▼
Jumaat, September 17, 2010
Kerana pokok p.e.r.p.a.d.u.a.n adalah KITA.
Salam. :)
Sepatutnya, saya tulis entri ini kelmarin. Tapi, banyak perkara perlu diselesaikan sehingga tertangguh ke hari ini.
Entri ini ringkas. Mengenai p.e.r.p.a.d.u.a.n. Sebab, saya sudah jelak dengan polemik serta permainan kad-kad perkauman yang dangkal oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan, khususnya sesetengah pak politikus yang kurang peka, kurang sensitif dan kurang ajar.
Kurang ajar bukan kerana mereka tidak berilmu. Mereka mungkin punya kelayakan sarjana dari pusat pengajian terbaik dunia. Tapi, mereka tak punya kelayakan yang cukup untuk menjadi manusia yang punya kesedaran. Manusia yang peka terhadap apa yang akan diperkatakan olehnya mungkin akan menyakiti atau menyinggung pihak lain.
Kerana itu kita dididik untuk berfikir sebelum bertindak dan bercakap.
Isu perkauman telah bergema semenjak sekian lama. Malah, isu ini mungkin tidak akan padam sampai akhir usia dunia. Mungkin. Kendati, sebagai sebahagian daripada umat manusia yang mengaku bertamadun, kita seharusnya faham bahawa menghina keturunan atau bangsa seseorang itu bukanlah satu tindakan yang bijak.
Apatah lagi, di sebuah negara makmur berbilang bangsa bernama -- Malaysia. Tanah tumpahnya darah kita ini seharusnya kita pertahankan sesungguh-sungguhnya daripada ditebak oleh pihak-pihak berkepentingan yang mahu mencari keuntungan tertentu (politik atau kuasa misalannya).
Bersatulah. Berpadulah. Raikanlah perbedaan; jadikan ia rahmat yang memakmurkan.
Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ini negara kita. Negara Malaysia yang kita cinta. Ini bukan negara tempat kita benci-membenci. Bukan juga pentas kita memperleceh sesama kita.
Doakanlah kemakmuran dan kesejahteraan negara yang kita cinta ini. Semoga langit akhlak dan awan damai kan terus teguh melindungi kita. In sya ALLAH.
Bersatulah. Berpadulah. Raikanlah perbedaan; jadikan ia rahmat yang memakmurkan.
Kita sudah cukup bosan dan meluat dengan sentimen perkauman yang nyata sudah jauh ketinggalan zaman.
Bersatulah. Berpadulah. Raikanlah perbedaan; jadikan ia rahmat yang memakmurkan.
Semenanjung Tanah Melayu adalah Malaysia. Sabah adalah Malaysia. Sarawak juga adalah Malaysia. Sungguh! Bak kata rakan Fb saya, Tuan Aslam Khan, “16 September 1963, Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama membentuk Malaysia; bukannya Sabah dan Sarawak masuk Malaysia!”
Bersatulah. Berpadulah. Usahlah bermusuh-musuh dan berkhianat-khianat. Kerana pokok p.e.r.p.a.d.u.a.n -- adalah KITA.
Selamat Hari Malaysia. :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan