Khamis, Mac 31, 2011

Penjaga gol terbaik Malaysia.



Dalam sukan bola sepak, penjaga gol mengambil kedudukan yang mewakili garis akhir pertahanan antara serangan lawan dan gol pasukannya. Peranan utama penjaga gol adalah untuk mempertahakan gol pasukannya dan juga lawan daripada menjaringkan gol. Penjaga gol juga adalah satu-satunya pemain yang dibenarkan untuk memegang bola dengan tangan atau lengannya dalam permainan terbuka. Setiap pasukan diwajibkan mempunyai satu penjaga gol di padang pada semua ketika semasa suatu perlawanan berlangsung. 

Jika penjaga gol terpaksa keluar disebabkan kecederaan atau dibuang padang, pemain lain mesti mengambil peranan berkenaan, walaupun pasukan tersebut tidak mempunyai penjaga gol gantian/atau sudah menggunakan kesemua pemain simpanan. Skuad Harimau Malaya telah sejak sekian lama diwarnai dengan para penjaga gawang yang cekap dan hebat. Ayuh, kita kongsi beberapa orang penjaga gol terbaik dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air:


Mendiang R. Arumugam
R. Arumugam (31 Januari 1953 - 18 Disember 1988) telah memulakan kerjaya bola sepaknya sewaktu umur yang sangat muda. Beliau memulakan penampilannya dengan pasukan Selangor FA apabila berusia 18 tahun di dalam pertandingan Piala Remaja Burnley dalam tahun 1971. Beliau dikenali sebagai “Spiderman” kerana ketangkasannya. Beliau juga merupakan wira Harimau Malaya, seangkatan dengan ikon bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

R. Arumugam telah mendapat 196 kaps (bukan semua perlawanan antarabangsa bersifat kelas A) bagi Malaysia semasa zamannya bersama pasukan kebangsaan semenjak 1973 apabila beliau bersara daripada arena antarabangsa pada tahun 1986. Sasaran asalnya adalah untuk mendapat 200 kaps. Antara pencapaian terbaiknya adalah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 serta layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Malangnya, negara kita memboikot Sukan Olimpik pada tahun tersebut sebagai protes terhadap pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.

------------------------------------------------------------


Chow Chee Keong
Tidak ramai yang mengambil peduli pemain ini: Chow Chee Keong. “The fallen hero” ini tersenarai sebagai penjaga gol ke-10 terbaik Asia sepanjang zaman. Beliau terpilih sebagai penjaga gol terbaik Asia sebanyak 5 kali (1966 - 1970). Pernah bermain untuk pasukan Liga Hong Kong dan menerima gaji termahal (HKD2,500.00) sewaktu mencurah bakti dalam liga tersebut. Pada tahun 1982, beliau bermain dengan Skuad kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sebelum mengumumkan persaraannya.

---------------------------------------------------------------


Rashid Hassan
Abdul Rashid Hassan merupakan bekas penjaga gawang Skuad Harimau Malaya yang sangat cemerlang. Selaku penjaga gol era 70, 80 dan 90-an, Rashid bukanlah calang-calang orang dan beliau cukup masak dengan kerenah serta asam garam arena bola sepak negara kerana pernah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan. Beliau merupakan pemain yang seangkatan dengan Azizol Abu Haniffah, Dollah Salleh, K. Rajagopal, Khan Hung Meng, Lim Teong Kim, Serbageth "Shebby" Singh dan Zainal Abidin Hassan. Beliau juga tersenarai sebagai pemain yang meraih pingat emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka.

---------------------------------------------------------------


Mendiang Ong Yu Tiang
Pemain seangkatan R. Arumugam, Mokhtar Dahari, dan Rashid Hassan ini pernah beraksi untuk pasukan Pahang, Terengganu (1976-1979), Selangor (1980-1984 dan 1990) dan PDRM (1993). Beliau pernah menjulang Piala Malaysia sewaktu bersama Selangor (1981 dan 1982) dan menjadi johan Liga Malaysia bersama Pahang (1987) dan Selangor (1991). Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 15 Disember 2003 akibat penyakit leukaemia. Beliau menjadi antara pemain Skuad Pilihan Malaysia yang beraksi sewaktu Kejohanan Bola sepak Pantai sekitar pertengahan 1990an yang turut disertai lagenda Manchester United dan Perancis, Eric Cantona.

--------------------------------------------------------------------


Hassam Miskam
Hassam Miskam, satu nama yang tidak asing buat penyokong Selangor dan Johor. Aksi cemerlangnya bagaimanapun diconteng dengan skandal rasuah yang membawa kepada kejatuhan beliau. Sukan bola sepak negara gempar dengan isu rasuah pada tahun 1994 di mana seramai 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan.

Akibatnya, seramai 58 pemain dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan manakala beberapa pemain dibuang daerah dan seumur hidup tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM. Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai. Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik (Matlan Marjan) pernah dilahirkan oleh negara.

Kemerosotan pasukan kebangsaan Malaysia datang bersama-sama dengan kemerosotan liga tempatan. Banyak peminat Malaysia menyalahkan skandal rasuah pada tahun 1994 sebagai satu pemangkin, tetapi populariti langganan TV juga melarikan kebanyakan peminat bola sepak Malaysia daripada siaran langsung perlawanan tempatan ke perlawanan Eropah yang berprofil tinggi. Dengan kekurangan minat dan dana, bola sepak kebangsaan Malaysia sekarang ini masih berbatu jauhnya jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan bola sepak pada 1970-an dan 1980-an.

----------------------------------------------------------------

Mohd Halim Napi
Penjaga gol paling digeruni pada jamannya. Baik kerana ketangkasan mahupun kerana sikap panas barannya. Pemain yang dilahirkan pada 11 Jun 1971 ini bermain sehingga berumur 40 tahun, satu rekod yang jarang-jarang dikecapi oleh penjaga gol profesional di Malaysia. Mempunyai ketinggian 6' 1", Halim menyertai pasukan Kelantan selepas zaman Hamid dan Halim Ramli. Pernah digantung beberapa kali kerana mengasari dan bergaduh dengan pemain dan pengadil, penjaga gol yang mempunyai pengaruh yang besar ini pernah beraksi untuk beberapa pasukan seperti Kelantan, JKR dan Negeri Sembilan.

-------------------------------------------------------------------------


V.Murugan
Veerappan Murugan atau V. Murugan (lahir pada 3 April 3 1965) merupakan bekas penjaga gawang Malaysia dan mencipta nama sewaktu mewakili pasukan Selangor yang dipimpin oleh gabungan Dato’ Aini Taib dan Ken Worden (era Azman Adnan, Asroff Hanafiah, Ismail Ibrahim, Azlisham Ibrahim, Shahril Arshat, K. Gunalan, P. Maniam, David Mitchell, Josep Biskic, Mehmet Durakovic, dan ramai lagi). Beliau pernah bermain untuk pasukan Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Public Bank, PDRM dan Melaka. Beliau juga pernah memenangi Piala FA, Piala Malaysia, dan Liga Malaysia. Seperti Halim Napi, V. Murugan juga beraksi sehingga berumur 40 tahun.

-----------------------------------------------------------


Khairul Azman Mohamed
Khairul Azman Mohamed dilahirkan pada 5 Mac 1968 di Kuantan, Pahang. Beliau mempunyai ketinggian 1.85 m dan merupakan seorang bekas penjaga gol terbaik era 90-an yang pernah dilahirkan oleh Malaysia. Dengan ketinggian dan kemahiran yang baik, pada era kegemilanganya mampu membuatkan pemain lawan menggeruni kemampuannya mengawal gawang. Beliau merupakan anggota skuad Juara Piala Kemerdekaan Indonesia 1992, Juara Pestabola Merdeka 1993, Naib Juara Piala Tiger 1996.

Bekas Penjaga Gol Terbaik Asia dan Pemain Terbaik Piala Malaysia 1996 ini pernah bermain untuk Pahang dan Sabah. Merupakan anggota pasukan Sukan Sea yang dimalukan skuad Laos sewaktu Sukan Sukan Sea Jakarta 1997. Kegagalan Khairul menyelamatkan sepakan bebas pemain Laos dari luar kotak penalti menyebabkan pasukan negara gagal ke separuh akhir kejohanan tersebut. Namun, Khairul tetap dianggap terbaik pada era 90-an. Antara penjaga gol terbaik pernah dimiliki Malaysia.

------------------------------------------------------


Azmin Azram Abdul Aziz
Selepas Khairul Azman bersara daripada arena antarabangsa, muncul Azmin menjadi penjaga gol nombor satu negara. Ketangkasan Azmin ketika beliau berada pada zaman puncaknya tidak perlu dipertikaikan. Perlawanan menentang pasukan kebangsaan Brazil pada tahun 2002, menceritakan segalanya.

Sepakan percuma Ronaldinho, percubaan demi percubaan daripada Ronaldo, Rivaldo dan Roberto Carlos ketika itu berjaya dihalang dengan cemerlang. Hinggakan satu ketika terpampang di kaca TV, Ronaldinho menggelengkan kepalanya tanda mengkagumi Azmin. 0-0 pada separuh masa pertama, satu keputusan baik buat skuad negara, walaupun Azmin akhirnya bolos pada separuh masa kedua. Azmin juga turut beraksi sewaktu pasukan negara dibelasah oleh Skuad Manchester United sekitar 2001 yang ditunjangi pemain bintang seperti Nistelrooy, Jaap Stam, Laurent Blanc, Scholes dan Beckham.

-----------------------------------------------------------


Kamarulzaman Hassan
Beliau merupakan pemain “Skuad Harapan” Malaysia era Allan Harris yang dibarisi oleh pemain muda berbakat seperti Akhmal Rizal Rakhli, Norhafiz Zamani Misbah dan Juzaili Sameon. Penjaga gol yang sangat baik, cemerlang dan sangat sukar dibolosi. Namun, kesilapannnya yang tertampan bola ke gawang sendiri pada Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur, dikatakan menjadi “turning point” merudumnya prestasi Kamarul.

Penjaga gawang era Allan Harris ini pernah disingkir bersama Khalid Jamlus kerana melanggar ‘perintah berkurung’ semasa di kem latihan yang digelar sebagai “Kes Budak Disko 2001.” Kes ini semacam mengulangi “Kes Budak Disko 1995” yang membawa kepada penggantungan Azman Adnan dan beberapa pemain kebangsaan lain.

-------------------------------------------------------


Syamsuri Mustafa
Mohd Syamsuri Mustafa dilahirkan pada 6 Februari 1981. Sewaktu jaman gemilangnya, Syamsuri Berjaya mengenepikan beberapa penjaga gawang berpengalaman seperti Mohd Hamsani Ahmad, Azmin Azram Abdul Aziz dan Azizon Abdul Kadir. Antara kejayaan Syamsuri ialah kemampuannya menggondol pingat Perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2001, Gangsa Sukan SEA 2003, Tempat Ketiga Piala Tiger 2004, Naib Johan Piala Malaysia 2004, serta Pemain dan Penjaga Gol Pilihan dalam Anugerah Bolasepak Malaysia Coca-Cola FAM 2005-2006.

Jaringan jarak jauh Syamsuri ketika menentang pasukan tuan rumah, Vietnam, sewaktu Malaysia tewas 3-4 dalam Sukan Sea 2003 akan tetap dikenang dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia. Konsisten sebagai penjaga gol nombor satu negara selepas prestasi merudum Kamarulzaman Hassan. Mewakili Malaysia dalam banyak kejohanan. Syamsuri juga pernah terlibat dalam beberapa kontroversi dan masalah disiplin, yang sedikit-sebanyak telah menggugat peluangnya dalam skuad kebangsaan.

