Rabu, Januari 19, 2011

Interlok: Air mata SN Pak Lah.


Biodata SN Abdullah Hussain
Datuk Abdullah Hussain (lahir 25 Mac 1920) ialah seorang penulis yang hebat. Beliau menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996 yang menjadikan beliau Sasterawan Negara kelapan. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman, Malaysia. Abdullah terkenal memiliki banyak pengalaman dan menguasai beberapa bahasa asing.

Novel-novelnya iaitu Terjebak, Peristiwa dan Aku Tidak Minta merupakan rakaman pengalaman-pengalaman berunsur seram, tragis, dan lucu sewaktu Abdullah di Indonesia dan di Thailand. Ketiga-tiga novel tersebut, di samping Rantau Selamat dan Interlok adalah sumbangannya yang bermakna dalam bidang penulisan novel sehingga kini. Sementara bukunya yang menyangkut bidang bahasa iaitu Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dianggap sebagai salah satu kamus peribahasa yang terbaik setakat ini.

Usaha gigih Abdullah menterjemah beberapa buah karya sastera dunia dapat kita hayati melalui novel Angin Timur Angin Barat dan Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Muatiara (Steinbeck), Orang Tua dengan laut (Hemingway) dan Lorong Midaq oleh Naguib Mahfouz. Dalam bidang biografi, Abdullah telah menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Za’ba, masing-masing adalah seniman dan ahli bahasa Melayu yang terulung. Abdullah juga menulis biografi Tun Datu Haji Mustapha, pemimpin politik dari Sabah dan seterusnya ialah biografi tentang tokoh sastera, Harun Aminurrashid.

Sebagai penulis yang kaya dengan pengalaman, Abdullah Hussain telah berjaya merakamkan pengalaman beliau yang pelbagai dan menarik itu ke dalam cerpen dan novel-novel karya beliau. Hasil kesungguhan dan kegigihan beliau berkarya, maka novel terbaru beliau iaitu Imam telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95, dan sebelum itu novel yang sama telah berjaya menggondol hadiah “Hadiah Novel Nasional” (mengingati Pak Sako), 1992/94, yang dianjurkan bersama oleh Syarikat Utusan Melayu dan Public Bank Berhad. Dan puncak dari segala-galanya itu ialah, apabila Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kelapan dalam tahun 1996. Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok.

Selain mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang penulisan kreatif, Abdullah Hussain juga telah dianugerahi Pingat Jawa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) 1995, dan bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” dalam tahun 1995.



Novel Interlok
Interlok berasal dari perkataan Inggeris 'interlock' bermaksud memancarkan atau bertaut rapat. Justeru, Interlok membawa bersamanya gagasan 'jalinan ke arah keharmonian dalam masyarakat' yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an sehingga Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Karya hebat ini digarap sedemikian indah bagi menggambarkan perpaduan dan keharmonian kaum yang seharusnya kita selami dan hayati. Karya ini sewajarnya dihayati, khususnya saat perpaduan dan keharmonian rakyat dalam negara kita dilihat semakin hari semakin lusuh dan longgar.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung. Bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China. Dan, bab ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir. Lokasi pertemuan 3 watak utamanya ialah di Pekan Simpang Empat, Kedah. Ia mengisahkan bagaimana kaum Cina dan India dibawa oleh Inggeris sebagai pekerja lombong dan estet pada zaman sebelum merdeka.

Tuntasnya, Interlok dikarang dengan pemikiran indah yang menyubur benih-benih akal budi di kalangan hati rakyat Malaysia. SN Datuk Abdullah Hussain telah terlebih dahulu menjangkaui konsep 1Malaysia. Jika benar karya ini dianggap bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti agama, kenapa tiada bantahan sepanjang 40 tahun novel -- yang memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Novel sempena 10 tahun merdeka ini -- berada dalam pasaran?







Novel "Interlok": SN Abdullah Hussain Tidak Menghina Sesiapa

[Pendapat yang diberikan oleh Prof Dr. Awang Saryan kepada BERNAMA apabila beliau diminta mengulas isu novel "Interlok" yang didakwa menghina kaum tertentu; terbit dalam Malaysiakini, portal BERNAMA dan Utusan Malaysia 11 Januari 2011]


Setakat yang saya ketahui, SN Abdullah Hussain ialah penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri. Novel Interlok merupakan gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan, dan pengisahan yang melibatkan penghijrahan kaum pekerja dari luar, termasuk orang dari India, memang terakam dalam karya-karya ilmiah. Kewujudan kasta yang dimaksudkan itu bukan suatu bentuk penghinaan, malah merupakan realiti di negara India dan memang golongan daripada kasta itulah yang dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Amat mustahil mengharapkan SN Abdulah Hussein membohongi sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah, kerana golongan berkenaan tidak mungkin dibawa oleh penjajah Inggeris untuk menjadi buruh. Konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Semua pihak perlu membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah, apatah lagi jika berkaitan dengan perhitungan politik sempit pula
.



"Kembara Bahasa"
Prof Dr. Awang Sariyan (lahir 20 Oktober 1953) adalah seorang ahli bahasa Melayu yang terkenal dan yang telah banyak menulis rencana bimbingan bahasa Melayu untuk pelajar, serta mebuat puluhan buku panduan bahasa, buku ilmiah, buku umum, dan kamus. Dalam seminar bahasanya, beliau sering membentangkan kertas kerja dan hasil penyelidikannya.

Mendukung perjuangan dan amanah mengisi erti "Bahasa Sendi Tamadun Bangsa".

Sejak awal 2008, beliau dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University; sebelumnya Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Profesor di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dan Profesor di Akademi Pengajian Melayu UM; Profesor Tamu di Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dan di Program Linguistik Pascasiswazah Universiti Sumatera Utara serta Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura; Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000-2008) dan anggota Kumpulan Perihatin; pernah bergerak cergas dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM); penyampai ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara; penatar kurus bahasa dan penulisan profesional; penulis lebih 50 judul buku bahasa dan pendidikan serta kamus; Profesor Adjung UPSI. Kertas ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerjanya meliputi lebih 200 judul dalam seminar di dalam dan di luar negara.

Beliau memiliki akaun FB nya dengan nama 'Kembara Bahasa' dan blognya http://kembarabahasa.blogspot.com/.



** Nota Kaki :: Menurut seorang sahabat Fb saya, Tuan Zaidi Ismail (Editor majalah Dewan Bahasa), beliau mendengar Tn. Haji Jajuli menyatakan cerita sebenar sewaktu beliau ke rumah SN Abdullah Hussain. "Sewaktu saya ke rumah SN, beliau menyatakan beliau tidak menangis. "Aksi" menangis yang dipaparkan dalam Utusan hanyalah aksi yang diminta oleh wartawan. Wartawan meminta beliau menggayakan aksi mengesat air mata. Pejuang tidak menangis."

Hah!

Salam. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan