Rabu, Februari 23, 2011

Mel: Semalam yang hangat.

Semalam Yang Hangat
Sebelum engkau ke mari
tiada resah
tiada khuatir

Menjelang kemesraanku
yang dirindu
hanya syahdu

Mengapa itu
mahu jadi teman
mahu jadi kekasih
selamanya...

Aku bukan lagi mainan dulu
telah kucampakkan kau ke mana
ke lautan hitam yang ku tahu
pasti kita tak jumpa

Semalam
itu semalam
hari ini aku hidup
dalam dunia yang aman
kenangan
kita lucutkan
kita bakar sama-sama
pengalaman hidup
seksa....

Demikianlah lirik lagu 'Semalam yang Hangat' yang pernah popular dan didendangkan oleh mantan vokalis Kumpulan WIngs, Mel. Jom kita kenali sosok hebat ini. :)




Wings
Sejarah pertukaran penyanyi utama kumpulan Wings cukup menarik. Awie (Ahmad Azhar Othman) yang sudah cukup sebati dan merupakan salah satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan Wings di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka.

Dua tahun kemudian, barulah pengganti Awie ditemui. Mel (Ismail Zainuddin), penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama Wings. Mel pernah mengangkat Wings melalui album Orang Asing.

Walaubagaimana pun, jodoh Mel dengan Wings tidak kekal berpanjangan. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari Wings dan Wings bernasib baik kerana tempat beliau diganti oleh Mus (Mustafa Din), bekas penyanyi utama kumpulan May yang seangkatan dengan Wings.

Sebenarnya, telah lama kedengaran ura-ura yang Mus akan memasuki kumpulan Wings. Sebab itulah setelah Mel dan Wings nyata tidak serasi, Mus segera menerima tawaran dari Wings untuk bersama 3 lagi anggota Wings meneruskan misi perjuangan mereka dalam bidang seni tanahair.

Antara lagu popular beliau sewaktu bersama Wings adalah, Semalam yang Hangat dan Lena diulit Intan.

Mel: Kini
Beliau juga pernah tampil dengan album dakwah Dunia Baru dan album kompilasi Harapanku yang turut disertai artis lain iaitu Hasnul Jamal dan lain-lain lagi.

Kebanyakan lagu yang dinyanyikan beliau sewaktu menyertai kumpulan Rufaqa' Corporation (juga dikenali sebagai Darul Arqam atau Global Ikhwan) adalah berkonsepkan 'world music.'

Album mutakhir yang dirakamkan oleh Mel ialah Kembalinya Pasti. Menariknya, album ini dirakamkan semasa kunjungan beliau ke studio Al Farabi Band. Senarai lagu yang terdapat dalam album ini ialah:
i) Manusia
ii) Huru Hara
iii) Kasih sayang
iv) Ulama ikutan
v) Semalam yang hangat (rakaman secara langsung)

Beliau mempunyai cara tersendiri dalam mengedarkan album. Dalam satu segmen rancangan Melodi di Tv3, beliau telah ditemubual sewaktu menjual albumnya secara santai, iaitu dengan membuat persembahan secara langsung bersama sahabatnya dengan cara 'busking' di Jalan Telawi dan Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Sementelahan, Mel menjual albumnya di setiap tempat yang mengundang beliau berceramah, serta menjualnya melalui laman web beliau.

Beliau mempunyai pandangan tersendiri tentang dakwah secara terang-terangan.
"Penyanyi Barat bentangkan salib di dada ketika menyanyi, itu lebih jelas dan terang mereka berdakwah mengembangkan fahaman mereka. Tapi kita bagaimana? Pada saya, kita mesti bersikap adil dengan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, iaitu agama mesti dijunjung oleh kita umatnya," ujar Mel. "Kita juga mesti ada strategi untuk mengembangkan ibadah, asalkan tidak menyakitkan hati orang. Bukankah Islam itu mesti ditunjukkan membangun, berkembang maju dan bertaraf dunia?"


** Nota kaki :: Saya terkenang kata-kata seorang ustaz yang dahulunya cukup kental dengan imej 'rock kapak' nya,
"janganlah dihukum kami berdasaran 'jahiliyah' kami, ia sudah berlalu. Tak mustahil satu hari nanti TUHAN letakkan kami lebih baik daripada mereka yang dulunya tak 'rock'."

1 ulasan: