Sabtu, Mei 28, 2011

Darul Arqam: Sejarah suka-duka (Bahagian II).

Meluaskan Pengaruh
Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan kecemerlangan organisasi dakwah tertentu. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu gerakan, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, kepengikutan, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Sebanyak 52 buah kedai runcit dibangunkan di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 buah pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran di seluruh Malaysia. Al-Arqam juga memiliki 56 buah kilang perusahaan di seluruh Malaysia. Pada tahun 1993, Al-Arqam mengambil langkah yang drastik dengan menumpukan perhatian kepada dunia antarabangsa. Langkah pertama adalah dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam. Setelah membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah Ustaz Asaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia, Indonesia dan Khurasan.
________________________________________________

Krisis Kepimpinan
Krisis kepimpinan Al-Arqam bermula setelah berlakunya penyingkiran Akbar Anang pada tahun 1979 yang merupakan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah. Menurut Akbar Anang, penyingkirannya bersama adalah kerana beliau mempersoalkan ajaran Al-Arqam. Namun, menurut Ustaz Asaari, Akbar Anang disingkirkan kerana beliau cuba membentuk pakatan yang bertujuan menyingkirkan Ashaari daripada tampuk kepimpinan Al-Arqam. Akbar Anang memberontak dan mendedahkan keperihalan Aurad Muhammadiah sehingga dihadapkan ke Pusat Islam pada 1979. Asaari dilapor menafikan Kiyai Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Imam Mahadi dan berjaya membersihkan Darul Al-Arqam daripada kesangsian asas.

_____________________________________________________



SN Pak Shahnon dan Darul Arqam
Seperti yang kita sedia maklum, Sasterawan negara, Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad (selepas ini dirujuk sebagai Pak Shahnon), pernah menyertai pergerakan Al-Arqam selama empat tahun. Selepas Al-Arqam diharamkan, ramai yang menyifatkan karya Shahnon, novel ‘Tok Guru’ dan ‘Ummi dan Abang Syeikhul’ sebagai kritikan pedas terhadap amalan poligami dalam Al-Arqam. Ada yang beranggapan Shahnon kecewa dengan Al-Arqam. Wartawan Helmi Mohd. Foad dalam majalah Mastika, keluaran September 1998 menyatakan bahawa ‘jiwa Pak Shahnon menggelegak dengan penyelewengan agama di dalam Arqam’. Lantas, ‘secara sinis, kritikannya terhadap eksplotasi wanita dalam Al-Arqam dimuntahkan melalui penanya hingga lahirlah novel ‘Ummi dan Abang Syeikhul.’ Namun demikian, ternyata dalam buku autobiografinya, ‘Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi’, Shahnon menjelaskan bahawa kedua-dua novelnya itu bukanlah bermakna beliau tidak bersetuju dengan poligami amalan Al-Arqam. Tetapi sebenarnya segala “ungkapan olok-olokan, sindiran-sindiran, kata-kata yang bersifat figuratif, simbolik dan kiasan-kiasan yang penuh sinikal” adalah sebagai caranya dalam memaniskan poligami itu. Hanyasanya khalayak tersalah mentafsirnya. Lebih menarik lagi, menurut Pak Shahnon, isi ucapannya sempena penganugerahan Sasterawan Negara yang kedua pada 1982 juga, diinspirasikan dari Ustaz Asaari (waktu itu beliau masih aktif dalam Al-Arqam). Pak Shahnon menegaskan bahawa beliau keluar daripada Arqam kerana “jemaah Al-Arqam telah diharamkan oleh pemerintah dan sebagai seorang yang patuh kepada undang-undang, beliau tidak lagi bersama Al-Arqam.”
________________________________________________


Kontroversi pengharaman Darul Arqam dan polemik politikus
Terdapat beberapa pihak yang mendakwa bahawa Al-Arqam telah membantu menaikkan dan berkempen untuk beberapa orang pemimpin politik tanah air. Tan Sri Zainudin Maidin dalam bukunya, ‘Hari itu sudah berlalu’ menyatakan bahawa pada suatu bulan puasa, ketika berbuka puasa di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Damansara, beliau mendapati bahawa DSAI turut menjemput ramai jemaah Al-Arqam. Beliau membuat kesimpulan bahawa DSAI pada asalnya menyokong jemaah Darul Arqam. Hj. Hassan Mokhtar, mantan Setiausaha Majlis Syuyukh (Tertinggi) Al-Arqam, merupakan sahabat ikrab DSAI sejak sekian lama. Akan tetapi, sewaktu DSAI memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau menyokong tindakan ke atas Darul Arqam dan menegaskan bahawa ia adalah semata-mata atas alasan pertubuhan tersebut melanggar ajaran Islam, selain menafikan bahawa Al-Arqam dianggap sebagai satu ancaman politik kepada UMNO-BN. Beliau menekankan lagi, hal ini demikian memandangkan ahli-ahli Darul Arqam ‘bukan pengundi berdaftar’ dan tidak mampu mengubah atau mempengaruhi trend undian. 

Dalam satu sidang media bersama wartawan Thailand, DSAI menidakkan Darul Arqam sebagai masalah agama yang kecil yang tidak perlu ditangani sebagai ‘isu keselamatan’ (akhbar ‘Bangkok Post’, 21.9.94). Beliau juga berharap agar ISA dikenakan terhadap 8 orang pemimpin Darul Arqam, termasuklah Ustaz Asaari Mohamad. Sementara itu, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berpandangan bahawa Darul Arqam secara jelas telah melakukan dua kesalahan, iaitu: kegagalan mendaftarkan pertubuhan tersebut serta menyebarkan doktrin-doktrin yang salah. Namun, beliau berpandangan bahawasanya kesalahan-kesalahan tersebut tidak menghalalkan penggunaan ISA ke atas mereka. Dengan pengaruh dan populariti yang semakin meluas, pada tahun 1991, Darul Arqam secara yakin mengisytiharkan bahawa ia telahpun menerobos era bagi menyempurnakan thoifah (gerakan) kepada ummah: yang merupakan asas membentuk daulah (negara). Pada 1994, selepas Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan dan para pemimpinnya dikenakan tahanan ISA, segala kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam yang bergiat cergas sebelum ini dipantau dan ditamatkan dengan pukulan ‘maut’ oleh kerajaan yang diketuai oleh Pusat Islam.

Dalam hal ini, Parti Islam Semalaysia (PAS) lebih kepada bersikap tunggu dan lihat. Manakala tuduhan sesat yang dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh pimpinan PAS. Pimpinan PAS seperti Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presidennya, Dato’ Fadzil Noor sekitar Ogos 1994 membuat kenyataan menyokong fatwa berkenaan pengharaman Darul Arqam dan usaha bagi membendungnya. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerusi Presidennya ketika itu, Dr Mohd. Noor Manutty turut menyatakan sokongannya terhadap usaha pengharaman Al-Arqam. Tindakan dua jemaah Islam ini agak mengecewakan Ustaz Asaari yang mengharapkan sokongan kepada Al-Arqam. Namun, Pertubuhan Nadhatul Ulama di Indonesia menyatakan sokongan dan membela Al-Arqam menerusi sepucuk surat rasmi yang disiarkan dalam akhbar ‘Pikiran Rakyat.’
________________________________________________


Diharamkan
Pengharaman di Malaysia
JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – dahulunya dikenali sebagai Pusat Islam) pimpinan Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir, telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Namun, pihak yang mula-mula memanggil pemimpin Al-Arqam pada tahun 1979 bukanlah Pengarah Pusat Islam (JAKIM) atau para pegawai atasannya, tetapi adalah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun), merangkap Menteri Dalam Negeri. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Asaari Mohamad, antara perkara pertama yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat adalah mengharamkan buku “Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam” pada tahun 1986. Ahli Jawatankuasa Syariah memperakui dan mengesahkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Hal Ehwal Islam Malaysia dalam Muzakarah ke-20 di Kuching, Sarawak pada 2 April 1988 mengenai buku tersebut, iaitu dengan mengharamkannya, sekaligus menjawab tindakan oleh Ustaz Asaari Mohamad kerana ianya mengandungi ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam dan amat mengelirukan masyarakat Islam.

Dalam satu pengubahsuaian terhadap fatwa yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang pada 18 haribulan Ogos 1988 yang dibuat oleh Mufti Pahang atas kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, menurut subseksyen 38 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 adalah disiarkan menurut subseksyen 36 (2) Enakmen itu bahawa buku yang bertajuk ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan’ yang ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad dan isi kandungannya; dan ‘Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi’ yang ditulis oleh Mohamad Taha As Suhaimi dan juga yang ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua bahawa dan isi kandungannya adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan. Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengenai pengharaman Darul Arqam pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik. Sekali lagi, pada 12 September 2006, Muzakarah kali ke-75, Majlis fatwa Kebangsaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam walaupun dinamakan semula sebagai Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd atas alasan bercanggah dengan akidah umat Islam di Malaysia.

____________________________________________________


Pengharaman di Indonesia
Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat juga mengeluarkan fatwa tentang kesesatan kelompok ini pada tanggal 13 Ogos 1994. Keputusan MUI tersebut adalah selari dengan keputusan Majlis Ulama Indonesia Daerah Istimewa Acheh, Majlis Ulama Indonesia Tingkat I Sumatera Barat, Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I Sumatera Selatan, Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I Riau, dan Keputusan Rapat Komisi Fatwa Majlis Ulama Indonesia, serta kesepakatan silaturrahmi nasional Majlis Ulama Indonesia dan Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I, tanggal 16 Julai 1994 di Pekanbaru, yang pada intinya menyatakan bahawa ajaran Darul Arqam adalah ajaran yang menyimpang daripada Aqidah Islamiyah. MUI juga mendukung sepenuhnya Keputusan Jaksa dalam mengharamkan buku berjudul “Presiden Soeharto Ikut Jadual ALLAH”, yang dikarang oleh Ustaz Asaari, disusun oleh Khatijam Aam dan diterbitkan oleh Penerbitan Al-Arqam Indonesia (PAI).

________________________________________________



Penangkapan, ‘Keinsafan’ dan ‘Pengakuan Terbuka’
Daripada keputusan Majlis Fatwa inilah, pihak Kerajaan Pusat pada 3 September 1994 telah membuat tangkapan terhadap Ustaz Asaari Muhammad dan para pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ustaz Asaari dan beberapa orang pemimpin kanan Darul Arqam juga telah membuat ‘pengakuan terbuka’ mengenai penyelewengan Al-Arqam dan menyatakan ‘insaf’. Peristiwa bersejarah ini berlangsung di Masjid Negara pada 1994 dan disiarkan di kaca televisyen.

___________________________________________


Selepas pengharaman Darul Arqam
Selepas Darul Arqam diharamkan, para pemimpin dan ahlinya telah menjalani Kursus Pemurnian Aqidah. Namun, tidak semua pemimpin dan ahlinya berhenti daripada menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiah dan gerakan Al-Arqam. Kini, kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994. Kendati pun, yang wujud ialah Kumpulan / Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd). Ustaz Asaari pernah dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan atas dakwaan cuba mengembangkan semula Jemaah Darul Arqam atas nama syarikat Rufaqa’ Corporation. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Isu Darul Arqam dan Aurad Muhammadiah kembali meledak dalam kalangan masyarakat Malaysia apabila kemunculan satu klip video dalam bentuk VCD bertajuk “Mengenal Mursyid” iaitu sebuah ceramah yang disampaikan oleh orang kanan Rufaqa, Abu Zaharin Taharim. Bukti kedua tentang usaha menghidupkan Al-Arqam menerusi Rufaqa’ Corporation (kini dikenali sebagai Global Ikhwan) boleh dilihat melalui buku penulisan isteri Ustaz Asaari, Khatijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah. Buku bertajuk: ‘Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya’ itu lebih sarat-padat dengan usaha menghidupkan semula Al-Arqam. Ayat pertama di dalam satu tajuk khusus ‘Aurad Muhammadiah’ secara terang-terangan menegaskan bahawa Asaari tidak dapat dipisahkan dengan Aurad Muhammadiah. Akhbar Harian Metro edisi 7 Disember 2006 telah menelanjangi pembohongan itu secara jelas. Adalah aneh, pengakuan Khadijah Aam yang begitu tegas, keras dan lantang dalam bukunya tiba-tiba bertukar lembik, lesu dan tidak bermaya apabila Asaari mengakui yang dia dan keluarganya (termasuk Khatijah Aam) tidak mengamalkan Aurad Muhammadiah.

_________________________________________________


Meninggal dunia
Pengasas Darul Arqam, Ustaz Asaari Mohamad meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah diadakan di Ipoh. Setelah kematian Ustaz Asaari Mohamad, terdapat usaha daripada pihak tertentu yang didakwa masih meneruskan agenda kesesatan dengan mengadakan persembahan berbentuk pentomin untuk menguatkan akidah pengikutnya bahawa Abuya tidak mati. Cuma ghaib sebentar dan akan kembali semula dengan jasad asal dalam waktu terdekat. Namun, perkara ini dinafikan oleh anak sulung Ustaz Asaari.

__________________________________________





Khatimah
Sebagai sebuah pertubuhan Islam dan gerakan dakwah, peranan dan penglibatan Al-Arqam dalam arus kebangkitan semula Islam di negara kita tidak boleh diketepikan. Sejak ditubuhkan pada tahun 1968 sehingga membawa kepada pengharamannya pada tahun 1994, Al-Arqam telah memainkan peranan sebagai agen perubahan sosial yang penting di kalangan masyarakat Islam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.  Al-Arqam bukan sahaja memaparkan satu cara hidup yang tersendiri, malahan telah memperkenalkan sistem, model dan cara hidup Islam berdasarkan keyakinan yang dipegang oleh para anggota Jemaahnya. Suatu kenyataan pahit yang mungkin sukar untuk diterima atau ditelan oleh pencinta Islam di Malaysia ialah lompang atau kekosongan yang ditinggalkan akibat pengharaman Darul Arqam seperti aktiviti kemasyarakatan dan penampilan Islam seperti sosial, ekonomi dan politik bukan sahaja tidak terisi, bahkan tidak mampu diisi oleh mana-mana pihak: sama ada berbentuk individu atau kumpulan organisasi.

Apa yang telah berlaku pada Al-Arqam patut diambil dan dijadikan iktibar. Janganlah kita taksub kepada pemimpin sepertimana yang telah dilakukan oleh para pengikut Darul Arqam. Yang baik pada Al-Arqam, jika ada dan menepati syariat, ambillah sebagai panduan agar kebaikan itu dapat ditebarkan ke tengah masyarakat. Yang batil dari Al-Arqam, tolak dan buang sahajalah jauh-jauh. Islam tetap agung tanpa Al-Arqam. Bersama-samalah kita serahkan kepada ALLAH SWT untuk Pengadilan-Nya. Penulis, Saudara Mohd Sayuti Omar (MSO) menukilkan dalam bukunya, ‘Hitam Putih Darul Arqam’:
Perjuangan berteraskan akidah tidak mudah goyah. Tapi apalah gunanya kalau akidah atau keyakinan yang kita pegang itu terbatal atau salah.”

Kepada ALLAH SWT jugalah sebaik-baik Pengaduan dan sebaik-baik Pengadilan. ALLAH ‘Alim.

Salam. :)

********************************************************

Bibliografi:
Sumber daripada bahan bercetak (buku, jurnal dan majalah):
1. Ab. Aziz Mohd. Zin. Dakwah Islam di Malaysia, 2006. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya;
2. Abdul Rahman Haji Abdullah. Gerakan Islam tradisional di Malaysia (Sejarah dan pemikiran : Jamat Tabligh & Darul Arqam), 1992. Penerbitan Kintan;
3. Ahmad Zaki Engku Alwi. Ajaran Sesat: Mengenali Jalan Yang Terpesong, 2007. Pahang: PTS Islamika;
4. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Badlihisham Mohd. Nasir, Berhanundin Abdullah. Dakwah gerakan Islam alaf baru, 2000. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia;
5. Ajaran sesat: Satu ancaman terhadap keselamatan negara, 1995. Kor Agama, Angkatan Tentera;
6. Ann Wan Seng. Al-Arqam Di Sebalik Tabir, 2005. Pahang: PTS Millennia Sdn. Bhd.
7. Ashaari bin Muhammad. Berhati-hati Membuat Tuduhan,1989. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
8. Ashaari bin Muhammad. Aurad Muhammadiah: Penjelasan Darul Arqam, 1988. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
9. Dusuki bin Haji Ahmad. Islam di Malaysia: Kebangkitan dan masa depan, 1980. Al-Hilal;
10. Farahwahida Mohd Yusof. Al-Arqam dan Ajaran Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian, 2007;
11. Farahwahida Mohd. Yusof. Aliran kepercayaan: Sejarah dan perkembangannya di Malaysia, 2007. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia;
12. Hartono Ahmad Jaiz. Aliran dan paham sesat di Indonesia, 2002. Pustaka Al-Kautsar;
13. Haswan. Menangani ancaman Al-Arqam, 1993. Penerbitan Al Munir;
14. Imron Arifin dan Agus Sunyoto. Darul Arqam: Gerakan mesianik Melayu, 1996. Kalimasahada Press;
15. Mohd. Lazim Lawee. Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya, 2004. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
16. Mohd. Nizamuddin dan Laila Ahmad. Abuya H. Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Malaysia: Giliran Timur Books;
17. Mohd. Roshdi Yusoff. Arqam Sesat, 1994. Bukit Mertajam: Insani Enterprise;
18. Mohd. Rushdi Yusof. Bahaya Arqam kepada ummah dan negara. Pustaka Reka;
19. Mohd. Sayuti Omar. Hitam putih Darul Arqam: Realiti disebalik pengharaman, 2004. NZ Dynamic;
20. Mohd. Sayuti Omar. Mujaddid alam Melayu: Harapan dan impian Darul Arqam, 1993. Tinta Merah;
21. Penjelasan terhadap buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, 1986. Kuala Lumpur: Bahagia Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
22. Penyelewengan Arqam dari Ajaran Islam, 1994. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
23. Syed Hussien Alattas. Memo kepada Perdana Menteri, 1992. Al-Suhaimi;
24. Yusuf Harun. Anak Bulan Di Kota London, 1990. Kuala Lumpur: Yayasan Gerakbakti Kebangsaan; dan
25. Zabidi Mohamed. Tersungkur di Pintu Syurga, 1998. Kuala Lumpur: Zabidi Publication.

Sumber internet:
1. http://aboutmiracle.wordpress.com/2008/07/08/sekilas-gelombang-dakwah-abuya-ashaari-muhammad/;
2. http://en-gb.facebook.com/topic.php?uid=123143384380741&topic=452;
3. http://mengenal-abuya.blogspot.com/;
4. http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html
5. http://msianhistoryx.blogspot.com;
6. http://muslim.or.id/manhaj/darul-arqam-dan-wajah-barunya.html;
7.http://pak-mail.blogspot.com/2011/04/pak-mail-dan-al-arqam.html; http://riwayatmelayu.blogspot.com/2010/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html;
8. http://s13.invisionfree.com/mysahabat/ar/t112.htm;
9. http://tomatosusu.blogspot.com/2010/05/al-arqam-kesesatannya.html; dan
10. http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00987.html.

2 ulasan:

  1. terbaik . dimana ada kelebihan, disitu ada kekurangan . Jazakallah :))

    BalasPadam
  2. Segala pujian buat ALLAH SWT dan Baginda SAW. :)

    Sejelasnya, banyak yang kita boleh pelajari daripada Arqam dan Allahyarham Ustaz Asaari. Selain aspek ekonomi, kaedah dakwah mereka juga kelihatan sangat 'mesra pengguna'.

    Ambil saja contoh Nadamurni dan The Zikr. Mereka antara pelopor genre baru dakwah di negara kita.

    Nah, dalam soal pegangan Arqam, mungkin bisa saja kita menolaknya. Tapi, apalah kiranya perkara-perkara tauladan kita ikuti. :)

    BalasPadam