--------------------------------------------------------


Farizal Marlias
Mohd Farizal Marlias (lahir pada 29 Jun, 1986) merupakan anggota pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dan pasukan bawah 23 tahun Malaysia. Pada Piala AFF Suzuki 2008, Farizal dipilih sebagai penjaga gol nombor tiga Malaysia menggantikan Badrulzaman Abdul Halim yang tercedera sebelum kejohanan. Selepas perlantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Malaysia, Farizal menjadi pilihan pertama untuk mengawal gawang Malaysia. Akibat masalah kecederaan, beliau kini terpaksa bersaing hebat dengan Sharbinee Alawi dan Khairul Fahmi Che Mat.

-----------------------------------------------------


Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat (lahir pada 7 Januari 1989 di Kota Bharu, Kelantan) merupakan penjaga gawang No.1 Skuad Harimau Malaya ketika ini. Beliau juga menganggotai Skuad Bawah 23 tahun dan Bawah 20 tahun Malaysia (Skuad Harimau Muda). Asalnya seorang penjaga gol yang dipanggil pada saat akhir akibat kecederaan Sharbinee dan Farizal, Khairul Fahmi mengejutkan ramai pihak dengan aksi bersih dan kecemerlangannya menjaga gawang. Antara kejayaan beliau ialah Piala Malaysia 2010, Piala Sumbangsih 2011 dan Piala Suzuki AFF 2010. Beliau dicanang sebagai pengganti Mendiang R. Arumugam.

--------------------------------------------------------------------------

Tuntasnya, ramai lagi penjaga gol yang pernah memeriahkan persada bola sepak tanah air. Azmi Mahmud, Nazreen Chong, Sarbinee Alwi, Osman katmon. Mudzar Mohamad, Ahmad Sobree, Azlisham Ibrahim, Yap Kam Choon, Mazlan Wahed (sekedar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi penjaga gol pastinya dikenang sebagai atlet yang berjasa kepada pasukan masing-masing. Terima kasih untuk mereka. Tabik hormat, buat wira Harimau Malaya!

13 ulasan:

  1. mohon copy entry ini tentang syamsuri dan kamarulzaman....

    BalasPadam
  2. haria penang :: Bulih. Tak ada masalah. Saya juga ada tulis sikit pasal Azman dan Supermokh.

    Boleh rujuk pada senarai Arkib di sebelah kanan.

    Azman pernah main Penang, kan. Jadi, mungkin boleh dibuat rujukan sikit. Hidup bola Malaysia! :)

    BalasPadam
  3. wah,sungguh baik hati bro,ribuan terima kasih saya ucapkan...kalau bro nak cari gmbar2 nostalgia bolasepak boleh bgi tahu saya...contoh gambar razip ismail,ahmad yusoff,merzagua,melnikov,dan sebagainya,

    BalasPadam
  4. In sya ALLAH, nanti2 saya uploadkan di blog ni, ya. Bola sepak kita -- khususnya zaman Semi-Pro -- adalah zaman paling meriah dan indah.

    Saya fanatik Selangor dari dulu. Tapi, mana2 pemain yang bagus -- tak kisah main untuk negeri/kelab mana -- pun saya sokong.

    Penyerang prolifik seperti Allahyarham Isa Bakar, adalah antara nama yang tak sepatutnya dilupakan peminat tegar bola sepak tanah air. hehe

    BalasPadam
  5. waaaaa.. banya betul entri2 menarik dalam blog ni... nak je saya copy semua sekali... nak mintak izin copy beberapa entri dari blog ni boleh?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Silakan. Moga ada manfaatnya, in sya ALLAH. :)

      Padam
  6. saya ada berapa soalan nak tanya harap boleh bantu

    BalasPadam
  7. saya ada berapa soalan nak tanya harap boleh bantu

    BalasPadam
  8. seorang lagi penjaga gol terbaik tidak disenarai di sini. MAZLAN ABDUL WAHED

    BalasPadam
  9. Azmi mahmud, nazreen chong kim boong dan mazlan wahid

    BalasPadam