▼
Jumaat, November 12, 2010
Doktor: Bukan hanya di klinik dan rumah sakit.
Dua-tiga hari ini, kita dikejutkan dengan perkhabaran University of Wales di United Kingdom (UK) menggantung hubungannya dengan Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) milik penyanyi, Fazley Yaakob.
Menurut satu laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC), tindakan itu dilakukan ekoran kontroversi berkaitan dengan kelayakan akademik penyanyi tersebut yang dikatakan memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Sejelasnya, berita mengenai ijazah palsu ini sudah disiarkan dalam akhbar Siasah dalam dua, tiga tahun kebelakangan ini. Kebetulan dalam satu artikel tersebut, wajah Saudara Fazley ketika sedang menerima segulung sijil digunakan. Jadi, saya sendiri tertanya-tanya, apakah beliau termasuk dalam golongan yang dinyatakan dalam artikel tersebut?
Apa-apa pun, saya doakan agar kes Saudara Fazley ini dapat diselesaikan seadil dan sebaik mungkin. Beliau mempunyai pengaruh yang baik ke atas para pelajar, khususnya mereka yang pernah menyertai ceramah motivasi beliau. Kita tak punyai ramai selebriti yang berpendidikan tinggi. Justeru, adalah malang jika dakwaan terhadap beliau itu dibuktikan betul.
Soal ijazah palsu, “doktor bogus”, profesor kangkung dan banyak lagi gelaran yang tidak enak didengar memang telah lama berlengar dan membelenggu dunia kampus di negara kita.
Selain faktor dasar universiti dan gerakan mahasiswa yang malap, isu pemegang ijazah palsu turut menyumbang kepada rendahnya kedudukan universiti kita di mata Asia dan Dunia. Bayangkan, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang sedemikian gah pun hanya berada di kedudukan yang agak jauh jika dibandingkan universiti dari negara-negara jiran kita.
Semoga ALLAH selamatkan martabat serta kemakmuran negara Malaysia kita yang tercinta. Inilah tanah tumpahnya darah kita, yang sewajarnya kita pertahankan sampai bila-bila.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan