Isnin, Januari 03, 2011

Seronoknya bersekolah: Selamat datang ke masa hadapan!


Guru: Jasamu tak terbandingkan.

"Guru adalah ikutan dalam kebaikan bagi pelajar-pelajarnya, uswah hasanah (contoh teladan) bagi murid-muridnya dan yang sentiasa mencintai dan menjaga mereka." -- Dr Aidh Abdullah al-Qarni.

Demikianlah tingginya martabat seorang guru. Rasulullah SAW dan para Sahabat sangat-sangat menghormati guru dan individu yang mnegajarkan mereka ilmu, meski sekecil mana sekalipun ilmu itu.

Dewasa ini, dalam era globalisasi pasca kemodenan duniawi, dunia maya -- blog, Twitter, Friendster, Facebook dan sebagainya menjadi sasaran untuk para pelajar meluahkan rasa amarah dan ketidakpuasan hati mereka terhadap para guru.

Kata-kata kesat dan jelek dicoret buat tatapan dunia sarwajagat. Seolah-olahnya, mereka hilang pedoman dan tidak punya akal budi. Bukan tidak boleh meluahkan perasaan. Boleh -- tapi, kawal lah emosi, rasionalkan diri. Kita punya pegangan. Amalkan.

Pada hemat saya, perkara ini tidak molek dan kurang tepat. Sememangnya diakui, ada sesetengah guru yang kurang menitik beratkan soal kata-kata dan hubungan antara guru dan pelajar. Kendati, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap kurang ajar. Ini salah sama sekali.




Sekedar berkongsi -- di sekolah menengah saya dahulu, pihak sekolah menyediakan peti surat merah di hadapan bilik Guru Penolong Kanan HEP yang dikhaskan untuk para pelajar menyerahkan apa jua bentuk ketidakpuasan hati mereka dalam bentuk surat (tanpa perlu meletakkan nama mereka sebagai pengirim surat tersebut).

Melalui surat-surat ini, pihak sekolah mengambil tindakan selanjutnya dengan kerjasama Unit Kaunseling dan perbincangan dibuat di dalam mesyuarat para guru bersama Tuan Pengetua dan wakil pelajar. Saya selaku Ketua Umum ketika itu, diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat, pandangan serta permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar. Saya fikir, cadangan peti surat merah tersebut boleh diberikan pertimbangan.



Sementelah, adik-adik yang masih belajar dan bersekolah seharusnya lebih peka dan berwaspada dengan tindak-tanduk mereka. Adik-adik kita ini nantinya bukan sahaja menjadi tempat kedua orang tuanya bersandar harap, namun lebih daripada itu, merekalah harapan agama, bangsa dan negara.

Di sekolah lah kita menempa diri dan bersungguh menuntut ilmu, sebelum seumur hidup memancarkan gelora kepemimpinan -- menjadi sebahagian daripada ikatan perpaduan, untuk membangun tanah air Malaysia tercinta.

Ingatlah, bahawasanya pendidikan dan pembelajaran itu bukan persediaan untuk kehidupan. Pendidikan itu sendiri adalah kehidupan.

___________________________________________________________________________________

Hari pertama!
Sejelasnya, hari pertama bersekolah adalah hari pertama kita ke alam peralihan -- daripada pendidikan kurang formal di rumah, ke alam pendidikan formal di sekolah. Di sinilah kita bernafas sebagai anak bernama pelajar yang mempunyai ibu dan bapa bernama guru -- Cikgu, Ustaz, Ustazah, Sir dan Teacher.

Gelaran-gelaran guru ini, bagi saya, adalah lebih tinggi daripada Dr., Prof. dan sebagainya, kerana sehingga akhir hayat mereka jua pun (selepas bersara), mereka akan tetap digelar guru. Ilmu yang mereka curahkan akan kekal tersemai dan bercambah selagi mana anak-anak murid mereka (kita) menyebar dna mengamalkannya.

Pada hari pertama persekolahan ini lah, ada yang mula belajar mandiri - berdikari - dan ada yang masih bergantung kepada perasaan takut dan ragu-ragu, menoleh-noleh ke arah tingkap, bagi memastikan ibu dan bapa masih ada di luar kelas menemani.


Hari pertama penuh dengan kesibukan semua orang. Adik-adik Tahun 1 dengan ragam masing-masing. Mak ayah juga tak kurang ragamnya.



Ada yang menyalin huruf Rumi, ada yang menulis aksara Jawi. Melukis gambar, dan bersenam.

Di akhiran hari, masa-masa sulit untuk adik-adik kita ini akan lewat dan berlalu. Dan, sebelum kita menyedarinya, mereka telah membesar, bereksplorasi dan memiliki waktu-waktu yang menyenangkan di sekolah. Bersahabat, belajar, bermain dan berkelahi kecil.




Kebiasannya, adik-adik kita ini memerlukan waktu untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri mereka dengan lingkungan dan persekitaran yang baru. Justeru, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang sangat signifikan bagi menggalakkan adik-adik kita ini mendekatkan diri dengan alam dan belajar dengan pemikiran yang cerah dan bebas.

Di usia rebung inilah kita seharusnya membangkitkan rasa percaya dan membangunkan rasa kebersamaan dalam diri mereka. Supaya bila mereka dewasa kelak, akan jadi manusia yang berguna, in sya ALLAH.



Walau apa pun kisahnya dan biar apa pun ragamnya, hari pertama sekolah tetap satu hari yang bermakna. Kalau ada seorang guru, pensyarah, peguam, doktor atau Perdana Menteri yang berjaya pada hari ini, hari pertama persekolahan merupakan antara penyumbang kepada permulaan masa depan mereka.

Selamat bersekolah buat adik-adik kita. Merekalah pemimpin masa hadapan kita. Melihat wajah mereka adalah laksana melihat masa hadapan kita -- yang belum tentu kita masih berbaki usia -- hidup di zaman mereka!

Salam. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan