Isnin, Februari 19, 2024

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

 



Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan,

Menyubur Kesejahteraan

 

Oleh: Zairudin Hashim

(Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia – MBM)

 

“Cahayamu bagai sabitah, doaku kau sejahtera

biar warna kubah-kubahmu kian pudar

untukmu setanggi ini kubakar

cahayamu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan,

pabila nurani bersulamkan fikiran

seganding dan bersatu, lafaz niatku bertemu

cahayamu tiada tara…”


Ketika M. Nasir (kini Datuk) dinobat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1999 menerusi lagu “Andalusia”, ramai yang terkejut memandangkan terdapat lagu-lagu lain yang telah dijangka sedari lebih awal untuk menang. Dalam naskah yang digubah melodinya oleh ‘sifu’ muzik negara itu, Almarhum Loloq (Rosli Khamis) tampil sebagai penulis lirik.

Meskipun tidaklah sepopular “Tanya Sama Itu Hud Hud” (1994); “Ghazal Untuk Rabiah” (1997) atau “Awan Nano” (2011) yang turut diangkat sebagai Juara Lagu, “Andalusia” berjaya berdiri sebagai mahakarya yang disegani. Ku Seman Ku Hussein menggambarkan lagu ini ‘membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan Kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol).’  

Lagu yang indah dan bermakna ini terngiang-ngiang pada halwa telinga tatkala YB Senator Dr. Zulkifli Hasan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, pada 12 Disember 2023 lalu. Bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kemudiannya diumumkan sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Beliau dilihat mampu membantu anggota Kabinet sedia ada untuk memacu Malaysia ke arah kegemilangan yang kita impikan selama ini.

Memiliki pengalaman luas dalam bidang syariah dan kewangan Islam, mantan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jun 1977 daripada pasangan Haji Hasan Yeen dan Hajah Rabeah Khalid. Sebagai anak kampung, beliau hidup bersama keluarga penoreh getah di Slim River pada awal hidupnya. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang. Kemudian melanjutkan pelajaran di Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar, dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik tahunan pada 1994 di Madrasah tersebut.


Beliau telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda undang-undang di UIAM pada 2001, dan ijazah sarjana muda keduanya dalam jurusan syariah pada tahun 2002. Kemudian, beliau memperoleh ijazah sarjana undang-undang perbandingan di universiti yang sama pada tahun 2004. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Durham University di United Kingdom, dan tamat dengan doktor falsafah (PhD) dalam Kewangan Islam pada tahun 2011.

Beliau sangat aktif serta berpengalaman dengan aktivisme mahasiswa dan kerja kemasyarakatan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Antaranya sebagai bekas lembaga pemegang amanah Global Peace Mission (GPM) Malaysia; mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Negeri Sembilan; Timbalan Pengerusi, Biro Hal Ehwal Antarabangsa ABIM Pusat (peringkat kebangsaan); anggota Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Islam Seremban, dan Ketua MYCOM4SDG. Beliau memiliki pengalaman pada peringkat antarabangsa yang berharga dan terlibat aktif dengan masyarakat awam di United Kingdom, iaitu Durham Islamic Society dan Palestine Solidarity Campaign, serta di Amerika Syarikat, iaitu Association of Muslim Lawyers of New York dan Fordham Islamic Society.

Pada tahun 2013, beliau mewakili Malaysia dalam Program Intelektual Muda Muslim di Asia Tenggara yang berprestij di Jepun anjuran Japan Foundation, dan pada 2014 beliau dipilih sebagai penerima geran untuk menjalankan penyelidikan ilmiah di Universiti Fordham, New York, Amerika Syarikat, oleh Lembaga Biasiswa Asing J. William Fulbright, melalui Fulbright US-ASEAN Visiting Scholars Initiative.

Sementelahan, Dr. Zulkifli pernah menerima Anugerah ‘The Upcoming Scholar’ pada peringkat antarabangsa oleh Global Islamic Finance dan karya beliau termasuk laman sesawang www.zulkiflihasan.com telah memenangi anugerah blog terbaik dan karya terbaik pada peringkat kebangsaan.

Dr. Zulkifli pernah menyandang pelbagai jawatan akademik seperti editor perundangan untuk Jurnal Malaysia Syariah dan Undang-undang; panel syariah untuk Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa USIM, dan penyemak jurnal untuk Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Perniagaan dan Kewangan, dan Jurnal Antarabangsa Kewangan dan Pengurusan Islam dan Timur Tengah. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Editorial bagi Laporan Undang-undang Syariah dan Majalah Kewangan Islam Global, di samping penasihat akademik untuk Diploma Takaful bagi Kolej Dar al Hikmah (KDH), Selangor.

Dr. Zulkifli juga pernah menjadi ahli kepada beberapa persatuan profesional, seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Penasihat Syariah dan Majlis Peguam Malaysia. Sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Affin Islamic Bank dan EXIM Bank serta ahli jawatankuasa Persatuan Penasihat Syariah, beliau mempunyai pengalaman luas dalam perbankan gunaan dan kewangan termasuk takaful.

Sebagai seorang ahli akademik, beliau telah menerbitkan banyak artikel dalam pelbagai jurnal akademik seperti Malayan Law Journal, Shari'ah Law Reports, International Review of Business Research, Journal of International Banking Law and Regulation, International Journal of Islamic and Middle Eastern Finance and Management dan Kyoto Bulletin of Islamic Area Studies, di samping membentangkan banyak kertas kerja dalam pelbagai persidangan tempatan dan luar negara.

Bukunya bertajuk “Tadbir Urus Syariah dalam Bank Islam” yang diterbitkan oleh Edinburgh University Press memenangi Penerbitan Terbaik MAPIM dalam kategori sains sosial pada tahun 2013, dengan minat penyelidikannya termasuk berkaitan tadbir urus dan peraturan korporat dan Syariah dalam kewangan Islam.

Sejak hari pertama melapor diri di Pejabat Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli dilihat cukup cergas melaksanakan tugasan hariannya yang padat. Sepertimana yang kita sedia maklum, beliau sangat suka bersukan dan bersenam, selain sentiasa memastikan agar mempunyai ruang untuk sekurang-kurangnya berjoging selama beberapa jam setiap hari.

Dr. Zulkifli pernah memetik ucapan Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Presiden ABIM kedua) berkenaan bagaimana pentingnya nilai-nilai murni Islam untuk berperanan sebagai peneraju pendekatan wasatiyyah dalam pengamalan hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence). Hal ini sangat dekat dengan interaksi yang dibuat oleh para ilmuan Andalusia dengan Tamadun China dan Tamadun Hindu. Laksana mata air jernih Seirra Nevada, Granada yang mengalir deras dengan damai ke Alhambra, kita dapat melihat bagaimana ketika zaman gemilangnya, Andalusia berjaya mengharmonikan bangsa Arab, bangsa Afrika Utara dan juga warga tempatan Sepanyol untuk bergandingan utuh dan saling menyemai perpaduan.  

Selama 800 tahun, Andalusia berkembang sebagai Tamadun Islam di sekitar Semenanjung Iberia dari tahun 711 (ketika di bawah Tariq Ibnu Ziyad) sehingga 1492 Masihi. Umat Islam berjaya memimpin Andalusia dengan cemerlang kerana mementingkan keharmonian dan persaudaraan, termasuk sesama warga setanah air yang bukan Muslim. Kepimpinan Islam di sana yang dilaksanakan secara berintegriti, sejahtera, bertoleransi dan mapan, berjaya mengurangkan polarisasi kaum.

Sementera itu, Dr. Zulkifli juga pernah mengungkapkan betapa pentingnya masyarakat memahami gesaan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang hakikat insan yang dikurnia akal dan kepentingan mendalami ilmu, selanjutnya membentuk ketinggian dan keluhuran sesebuah peradaban. Selain keindahan seni bina Maghribi-Andalusia, Al-Andalus juga memberikan inspirasi kepada kita bahawa ilmu mampu mencetak manusia yang baik secara universal (al-insan al-kamil) dan mengangkat kemuliaan insan (karamah insaniyyah). Umat Islam di Andalusia yang menjunjung tinggi budaya ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa-sallam menjadi simbol ketamadunan, ketertiban, kesopanan, kebersihan, kebijaksanaan, dan kemajuan.

Kesepaduan ilmu yang diamalkan dalam masyarakat Andalus dan dilaksanakan menerusi sistem pendidikan wajar dijadikan iktibar. Zaman keemasan Andalusia amat terserlah sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi iaitu semasa munculnya tokoh-tokoh ilmuan hebat, cendekiawan agama, ahli hadith, ahli falsafah, ahli sains, kimia, fizik, matematik, kejuruteraan, pakar perubatan, astronomi, ekonomi, kesenian kraf serta senibina tamadun Islam dan lain-lain lagi yang masih kekal sehingga kini. Andalusia menjadi simbol kekuatan dan keagungan Islam dan dianggap sebagai “The Torch of Europe” yang memberi suluhan ilmu kepada Tamadun Barat ketika mereka mengalami Zaman Kegelapan.

Khatimahnya, sosok bernama Dr. Zulkifli Hasan ini wajar diberikan perhatian, dan masa akan jadi penentu sejauh mana beliau akan melangkah. Apa yang utama, matlamat untuk mengarusperdanakan gagasan Malaysia Madani perlu dilakukan secara konsisten, bagi mengembalikan kegemilangan ummah seperti era empayar Andalusia dapat direalisasikan, di samping mengambil iktibar daripada kejatuhannya.

Hari ini, matahari yang pernah menyinari zaman kegemilangan Islam di Andalusia, adalah matahari yang sama dengan hari ini. Tiada yang mustahil untuk membina sebuah kebangkitan, asalkan disulami dengan pembudayaan ilmu, adab dan keberanian bertindak, dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Mana-mana Muslim yang beriman pasti jiwanya tersentuh apabila fikirannya mengenangkan Andalusia. Sebagaimana bait-bait indah nukilan Loloq,

“Aku rindukan zaman kebangkitan,

pabila nurani bersulamkan fikiran

seganding dan bersatu, lafaz niatku bertemu

cahayamu tiada tara

pohon salamku pada fakir-fakirmu, Andalusia…”