Rabu, Februari 23, 2011

Pemimpin Tikus.

***



***

sejelasnya ini bukan tentang haiwan, bukan itu.
kerana manusia itu manusia
dan haiwan itu haiwan

ini bicara tentang pemimpin:
- pemimpin tikus -

di garis mula perkenalan,
tegar mendepani khalayak
ia mula dengan semangat kuat
berjanji, membanting kudrat
untuk rakyat

di tengah jalan perjuangan
ia mula kabur mata, rabun kesedaran
hambar

di permulaan medan pertempuran
ia makin hanyut
menjadi manusia yang dicabut gigi
hingga rongak harga diri

di kolong-kolong jambatan
pada kerling pandang
malam yang berwangi mimpi, terlucut debu nista

aneh – di gedung indah begini;
orang miskin yang merokok akan berpikir ulang untuk membeli rokok
orang fakir yang kelaparan akan berpikir ulang untuk membeli makan
dan, ketidakpedulian menjadi racun

ia hanya diam, menatap kosong lelaki tua yang merintih luka
di tempat sunyi kepulauan hati
pada minyak, tepung, api dan air yang naik harga
pada kepimpinan gelap tiada berjiwa
pada tatakelola bejat yang jadi santapan rakyat

kerana mereka mengira:
"kita hanya tikus
dan kucinglah yang berkuasa"
sedang sebagai wakil rakyat
rakyatlah majikan kepada wakil itu

wahai pemimpin pengkagum relung-relung menara
wahai pemimpin penggila wanita
wahai pemimpin pencari harta
kenapa dikorbankan rakyat
demi selonggok martabat

ingatlah bahasa hati kami,
"kekuatan yang sesungguhnya, tidak memukul dengan keras
tetapi tepat sasarannya."

***
Che Din,
Khamis, 6 Januari 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan