Rabu, Jun 16, 2010

Beranda Hati Khairy Ashraff: Terus tabah dan tabah.




Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saat ini (lebih kurang jam 2.57 pagi), saya masih sihat bernafas. Banyak yang bermain di fikiran saya. Ah, hidup kalau tak punya dugaan, bukan hidup manusia namanya.

Cuti sem yang tak berapa panjang ni, memberikan saya peluang dan ruang -- untuk mengenal diri sendiri. Kita dididik, bahawa sesiapa yang mengenal diri sendiri, kan dapat mengenal TUHANnya. Sekali imbas, nampak mudah. Kenal je diri, boleh kenal TUHAN. Hakikatnya, diri kita sendiri masih banyak yang belum kita teroka dan terobos. Wah, macam ayat Dr Fadzilah Kamsah la pulak (perasan). Justeru, antara cabaran terbesar dalam hidup adalah mengenal diri.

Sungguh, meski TUHAN senantiasa ada dekat dengan kita, tapi kita selalu lupakan-NYA. Kita hanya ingat TUHAN, bila dalam kesusahan. Bila kita mahukan sesuatu. Bila tak dapat apa yang diidamkan, kita marah TUHAN. Astaghfirullahal 'azim...

Saya bukanlah orang yang alim, jauh sekali bergelar ustaz. Saya sekadar hamba ALLAH yang masih belajar dengan hidup. Dengan resam dan ragam dunia. Dengan perihal manusia. Tapi sungguh, malam ini saya rasa sungguh sayu. Sayu, bila mengenangkan, bahawa saya masih boleh bersenang-lenang duduk menghadap laptop, menonton Piala Dunia di kaca TV, makan dan minum, hidup dengan selesa.

Sayu karena, seorang sahabat baik saya bernama Khairy Ashraff Kamaruddin, masih terlantar di Wad 5C, ICU, HTAR Klang. Beliau disyaki menghidap denggi berdarah. Hati saya tambah syahdu, bila berbual dengan ibu beliau, Ustazah Shamsiah. Kebetulan, Ustazah Shamsiah merupakan guru saya sewaktu sekolah rendah. Semesra dan seikhlas manapun Ustazah ketawa dan tersenyum sewaktu berbual dengan saya, saya tahu, ada seberkas pilu yang disimpan dalam kalbu beliau. Beliau memang tabah, cukup tabah.

Berbalik kepada Khairy Ashraff (nama panggilannya Khai), saya mengenali beliau semenjak berusia 7 tahun (darjah satu). Beliau yang saya kenali merupakan seorang yang periang, gemar berjenaka, mementingkan solat, dan sangat aktif bersukan. Sewaktu belajar di tahun 6 Sekolah Kebangsaan Batu Laut (tahun 1999), saya duduk bersebelahan dengan beliau. Kami jadi lebih akrab sejak itu. Khai memang aktif bersukan, mewakili sekolah di peringkat daerah dna negeri, dalam pelbagai jenis acara sukan seperti bola sepak, lumba lari, badminton, bola baling dan sebagainya.

Karena itu bila saya mendapat berita beliau kritikal dan dimasukkan ke Wad ICU, saya jadi sangat risau dan hiba. Saya percaya, rasa ini juga dikongsi oleh semua individu yang rapat dengan beliau. Risau, kehilangan seorang sahabat seikhlas Khairy Ashraff.
Khabar terbaru saya terima berkenaan beliau, beliau sudah sedar dan semakin stabil, meski masih memerlukan alat bantuan pernafasan. In sya ALLAH, semoga Khai terus tabah dan tabah.

"Aku tahu kau kuat, Khai. Aku tahu kau akan kembali sihat. Doa dan solat hajat aku takkan putus untuk kesembuhan kau."

Kala hening malam syahdu
khayalan bening-bening wajahmu bertandang
bayang kelibatmu menghulur sejahtera kalbu

Dengan tangan memanjat doa
aku bermunajat
mohon TUHAN hilangkan penyakit, darimu
berikan kesembuhan, buatmu
dengan sebaik-baik sembuh, sebaik-baik

Khai, teruslah, tabah dan tabah
doa kami setia mengiring kesembuhanmu
atas sayang, kasih ukhwah yang kau cerna
semoga kau selalu dalam lindungan-NYA
-- sungguh --
hatimu mulia, sahabat
budimu indah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan