru dan membuat perubahan, walaupun sukar pada mulanya.

Beliau mencari pendekatan terbaik untuk berada dalam bidang kesayangannya dan minatnya tidak pernah terhenti, walaupun banyak melalui kesukaran dan masalah. Tidak banyak kartunis yang mampu bertahan dalam industri ini tanpa jati diri dan pegangan yang kuat. Lebih banyak komik berat berkisar kepada drama kehidupan manusia perlu diterbitkan. Komik sebegini sedikit banyak dapat membantu khalayak muda sastera yang baru berjinak-jinak untuk mengenali sastera mencari satu bentuk bacaan yang berbeza dan kemudian beralih kepada cerpen dan novel yang lebih serius.


Khatimah


Shaari Sulong (Aie) merupakan seorang pelukis ilustrasi, kartunis dan juga penulis muda yang berbakat dan cukup dikenali dewasa ini. Bermula sebagai kartunis bergiat di dalam bidang karya kreatif, beliau mempersembahkan sebuah siri novel grafik hebat berkisar tentang kehidupan masyarakat yang penuh konflik, kasih sayang, persahabatan serta nilai-nilai murni keharmonian. Senantiasa tampil dengan gaya ilustrasi tersendiri yang lebih mantap, mengukuhkan lagi namanya sebagai pelukis grafik yang hebat pada zamannya.


Sumber dan pautan:











1 ulasan:

  1. salam... saya masih simpan novel jibam dan komik abe. hasil kerja tangan dari aie dan Ujang..

    BalasPadam