Rabu, November 30, 2016

AFF SUZUKI: JIWA DERITA; GUSAR KECEWA.

AFF SUZUKI: JIWA DERITA; GUSAR KECEWA.
Kita menentang Myanmar, sambil menyarung jersi hitam-kuning yang tampak unik dan tersendiri.
Dengan jersi berjenama terkenal. Dengan sepatu bola bernilai tinggi.
Namun, para pemain kita kelihatan hilang fokus, dan kurang kesungguhan.
Bersama harapan dan impian menggunung peminat. Bersama pengorbanan dan perjuangan para penyokong sejati.
Jauh, jauh lagi perjalanan Harimau Malaya kita.
Apa pun, tahniah buat Ronny, Khairul Fahmi (Apek) serta sekalian pemain yang bermain sepenuh hati.
Kami kritik; tapi menyokong, takkan berhenti walau sekali. Kerana tanah ini, tanah air kebanggaan kami. 
Walau tiada yang mendengar rintihan kami -- untuk perubahan ke arah profesionalisme pengurusan liga dan pasukan yang telus.
Walau tiada yang ambil kisah pandangan kami -- untuk kelangsungan pembangunan tunas yang lebih komprehensif.
Ke mana hala tuju kita seterusnya? Selamanya, Harimau Malaya.

SEKADAR DI BIBIR.
Nak kata tidak, ya...
Nak kata ya, bukan...
Nak kata bukan, entah...
Entah?
Banyak dikata,
Nista pun ya,
Ada Selatan cemuh,
Ada Timur macam mengata anak, sindirnya menantu,
Ada Barat mengata sindir, 
Ada Utara titip meleret cebik,
Ah... Macam-macam herdik.
Itulah.
Sayang pada 'mereka' begitulah,
Mulut berbuih,
Air liur tak habis,
Tapi hatinya masih menaruh,
Suatu hari dapat mengecap mahsyur,
Biar ada viral sukan utama,
Bukan viral cerita ahli berhormat,
Bukan cerita bergaduhnya umat,
Biar ceritanya tentang matlamat.
Tingkatkanlah...
Usahakanlah...
Nampak ada sinar dalam sirna,
Seorang dua kakinya teguh,
Lenggoknya menawan,
Yang lama pun boleh menunjuk jalan,
Mana yang keras dilembutkan,
Yang lembut dihadamkan.
Mengaumlah.
Jangan takut, tertib penyokong ni ada yang istiqamahnya.
Kalau rasa sayang, tunjukkanlah.
Yang lama di sana, turunlah.
Mungkin ada solusi yang senada begitu.
Tapi anda di atas mungkin lebih tahu dari kami yang entah siapa ini.
Cuma satu...
Selamanya, Malaysia Di Dadaku!
- Bremner, RBS Malam 27.11.2016

Selamat pengantin baru, Bro Shah Amirul!


Selamat pengantin baru, Bro Shah Amirul. Moga bahagia hingga hujung nyawa.

Selamat sukses juga buat Bro Amir Mursyid. Moga selamat pulang dan berjuang di Mesir.

Syukur.

Amir Naufal; enam bulan.

Amir Naufal; enam bulan.
Alhamdulillah. 
:)

JIWA JERSI.


JIWA JERSI.
Alhamdulillah, sebentar tadi, saya telah ditemubual oleh wartawan Harian Metro.
Jersi-jersi yang tersisa. Pastinya tidak selangka koleksi sahabat lain, yang hebat-hebat. Banyak yang dah dijual, tapi yang ini antara koleksi kesayangan. 
Apa pun, terima kasih kepada semua sahabat yang telah membantu dalam mencari dan memiliki jersi-jersi ini.
Hanya yang mengumpul akan memahami. Jiwa jersi. 
Bersama martabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu & Grande; selamanya.
P/s: Turut hadir dalam temubual ini ialah Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz. 
In sya ALLAH, beberapa program seperti siri diskusi dan kempen kesedaran berterusan dengan hashtag #IngatBolaIngatRohingya; akan dianjurkan dengan kerjasama ABIM, RBS, Restoran Nasi Kandar Line Clear Kampung Baru dan beberapa rakan strategik yang lain. Nantikan. 
#IngatBolaIngatRohingya 
.

Jumaat, November 25, 2016

ABIM DAN RBS LANCAR #INGATBOLAINGATROHINGYA, KEMPEN KESEDARAN KEZALIMAN ROHINGYA.


Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
ABIM LANCAR #INGATBOLAINGATROHINGYA, 
KEMPEN KESEDARAN KEZALIMAN ROHINGYA.
24hb November 2016 (Khamis): Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama beberapa NGO lain melancarkan kempen tanda solidariti kepada etnik Rohingya sempena Piala AFF Suzuki. Kempen di media sosial itu yang menggunakan hashtag #IngatBolaIngatRohingya itu bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kekejaman yang berlaku di Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Antara yang ditekankan adalah bahawa Malaysia tidak perlu menarik diri dari Piala AFF Suzuki tetapi menggunakan platform tersebut untuk mengadakan kempen kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai isu yang berlaku.
Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kempen itu turut memberi tumpuan kepada siri tayangan perdana video Rohingnya, pada perlawanan separuh akhir dan akhir membabitkan mana-mana pasukan bertanding pada kejohanan Piala AFF 2016 di Myanmar.
“Beberapa siri perlawanan persahabatan bola sepak di sekolah ABIM juga dilaksanakan untuk menjayakan kempen ini selain mengadakan FlashMob #IngatBolaIngatRohingnya dengan edaran risalah kesedaran berkenaan perkara itu,” katanya.
Katanya, ABIM juga bakal menganjurkan siri wacana isu Rohingya secara terbuka sebagai mekanisme terbaik membentuk kesedaran umum membabitkan komuniti untuk digerakkan di surau dan masjid. Mengulas gesaan pelbagai pihak supaya skuad Harimau Malaysia memboikot Piala AFF, Muhammad Faisal berkata, ia hanya mengikut trend dan bermusim.
Katanya, dasar berkenaan perlu diteliti ekoran tindakan sedemikian tidak memberi gambaran sebenar kritikan Malaysia terhadap penindasan etnik Rohingnya. “Kita kena konsisten dan istiqamah dalam membantu Rohingya kerana apa yang terjadi hari ini sudah lama berlaku sebelum kejohanan AFF Suzuki lagi. Kita bercakap secara bermusim, itu masalah kita sama seperti yang berlaku kepada Syria, Palestin dan Iraq. Berapa ramai lagi dalam kalangan mereka yang tertindas,” katanya.
Memetik kenyataan dari ABIM: “Sekiranya mahu boikot atau memberi signal, sepatutnya sejak dulu lagi. Sekurang-kurangnya dengan tidak menyertai Piala AFF dari awal.” Kempen ini menyeru rakyat Malaysia menggunakan hashtag #IngatBolaIngatRohingya, #SaveRohingya dan #PrayForRohingya di media sosial ketika perlawanan menentang Myanmar dan mengambil gambar sambil memegang kertas bertulis hashtag tersebut dan meletakkannya di media sosial.
Sementara itu, seorang penulis blog di Retro Bola Sepak (RBS), Zairudin Hashim menegaskan setiap kempen yang diadakan haruslah secara berterusan. “Kempen kemanusiaan berkenaan etnik Rohingya di Myanmar seharusnya perlu terus konsisten bukan hanya dibuat secara bermusim atas dasar tertentu. Kita tidak boleh melakukan solidariti terpilih dan bermusim sahaja.”
Turut menyokong kempen ini adalah Restoran Line Clear Nasi Kandar Kampung Baru, Retro Bola Sepak (RBS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan FC Barcelona Fans Malaysia.
Restoran Line Clear Kampung Baru akan mengadakan tayangan perlawanan separuh akhir dan akhir Piala AFF Suzuki 2016 dan pada masa yang sama akan mengadakan kempen kesedaran sebelum perlawanan bermula.
“ABIM juga mengecam sekeras-kerasnya siri pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya oleh pemerintahan Myanmar tanpa batasan hak asasi manusia walaupun Myanmar kini dikatakan dipimpin oleh sebuah kerajaan baharu yang demokratik,” ujarnya lagi.
ABIM berpandangan kemenangan parti politik National League for Democracy (NLED) di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi bersifat hipokrit kerana tidak mengiktiraf ratusan ribu rakyat etnik Rohingya yang mengundi. Malah, siri pembersihan etnik Rohingya dari bumi Myanmar terus dilakukan dengan kejam.
Justeru, ABIM menggesa kerajaan Malaysia dan seluruh negara ASEAN bertegas menilai semula keanggotaan Myanmar dalam ASEAN kerana tindakan kejam kerajaan Myanmar bercanggah dengan prinsip dan budaya negara serantau.
Sedari penubuhannya, Angkatan Belia Islam malaysia (ABIM) konsisten menjalankan inisiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat; khususnya golongan belia tanah air, berkenaan kesengsaraan dan penderitaan hidup yang dialami oleh umat Islam Rohingya, atas kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah Myanmar/Burma.
Sempena ‘IIUM Convocation Fiest – Convest 15’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Presiden ABIM, Saudara Raimi Ab. Rahim yang juga Presiden Global Peace Mission (GPM) Malaysia sebagai sebuah NGO Kemanusiaan, telah dijemput bagi merasmikan pelancaran kempen “Fund Raising For Rohingya” pada 5hb November 2015.
Saudara Raimi telah memberi khabar tentang masyarakat Rohingya yang sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita semua. Isu pelarian Rohingya perlu sentiasa diketengahkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar, dan seterusnya menegakkan hak sebagai warganegara untuk masyarakat Rohingya di negara mereka sendiri (Myanmar).
GPM juga membuka booth bersebelahan Masjid UIAM bagi memberi pendedahan mengenai misi-misi GPM dan penerangan kempen “Fund Raising for Rohingya”. Isu penindasan umat Islam Rohingya telah disiarkan dalam majalah “Risalah” terbitan ABIM sejak tahun 1982, apabila memuatkan temubual bersama Presiden Rohingya Patriotic Front ketika itu, Saudara Mohammad Jaafar Habib, berkenaan penindasan umat Islam Rohingya di Myanmar (ketika itu dikenali sebagai Burma).
Pelancaran Tabung Pelarian Islam Rohingya oleh ABIM dibuat pada tahun 1992, manakala penubuhan Pusat Informasi Rohingya dibuat pada tahun 90an.
Pada tahun 1991 sahaja, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan etnik berkala oleh tentera Myanmar. Selain daripada itu, etnik Rohingya juga berterusan berhadapan dengan penangkapan arbitrari oleh pihak berkuasa.
Penangkapan yang berleluasa ini langsung tidak mempunyai asas dan merupakan satu lagi bentuk penyiksaan yang membuktikan bahawa satu proses penghapusan etnik sememangnya sedang berlaku di Arakan.
Ekoran daripada pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berabad lamanya, ABIM komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen “Citizenship For Rohingya” pada 14 September 2012.
Menerusi kempen tersebut, ABIM mendesak agar kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya, dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB.
ABIM juga menyeru untuk semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen “Citizenship For Rohingya” supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘rakyat Palestin di Asia Tenggara’ dan ‘manusia perahu’.
Pada 30hb Mei 2015 pula, ABIM telah mengadakan himpunan sebagai tanda solidariti serta protes terhadap penindasan ke atas masyarakat Rohingya yang telah dinafikan hak mereka sebagai manusia.
Sementelah, Rohingya Education Centre (REC) cawangan Kuantan (Pahang), Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Klang (Selangor) telah ditubuhkan hasil sinergi membabitkan Yayasan Albukhary, United Nation High Commisioner for Refugees (UNHCR), Future Global Network (FGN), WADAH dan ABIM.
Pusat ini merupakan usaha fardhu kifayah, bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran dan kemiskinan serta tekanan dalam kehidupan.
Keutamaan REC adalah bermatlamatkan ‘Iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’. Maka dalam kekalutan pendidikan hari ini, usaha untuk mendidik umat tidak patut hanya bermusim; bahkan biarlah ianya secara berterusan dan disambut oleh semua peringkat lapisan masyarakat.
Mudah-mudahan, dengan menyediakan peluang pendidikan secara lebih terancang dan tersusun, anak-anak Rohingya yang suci bersih ini akan lebih mampu dan bersedia untuk bangkit mengembalikan hak, maruah bangsa dan agama di bumi asal mereka suatu hari nanti.
Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!