Isnin, Mei 03, 2010

Perbedaan dan Persamaan Teori-teori Marx dan Rousseau: Satu Perbandingan Ringkas



Oleh: CHE Din

1.Riwayat hidup Jean-Jacques Rousseau
Jean-Jacques Rousseau (1712 - 1778) telah dilahirkan di Geneva (28 Jun) tetapi menjadi terkenal sebagai seorang ahli falsafah politik dan ahli akademik “dari Perancis”. Rousseau mengharungi kehidupan sewaktu kanak-kanak tanpa pendidikan formal. Beliau juga adalah seorang guru yang miskin. Oleh kerana tidak mampu membesarkan anak-anaknya sendiri, beliau menghantar mereka ke rumah anak yatim sebaik sahaja dilahirkan.

Beliau lebih gemarkan kehidupan secara bersendirian, kerana berpendapat bahawa terlalu sukar untuk hidup di kalangan masyarakat. Namun, hasil karyanya menawarkan sesuatu yang hebat. Dihasilkan melalui sebuah spektrum tradisi yang luas, merangkumi botani, muzik dan falsafah, pemikirannya telah mempengaruhi generasi pemikir akademik yang seterusnya, dan menggalakkan amalan pendidikan secara tidak formal. Novelnya, “Emily” adalah antara buku yang paling penting dalam bidang pendidikan selepas karya “Republik” oleh Plato. Malah, hasil karyanya yang lain telah memberikan impak yang besar terhadap teori politik dan amalan, dan perkembangan dalam penulisan novel.

2.Riwayat hidup Karl Marx
Karl Marx (1818 - 1883), pelopor utama gagasan “sosialisme ilmiah” dilahirkan tahun 1818 di kota Trier, Jerman. Ayahnya peguam yang terkenal, dan pada umur tujuh belas tahun, Marx masuk ke Universiti Bonn, juga belajar undang-undang. Kemudian, beliau berpindah ke Universiti Berlin dan mendapat gelaran Doktor dalam ilmu falsafah dari Universiti Jena.

Marx adalah seorang ahli falsafah, ahli politik ekonomi, ahli sejarah, ahli teori politik, ahli sosiologi, ahli komunis dan revolusi, yang mana ideanya telah diiktiraf sebagai asas kepada komunisme moden. Marx meringkaskan pendekatannya menerusi ayat pertama pada bab pertama dalam “The Communist Manifesto”, yang diterbitkan pada 1848: “Semua sejarah dari dahulu sehingga masyarakat hari ini adalah sejarah perjuangan mengenai kelas”.

3.Kebebasan dan persamaan/kesamarataan
Antara hasil karya yang paling penting dihasilkan oleh Jean Jacques Rousseau ialah “The Social Contract”, yang menyenaraikan asas kepada sistem politik yang sah. Karya tersebut menjadi salah satu hasil kerja yang paling mempengaruhi falsafah politik dalam tradisi Barat. Ia mengembangkan beberapa idea yang telah dinyatakan dalam hasil tulisan yang telah diterbitkan sebelumnya, iaitu artikel “Economie Politique” (Perbincangan mengenai Ekonomi Politik), yang terdapat dalam “Diderot’s Encyclopedie”.

Artikel tersebut dimulakan dengan susunan ayat yang dramatik, “Manusia telah dilahirkan sebagai makhluk yang bebas, dan dia ada di mana-mana dalam keadaan dirantai. Ada manusia yang berfikir bahawa dia adalah tuan kepada manusia yang lain, tetapi pada hakikatnya mereka hanyalah lebih hamba daripada manusia yang lain itu”.
Rousseau percaya kepada “kebebasan, persamaan dan persaudaraan” (“liberty, equality and fraternity”), dan beliau menekankan akan pentingnya pelajaran kepada kanak-kanak (manusia).

Seterusnya, semasa Revolusi-revolusi 1848 tercetus, buku Karl Marx iaitu “The Communist Manifesto” telah diterbitkan walaupun masih belum berpengaruh lagi. Idea-ideanya disebarkan melalui buku-bukunya seperti “The Communist Manifesto”, “The German Ideology”, dan “Das Kapital”.

“The Communist Manifesto” menganjurkan agar “proletariat” (kelas atau golongan pekerja) menentang golongan “bourgeoisie” (borjuis atau majikan) secara habis-habisan. Marx percaya bahawa teori yang dicipta adalah suatu hukum yang tidak boleh disangkal. Marx pernah mempersendakan perjuangan para revolusioner yang ingin mewujudkan masyarakat sosialis semasa Revolusi-revolusi 1848. Bagi membezakan dirinya daripada kumpulan sosialis, Marx telah memilih istilah Komunis untuk ideologinya. Ideologi Karl Marx telah mempengaruhi Revolusi Rusia pada tahun 1917.

Menurut Marx, golongan kapitalis atau borjuis hanya mementingkan keuntungan dan tidak menghiraukan kebajikan pekerja. Justeru, beliau menyokong penentangan secara habis-habisan oleh golongan pekerja atau proletariat terhadap para majikan. Menurut Marx, konflik antara majikan-pekerja akan berakhir sekiranya kapitalisme digantikan komunisme.

Marx percaya bahawa komunisme hanya boleh wujud sekiranya proses perindustrian tiba pada kemuncaknya. Beliau juga menyokong proses memiliknegarakan tanah dan perindustrian oleh kerajaan. Oleh yang demikian, kejayaan ideologi Marxisme dan Komunisme bergantung kepada penghapusan sistem kapitalis dan sistem memiliknegarakan tanah dan perindustrian oleh masyarakat komunis.

Marxisme menekankan konsep masyarakat yang tidak berkelas (classless society) – yang memberikan peluang dan gaji yang sama rata kepada semua lapisan masyarakat. Marxisme juga menekankan kepada kesamarataan dalam perkongsian harta dan kekayaan dalam masyarakat.

Marxisme mengambil pandangan secara kolektif terhadap masyarakat dan hubungan sesama manusia. Marxisme melihat “negara” sebagai sebuah alat untuk melakukan ketidakadilan terhadap rakyat. Apabila sebuah negara berteraskan Marxisme atau Komunisme telah berjaya ditubuhkan, negara tersebut akan mempunyai lebihan (“superfluous”) dan ia mestilah dihapuskan (“wither away”). Maka, masyarakat yang akan muncul selepas tertubuhnya Marxisme atau Komunisme adalah masyarakat yang tidak mempunyai negara (“stateless”) dan tidak dibezakan melalui kelas (“classless society”), di mana manusia akan menjadi bebas dengan sebenar-benarnya. Sementelahan, persamaan (“equality”) pula adalah penamat atau apa yang ingin dicapai oleh manusia, menerusi revolusi.

Marxisme menekankan perlunya sistem kapitalis - yang mengambil kesempatan terhadap golongan pekerja dan buruh – dihapuskan dalam sesebuah negara. Marxisme juga menekankan kepada perlunya monopoli atau dominasi oleh pihak kapitalis dihapuskan. Marxisme memperjuangkan agar keadilan yang sama rata diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Namun, dalam Marxisme, persamaan (“equality”) adalah lebih penting daripada kebebasan (“liberty”).

Marxisme telah menerima banyak kritikan hebat daripada beberapa pihak. Walaupun Marxisme menentang dan menolak sistem kapitalis, Yugoslavia telah mengkritik pihak pemerintah USSR kerana mengamalkan kapitalisme di dalam negara dan karenah birokrasi yang melampau, di samping terdapat sistem kasta di antara golongan pemerintah dan rakyat. Sebagai contoh, Russia sebagai ketua kepada negara-negara Komunis telah menguasai hasil-hasil pengeluaran oleh negara-negara dalam USSR.

Malahan, gerakan reformasi dan pembaharuan yang cuba dibawa oleh Gorbachev dalam mengakhiri komunisme dan perpecahan di antara negara-negara dalam USSR, di samping program-program ekonomi yang tidak dirancang dengan baik, adalah suatu kegagalan yang dahsyat. Komunisme hanya membahagikan semula kemiskinan kepada rakyat, dan hanya menghasilkan persamaan dalam suasana yang kelam-kabut.

Deduksinya, Rousseau percaya kepada persamaan, kebebasan dan persaudaraan dalam analisis dan teorinya. Namun, Marxisme lebih mengutamakan persamaan berbanding kebebasan.

4.Perbezaan dalam penyelesaian masalah
Jean Jacques Rousseau sebagai salah seorang ahli fikir Enlightenment Perancis, menyarankan dalam bukunya “The Social Contract”, bahawa keseluruhan suara rakyat atau “Hasrat Umum” (“General Will”) adalah penting untuk menjamin kesejahteraan masyarakat.

Kedaulatan undang-undang bermaksud undang-undangnya adalah jelas, boleh difahami dan boleh diaplikasikan. Ia bermaksud peraturan-peraturan dan prosedur-prosedur yang telus, dan undang-undang berkenaan bukti yang boleh diterima akal, adil dan saksama.

Walaupun Rousseau menyatakan yang kedaulatan (“sovereignty” atau kuasa untuk membuat undang-undang) sepatutnya berada pada tangan rakyat, beliau juga membuat satu perbezaan jelas di antara kedaulatan dan kerajaan. “Kerajaan” adalah terdiri daripada majistret-majistret, mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mengaplikasi dan menguatkuasakan kehendak umum. “Kedaulatan” pula adalah kedaulatan undang-undang, secara idealnya ditentukan melalui demokrasi secara terus dalam satu perjumpaan atau perhimpunan.

Walau bagaimanapun, Rousseau berpendapat bahawa, di bawah sistem beraja (“monarchy”), kedaulatan yang sebenar masih lagi adalah undang-undang. Rousseau menentang idea yang menyatakan rakyat seharusnya mengamalkan kedaulatan melalui seorang wakil dalam perhimpunan. Jenis kerajaan republik yang dipersetujui Rousseau ialah “negara bandar (city state)”, yang mana, Geneva, adalah sebuah model, atau mungkin menjadi model, jika diperbaharui dengan prinsip-prinsip Rousseau.
Perancis tidak dapat memenuhi kriteria atau ciri-ciri negara idaman Rousseau kerana ia terlalu besar. Terdapat banyak lagi kontroversi yang timbul terhadap hasil pemikiran Rousseau kerana terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan dakwaan Rousseau berkenaan rakyat yang terhad kehidupannya, dan terpaksa mematuhi kehendak umum, sebelum dikira sebagai manusia yang bebas.

Konsep utama dalam pemikiran Rousseau ialah “kebebasan”, dan kebanyakan hasil penulisannya adalah berkaitan dengan kaedah yang digunakan untuk memaksa manusia menyerahkan kebebasan mereka. Asas kepada pemikirannya mengenai sistem kerajaan dan pihak berkuasa adalah idea “The Social Contract” atau “Kontrak Sosial”, yang mana jawatan dalam kerajaan dan pihak yang berkuasa adalah merupakan suatu kontrak bersama (di antara pihak berkuasa dan rakyat yang diperintah). Kontrak sosial ini melibatkan persetujuan oleh golongan yang diperintah, yang setuju untuk diperintah, bagi membolehkan hak-hak, harta serta kegembiraan dalam hidup mereka dilindungi oleh pihak pemerintah.

Satu-satunya faktor yang menyebabkan manusia sanggup menyerahkan kebebasan individu mereka dan diperintah oleh orang lain, adalah mereka mahukan hak-hak, harta serta kegembiraan dalam hidup mereka dijaga dan dilindungi dengan lebih baik oleh pihak kerajaan yang rasmi atau formal, berbanding masyarakat yang tidak dilindungi oleh undang-undang dan kacau-bilau.

Kendatipun, Rousseau berpendapat bahawa kontrak yang asal ini adalah tidak sempurna dan mempunyai kekurangan (“deeply flawed”). Golongan yang paling kaya dan berkuasa dalam masyarakat telah memperdaya masyarakat umum, lalu memasukkan perbezaan (“inequality”) sebagai satu ciri yang kekal untuk selama-lamanya dalam masyarakat.

Kontrak Sosial, iaitu kontrak di antara pihak pemerintah dan pihak yang diperintah seharusnya dipertimbangkan semula. Daripada mempunyai sebuah kerajaan yang hanya melindungi hak dan kekayaan golongan yang kaya, sesebuah kerajaan seharusnya berasaskan kepada hak-hak dan persamaan (“equality”) untuk semua lapisan masyarakat.

Jika terdapat kerajaan yang tidak melindungi hak-hak, kebebasan, dan persamaan untuk semua golongan masyarakat, kerajaan tersebut telah pun melanggar kontrak sosial yang tertakluk kepada kuasa politik. Justeru, dalam Kontrak Sosial, sekiranya pihak pemerintah tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk melindungi rakyat yang diperintah, maka kontrak sosial tersebut akan terbatal, dan pihak yang diperintah berhak dan bebas untuk memilih pemimpin-pemimpin yang lain untuk melindungi mereka.
Idea-idea tersebut telah menjadi intipati dan asas kepada Revolusi Amerika Syarikat dan Perancis. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Revolusi Amerika Syarikat dan Perancis adalah berasaskan kepada teori-teori Rousseau mengenai kontrak sosial.

Kayu ukur bagi politik Rousseau adalah keadaan di mana semua manusia adalah sama (“equal”). Justeru itu, persamaan semulajadi/tabii (“natural equality”) telah menjadi intipati penting dalam prinsip-prinsip Undang-undang Tabii/Semulajadi, dan menjamin beberapa hak-hak yang muktamad dan tidak boleh dicabar (“inalienable”) kepada manusia.

Rousseau percaya bahawa sekiranya kontrak sosial dipatuhi dengan baik, maka setiap lapisan masyarakat mestilah patuh kepada kuasa politik. Sekiranya kuasa politik melanggar premis asas dalam kontrak sosial itu, dan sekiranya kebebasan individu digantikan dengan perbezaan (“inequality”), Rousseau percaya bahawa kerajaan tersebut harus dijatuhkan. Rousseau telah berusaha untuk mencari kaedah terbaik bagi memaksimumkan kebebasan individu, di samping menjaga keamanan, kepatuhan, dan keharmonian dalam masyarakat.

Sebaliknya, Marxisme menolak sebarang kedaulatan undang-undang. Ini adalah sangat bahaya untuk sesebuah masyarakat. Marxisme, yang menentang kedaulatan undang-undang, membuatkan mereka gagal untuk membezakan di antara “sebab utama undang-undang dikanunkan” dan “penyalahgunaan undang-undang yang kadang-kala dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab”.

Oleh kerana Marxisme menggunakan pendekatan persamaan dalam hak semua lapisan masyarakat, tiada undang-undang yang dapat mengawal dan menguruskan rakyat. Hal ini membuatkan sesebuah negara itu diperintah dalam keadaan yang sentiasa terdedah dalam bahaya.

Deduksinya, Rousseau menuntut adanya sebuah badan pemerintah yang menjalankan tanggungjawabnya secara amanah, serta perlunya kedaulatan undang-undang diwujudkan. Maka jika ada kezaliman atau ketidakadilan, undang-undanglah yang menanganinya (adanya peranan pemerintah dan undang-undang dalam menyelesaikan masalah), sedang Marx dalam melihat ketidakadilan yang dilakukan kaum Kapitalis menyatakan bahawa yang harus dilakukan adalah menerusi kaedah radikal (yang berupa konflik dan kontradiksi), kerana dengan hal inilah hancurnya Kapitalisme.

5.Perbezaan dalam hal kebebasan dan persamaan dalam beragama
Selain itu, kenyataan Rosseau dalam “The Social Contract” bahawa pengikut sebenar Jesus tidak mampu menjadi rakyat yang baik, telah membuatkan beliau menerima kritikan keras di Geneva. Namun, tidak seperti ahli-ahli falsafah radikal Enlightenment yang lain, Rousseau menekankan kepentingan agama. Sedang Marx tidak melandaskan agama dalam analisa teorinya, bahkan menganggapnya sebagai candu bagi masyarakat, yang tidak dapat memberikan jalan keluar bagi ketidakadilan yang telah dilakukan kaum borjuis.

Marxisme adalah fahaman yang tidak percayakan Tuhan – ia menolak undang-undang yang mempunyai unsur-unsur ketuhanan dan keagamaan. Marxisme tidak menghormati kebebasan beragama dan mengasingkan agama daripada kehidupan rakyat. Dendam Komunisme terhadap agama dapat dilihat dalam setiap keganasannya sepanjang kenaikan Bolshevik. Gereja-gereja dan masjid-masjid telah diranapkan, dan di antara antara mereka yang disingkirkan daripada “masyarakat sosialis baru”, ialah orang-orang agama yang mempunyai kedudukan penting.

Antara tindakan yang dilakukan oleh pihak komunis untuk memudahkan usaha untuk menghapuskan agama ialah orang-orang beragama tidak dapat menikmati sebarang hak asasi, seperti untuk menggunakan perkhidmatan kesihatan dan kupon-kupon makanan mereka juga dirampas. Pada 1936, sekitar 65% masjid dan 70% gereja telah dimusnahkan.

