Khamis, Jun 20, 2019

ANAK-ANAK SIDEK.


ANAK-ANAK SIDEK
Kerana sejarah itu wajar dicapai dan kemudian didokumentasi, supaya menjadi pedoman generasi masa depan. Namun, bukan hanya untuk diimbau segala pencapaian penuh nostalgik, malah untuk kita mengulangi, jika tidak menggapai kejayaan yang lebih gemilang.
Kerana itu peranan ibu bapa serta pembangunan akar umbi sangat penting, waima sukan apa sekalipun. Para atlet juga mesti mengekalkan momentum prestasi serta jati diri yang tidak terhakis. Walau setinggi mana langit dijunjung. Walau sepenuh mana akaun di bank.
Politiking, kronisme dan pilih kasih mungkin sukar dikikis daripada minda sang oportunis. Tapi, kita semua mesti mainkan peranan untuk membuat perubahan.Bermula lah walau dengan langkah pertama, hari ini, walau sekecil mana sekalipun.
Sukan, bukan hanya tentang kemenangan. Tetapi juga tentang kemajuan peradaban serta mentaliti juara dalam jiwa rakyat terbanyak.
---
Jaguh negara, yang banyak berjasa. Bukan saja dalam dunia badminton; tetapi mengangkat maruah sukan kebangsaan secara amnya.
Anak-anak Sidek.
#Padu #Grande
#RetroBolaSepak

LEGASI

LEGASI
Sebuah legasi, serta era yang pastinya sukar untuk dikembalikan semula.
Perseteruan di dalam gelanggang, persahabatan sepanjang hayat.

THE DEATH OF JOGA BONITO

THE DEATH OF JOGA BONITO
Asal-usul genre muzik dan tarian Samba dikatakan mempunyai kaitan dengan perdagangan hamba dari Afrika, khususnya Angola dan Congo. Ia kemudiannya menjadi sinonim dengan budaya Brazil khususnya di Rio de Janeiro. Samba dan bola sepak kemudiannya menjadi fenomena besar pada 1930an, bilamana bandar utama di Brazil Rio dan Sao Paulo melalui era perindustrian.
Idea popular Samba terus hidup untuk berdekad lamanya, meskipun selepas ketiadaan Pele pada 1974 dalam skuad tersebut. Skuad Tele Santana pada 1982 pasti dikenang dengan aksi hebat Zico, Socrates dan Falcao.
Pada 1994, Brazil menjulang Piala Dunia dengan Dunga tampil selaku ketua pasukan sebuah skuad yang baru. Mario Zagallo mencatat sejarah apabila memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali: dua kali sebagai pemain (1958 di Sweden dan 1962 di Chile); sekali sebagai jurulatih (1970 di Mexico) dan sekali sebagai penolong jurulatih (1994 di Amerika Syarikat).
Pada 1998, Brazil memasuki kancah Final di Perancis, bersama Dunga selaku arkitek yang ampuh di atas padang.
Pada 25hb Mei 2002, skuad kebangsaan Malaysia turut diberi peluang beraksi satu padang, menentang gergasi Brazil di Stadium Bukit Jalil. Dengan bersahaja, Brazil menewaskan skuad negara yang dibarisi ramai pemain muda, 4-0. Satu pengalaman yang tak ternilai harganya.
Pada 30hb Jun 2002, Brazil dan Jerman bertemu di Final Piala Dunia. Pertembungan kali pertama dua gergasi bola sepak dunia ketika itu turut dibarisi oleh para bintang seperti Rivaldo, Ronaldo, Ronaldinho, Oliver Kahn, Carsten Ramelow dan Jens Jeremies, tatkala Michael Ballack digantung. Pada 2002, Brazil di bawah kendalian Luiz Felipe Scolari kembali menjulang Piala Dunia, dengan Gilberto Silva selaku jentera di tengah padang. Edisi 2002 menyaksikan Brazil ampuh bersama skuad yang mempunyai banyak nama besar.
Kaka, Marcos, Gilberto Silva, Lucio, Roberto Carlos, Cafu menampilkan permainan menarik serta gol yang cantik sepanjang kempen pada tahun tersebut. Ronaldo berjaya menewaskan penjaga gol legenda, Kahn, apabila menjaringkan 2 gol untuk melengkapkan kepulangannya ke arena utama pentas bola dunia.
Piala Dunia ke-5 dihadiahkan kepada Brazil, sebuah kejayaan yang diserikan dengan ‘joga bonito’ yang menghiburkan. Ronaldo menjaringkan gol pada hampir setiap perlawanan ketika Piala Dunia di Korea Selatan dan Jepun.
Selepas edisi 2002, Brazil dikatakan tidak lagi beraksi seperti era 1950an-90an, bersama keunikan ‘samba’. Skuad 2006 mempunyai Emerson, dan Dunga melatih pasukan 2010 bersama Silva dan Felipe Melo di tengah. Namun, ‘magis’ tahun-tahun terdahulu gagal diulang semula.
Mimpi buruk para penyokong fanatik Brazil bermula pada edisi 2014. Brazil pada 2014 dikatakan kekurangan bakat individu yang kreatif serta berpengaruh. Dengan hanya bergantung kepada Neymar, beliau tidak disokong dengan baik.
Selecao dihancurkan dalam tempoh 7 minit yang menggemparkan dunia. 4 gol dilepaskan kepada skuad Jerman dalam tempoh 7 minit sewaktu Separuh Akhir, menguburkan impian untuk memperbaiki pencapaian di halaman sendiri pada Piala Dunia 1950. Tewas 1-7 kepada Jerman, kekalahan ituterus menghantui skuad Brazil hingga kini.
Aksi sempurna yang penuh menghiburkan, kreatif dan corak permainan terbuka Brazil pasti dirindukan. Mereka kini dikatakan lebih mengikuti corak permainan Eropah yang lebih ketat dan fizikal. Kini, lebih ramai pemain Brazil yang beraksi di Eropah termasuklah di England.
Pada 1994, 1998 dan 2002, separuh daripada skuad Brazil beraksi di liga mereka sendiri. Pada 2006, hanya 3 orang pemain Piala Dunia mereka beraksi di Brazil, jumlah yang sama pada 2014.
Hal ini dikatakan menyebabkan kualiti liga domestik di Brazil semakin menurun. Ada yang berpandangan bahawa corak permainan Brazil tidak sesuai dengan gaya Inggeris, di mana ini dikatakan turut menyumbang kepada matinya Joga Bonito dalam skuad kebangsaan mereka.
Brazil pada era Samba mempunyai ‘three-deep’ pada hampir setiap posisi di atas padang. Malahan, ada yang beranggapan, dulu Brazil malah mampu membariskan 3 pasukan di Piala Dunia, dan tetap akan mempamerkan prestasi hebat, kerana mempunyai terlalu ramai pemain berbakat.
Brazil perlu kembali kepada akar mereka: skil yang hebat, helah yang mengelirukan, selain ‘wow factor’ yang dulunya sangat sinonim dengan negara tersebut. Akar yang semakin terhakis, yang perlu dicari dan digali sebaik mungkin oleh negara itu, untuk kembali menjadi kuasa besar bola sepak dunia.
Inilah falsafah Joga Bonito yang semakin hilang dan pupus. Moga ia muncul kembali, satu hari nanti.
#Padu #Grande
#RetroBolaSepak