6.Perbezaan berkenaan unsur-unsur moral dan undang-undang dalam kebebasan dan persamaan
Rousseau mendakwa bahawa dunia ini akan berada dalam keadaan primitif jika tiada undang-undang dan unsur-unsur moral di dalamnya. Disebabkan masyarakat semakin maju dan membangun, pembahagian tenaga buruh dan harta persendirian menuntut manusia untuk mengamalkan institusi undang-undang.

Dalam fasa masyarakat yang semakin lemah dan teruk, manusia semakin kerap bersaing dengan manusia yang lain, tetapi dalam pada masa yang sama menjadi semakin bergantung kepada mereka. Tekanan berganda ini telah memberi tekanan berganda kepada survival dan kebebasan manusia itu sendiri. Menurut Rousseau, dengan sama-sama menyertai masyarakat sivil menerusi kontrak sosial, dan melupakan tuntukan mereka terhadap hak-hak tabii/semulajadi, individu-individu tersebut boleh melindungi diri mereka dan kekal bebas.

Hal ini demikian kerana, kepatuhan kepada “kuasa kehendak umum masyarakat” secara keseluruhannya, akan menjamin individu daripada menjadi orang suruhan kepada kehendak orang lain, dan akan memastikan mereka mematuhi diri mereka sendiri, kerana mereka adalah (secara kolektifnya) pihak yang menulis atau membuat undang-undang.

Ini adalah sejajar dengan pendapat Fuller yang mendakwa bahawa undang-undang mestilah mempunyai nilai-nilai moral. Namun, di dalam Marxisme, tiada sebarang rujukan dibuat terhadap nilai-nilai etika dan moral. Fuller mendakwa bahawa Marxisme hanya menekankan aspek ekonomi dalam sistem pentadbirannya.

Sama ada persamaan (“equality”) adalah syarat untuk kebebasan atau adakah ianya tidak bersesuaian (“incompatible”) dalam dunia sebenar (realiti), adalah suatu persoalan yang boleh dijawab dengan jelas, kerana ia memberi kesan terhadap keseluruhan konsep hak-hak dan pertanggungjawaban (“duties”).

Menurut Marx, syarat-syarat persamaan ekonomi sahaja sudah mencukupi untuk membolehkan kebebasan dicapai. Persamaan ekonomi hanya boleh dicapai melalui revolusi dan kediktatoran golongan proletariat. Kediktatoran golongan proletariat menggunakan kesemua kuasa untuk menghancurkan Kapitalisme, dan untuk menggantikannya dengan Marxisme atau Komunisme, iaitu untuk mengagihkan semula keuntungan material yang sebelumnya hanya dinikmati oleh golongan Kapitalis, walaupun pada hakikatnya, ia dinikmati hasil susah-payah golongan pekerja.

7.Perbezaan berkenaan hak, kebebasan dan persamaan individu
Hak dan kebebasan individu menurut Rousseau adalah kontrak sosial. Seseorang individu mempunyai hak dan kebebasan kerana “anggota masyarakat yang lain bersetuju bahawa individu tersebut mempunyai hak dan kebebasan tersebut”. Sekiranya seseorang individu itu tidak mempunyai hak atau kebebasan, maka individu tersebut mestilah meyakinkan semua pihak untuk memberikannya hak dan kebebasan tersebut.

Rousseau merupakan pemikir era Enlightenment yang pertama yang menjelaskan asas kepada kontrak hak-hak manusia. Beliau berpendapat bahawa “hak”, atau prinsip-prinsip autonomi atau kebebasan individu, bukanlah kuasa ghaib yang turun daripada syurga ke dunia ini ketika seseorang manusia dilahirkan dari rahim ibunya. “Hak” juga tidak dapat dilihat dalam DNA manusia.

Enlightenment bererti Zaman Kesedaran di mana semangat kepercayaan dan pegangan manusia adalah kritikal dan berasaskan sebab-musabab dan kaedah-kaedah saintifik. Zaman ini mewakili suatu gerakan menuju masyarakat yang lebih terbuka; pengajaran untuk kebahagiaan individu; perlembagaan; toleransi; yang tidak dikongkong; dan masyarakat yang berasaskan undang-undang. Rousseau menyokong pemeliharaan hak-hak asasi individu seperti kebebasan berpolitik dan persamaan di sisi undang-undang.

Bagi Rousseau, manusia yang tabii/normal (“natural human beings”) dilahirkan dengan kemampuan untuk hidup berdikari secara sepenuhnya. Sebaliknya, manusia yang hidup secara bermasyarakat (“social human beings”) terpaksa bergantung kepada pihak lain (tidak mampu berdikari) dan kehidupannya terhad. Hak dan kebebasan yang diperolehi oleh manusia yang hidup bermasyarakat adalah berdasarkan sepenuhnya kepada perjanjian sosial secara umum. Ini adalah satu sebab mengapa Revolusi Amerika dan Perancis membawa kepada “kontrak” yang menjelaskan hak dan kebebasan pihak yang diperintah.

Dewasa ini, kebanyakan perbincangan dan dialog mengenai kebebasan adalah berakar-tunjangkan kepada idea “The Social Contract” dan karya Rousseau yang telah dihasilkan olehnya lebih awal iaitu, “The Discourse on Inequality” (Dialog mengenai Perbezaan).

“The Discourse on Inequality” telah ditulis untuk pertandingan esei yang ditaja oleh Bandar Geneva, Switzerland, dalam tahun 1754 (Rousseau memenangi pertandingan tersebut). Artikel tersebut telah menyenaraikan kesemua idea-idea penting yang telah mempengaruhi kebudayaan moden: a) idea keadaan tidak betamadun yang baik, iaitu; keadaan yang paling menggembirakan untuk manusia adalah di pertengahan antara benar-benar liar atau benar-benar bertamadun; b) idea kontrak sosial; c) perbezaan yang tabii/semulajadi di antara manusia; d) kritikan terhadap harta kekayaan; dan e) kebebasan tabii/semulajadi manusia.

Di dalam karyanya, “Discourse on Inequality”, Rousseau mendakwa bahawa ketamadunan dan peradaban telah merampas kebebasan yang semula jadi daripada manusia. Ketika kemanusiaan yang “separuh bertamadun” (semi-civillized) mencari nilai dan kebahagiaan dalam dirinya, manusia yang bertamadun hidup di luar diri mereka sendiri, berdasarkan pendapat dan kuasa milik orang lain.

Realitinya, perbezaannya adalah, manusia yang tidak bertamadun (“savage”) hidup dalam lingkungan dirinya sendiri, manakala manusia yang mengamalkan cara hidup bermasyarakat hidup di luar daripada lingkungan dirinya sendiri, dan hanya boleh hidup berpandukan pendapat orang lain. Jadi, dia hanya menerima kewujudan dirinya berdasarkan kepada penilaian orang lain mengenai dirinya.

Jean Jacques Rousseau dalam “The Social Contract” mencetuskan idea utama iaitu keseluruhan suara rakyat atau hasrat umum adalah penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat; dan hasrat umum adalah suara sepakat golongan yang mempunyai kesedaran. Kesannya ialah, ia telah mempengaruhi Revulusi 1917 di Perancis.

John Locke dalam Karya “Two Treatises of Government” menolak sistem beraja mutlak dan menyokong konsep raja berperlembagaan. Beliau mempunyai pendirian bahawa kerajaan mestilah dibentuk berasaskan persetujuan kerajaan dengan rakyat; manusia akan memilih yang baik jika diberi kebebasan memilih; dan harta yang dimiliki oleh setiap orang harus dihormati.

Rousseau juga telah menerbitkan Novel “Emily” yang mengusulkan satu jenis pendidikan baru. Menurutnya, kanak-kanak harus dibiarkan mengikut kecenderungan masing-masing dan tidak boleh dipaksa menghadapi pelajaran yang mereka tidak gemari.
Marxisme pula sangat mementingkan maruah manusia dalam hal-hal untuk memenuhi keperluan asas dalam kehidupan masyarakat secara umum. Marxisme juga mementingkan hak yang positif dalam hal-hal kebajikan dan sosio-ekonomi untuk golongan pekerja.

Namun, Marxisme hanya menumpukan kepada kesamarataan hak masyarakat secara umum. Ronald Dworkin mengkritik Marx dengan menyatakan bahawa hak asasi manusia adalah lebih penting daripada mencapai matlamat masyarakat secara umum. Marxisme juga menolak sebarang unsur-unsur individualisme dalam pemerintahan, khususnya yang berkait-rapat dengan hak-hak asasi individu. Marxisme menolak sebarang usaha untuk menuntut kebebasan berautonomi. Ia juga menyokong proses memiliknegarakan tanah dan perindustrian oleh kerajaan. Ini secara tidak langsung menafikan hak-hak individu untuk memiliki harta secara persendirian (secara bebas).


8.Kesimpulan
Pada umumnya, teori Marx dan Rousseau bukan sahaja mempunyai beberapa persamaan, tetapi ada juga perbezaan yang melatar belakangi kedua-dua teori tersebut. Rousseau percaya kepada “kebebasan, persamaan dan persaudaraan” (“liberty, equality and fraternity”), dan beliau menekankan akan pentingnya pelajaran kepada kanak-kanak (manusia). Marxisme pula menekankan kepada perlunya monopoli atau dominasi oleh pihak kapitalis dihapuskan. Marxisme memperjuangkan agar keadilan yang sama rata diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Namun, dalam Marxisme, persamaan (“equality”) adalah lebih penting daripada kebebasan (“liberty”). Ini adalah bertentangan dengan konsep utama dalam pemikiran Rousseau iaitu “kebebasan”.

CHE Din,
3 Mei 2010,
10.35 pagi.


Rujukan:
  1. A.C. Kapur, “Principles of Political Science, New Delhi”, S.Chand & Company Ltd., Jilid ke 21, 1996.
  2. “Berkenalan dengan Liberalisme”, terdapat di http://www.scribd.com/doc/18233987/Berkenalan-dengan-Liberalisme, diakses pada 20 November 2009.
  3. Harun Yahya, “Malapetaka Darwinisme terhadap Kemanusiaan”, Kuala Lumpur, Saba Islamic Media, 2003.
  4. “Karl Marx”, terdapat di http://www.lotsofessays.com/viewpaper/1693260.html, diakses pada 17 November 2009.
  5. Krisnasamy dan Khir Hamzah, “Sejarah Peradaban Dunia”, Petaling Jaya, Info-Didik Sdn Bhd, Jilid Ketiga, 2000.
  6. “Marxisme”, terdapat di http://info.indotoplist.com/?ZEc5d1BTWjBiM0JyWVhROUptMWxiblU5WkdWMFlXbHNKbWx1Wm05ZmFXUTlNakE1Sm0xMWJHRnBQVGN3Sm5Cb1lXdzk, diakses pada 18 November 2009.
  7. “Marxisme”, terdapat di http://siti-amaliyah-uin-bi-2b.blogspot.com/2008/04/browse-our-help-system-william-james.html, diakses pada 21 November 2009.
  8. Norlin Saifullah, “PKC-KMT: Kerjasama yang tidak kekal”, Diskusi 1987: Keluaran Khas, Kuala Lumpur, Yayasan Anda Sdn Bhd, 1987.
  9. “Pemikiran Karl Marx tentang kepemilikan”, terdapat di http://tanmalaka83.wordpress.com/2008/07/03/pemikiran-karl-marx-tentang-kepemilikan/, diakses pada 20 November 2009.
  10. “Pengenalan kepada teori alienasi Marx”, terdapat di http://74.125.153.132/search?q=cache:tpQeW3vM5KcJ:arts.anu.edu.au/suara/cox2.rtf+Pengenalan+kepada+teori+alienasi+Marx&cd=1&hl=en&ct=clnk&gl=my&client=firefox-a, diakses pada 21 November 2009.
  11. “Pemikiran Sosiologi Ibnu Khaldun dan Karl Marx: Sebuah Perbandingan”, terdapat di http://www.scribd.com/doc/12831325/Pemikiran-Sosiologi-Ibnu-Khaldun-Dan-Karl-Marx-Sebuah-Per-Banding-An, diakses pada 18 November 2009.
  12. Puteri Rashidah Megat Ramli, Jean-Jacques Rousseau, Dari Hal Perjanjian Sosial, (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991)
  13. “Rousseau”, terdapat di http://media.isnet.org/iptek/100/Rousseau.html, diakses pada 20 November 2009.
  14. “Teori Kontrak Sosial Hobbes, Locke dan Rousseau”, terdapat di http://rizkisaputro.wordpress.com/2007/07/24/teori-kontrak-sosial-hobbes-locke-dan-rousseau/, diakses pada 18 November 2009.
  15. “Teori Rosseau”, terdapat di http://www.idonbiu.com/2009/07/teori-rousseau.html, diakses pada 22 November 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan