Isnin, Oktober 19, 2015

Tentang Hormat.

Tentang Hormat.
Dia Bangla ke, pekerja Indonesia ke -- dia manusia. Dan, manusia ada maruah.
Sebanyak mana pun harta kita, setinggi mana sekalipun jawatan kita -- itu bukan tiket percuma; untuk kita menampar dan menumbuk seseorang manusia lain, tanpa asas yang kukuh.
Belajarlah untuk menghormati orang lain; kerana kita semua hanyalah -- hamba TUHAN.
.

LOGO RBS.

LOGO RBS.
Hendak buat apa dengan keping-keping logo RBS ini?
Sebelum itu, RBS hendak cerita sedikit asal-usul logo ini.
Kira-kira setahun selepas RBS diwujudkan sekitar November 2012, maka kami pun simpan hajat agar ada baiknya kalau RBS punyai logo rasmi sendiri.
Sebelum itu, RBS hanya guna imej wajah beberapa pemain bola sepak terkenal dunia, antaranya Diego Maradona, Paolo Maldini, Socratés dan seumpama mereka.
Maka bersidanglah kami, mencerna buah fikir masing-masing.
Kertas kajang sudah berhelai-helai diconteng-lakar.
Lakaran kasar kemudiannya dimuktamadkan.

Logonya harus bulat, perkataan RETRO di sebelah atas, huruf B dan S mewakili perkataan 'Bola Sepak' dan perkataan GRANDE di sebelah bawah, 'tagline' popular RBS selama ini.
Maka kami pun ketemu seorang pemuda, teman kepada sahabat kami. Katanya beliau mahir dalam bab-bab merekabentuk apa saja rekaan.
Lakaran kasar logo dipersembah padanya. Beliau kata OK, mudah menurutnya. Lalu jangka masa seminggu diberi kepada beliau.
Dari seminggu bawa ke dua minggu, dari dua minggu membawa ke sebulan, buat kami di RBS ternanti-nanti.
Bila dihubungi, katanya beliau agak sibuk sedang membuat persiapan hendak mendaki Gunung Kinabalu.
Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, ternanti-nanti juga kami termanggu menunggu. Orang kata 'Janji Melayu'.
Dek kerana terlalu lama, dan tiada khabar berita dari pemuda tersebut, kami rasa lebih baik perkara pembikinan logo grafik RBS itu disuakan ke orang lain.
Suatu malam, sedang duduk minum kopi di rembang malam, kebetulan seorang kenalan datang sertai kami 'mengopi'. Dia hadir dengan adik iparnya. Memang agaknya dah hendak dijadikan cerita, adik ipar kenalan kami ini katanya juga mahir menggunakan aplikasi grafik.
Terus dipanjangkan idea pembikinan logo RBS. Disuakan juga lakaran kasar kami.
Anak muda ini setuju untuk bantu. Lantas esoknya dah siap sepenuhnya, sepertimana logo RBS sekarang, cuma waktu itu imej wajah Socretés yang jadi pilihan.
Memang kami puas hati dengan hasil kerja beliau.
Terima kasih pada pemuda tersebut. Beliau tak kenakan sebarang caj. Lalu upahnya sehelai baju-T RBS kami hadiahkan kepada beliau.
Logo RBS beberapa kali diubahsuai latar tengahnya mengikut situasi semasa, sebelum bendera Malaysia, Jalur Gemilang menjadi pilihan muktamad kami.
Dari sekadar, biasa-biasa, suka-suka, Retro Bola Sepak kini harapnya akan terus kekal menyaji kisah-kisah 'grande' dalam dunia bola sepak, meski kami sedar semenjak-dua ini, amat kurang bingkisan-bingkisan dari kami lantaran masing-masing dari kami terikat dengan komitmen kerja.
Sekadar bercerita...
Padu dan grande selamanya!
'..lama itu mahal, tua itu emas..'
Tapi, keping-keping logo RBS ini mahu bikin apa sebenarnya ya?. Nantikan kelak makluman dari kami. Selamat berhujung minggu Retrorians semua...
.

Tentang Tol (2).

Sumber gambar.
Tentang Tol (2).
Selain daripada kenaikan tol dan ketiadaan stesen minyak, antara perkara yang perlu kita fikirkan ketika menggunakan Lebuhraya MEX: ialah betapa perlunya kita memandu dengan cermat, khususnya ketika melalui zon angin lintang.
Bukanlah sesuatu yang membahagiakan, untuk menyaksikan beberapa buah kemalangan berlaku dalam masa sebulan di kawasan tersebut.
Kemalangan memang tak boleh dielak kalau sudah ditakdirkan. Tapi, kita mesti berikhtiar untuk mencegahnya.
Selamat membayar tol pada kadar baru, Malaysiaku.
.

Tentang Tol (1).

Sumber gambar.
Tentang Tol (1).
Bila tol dan minyak naik; rakyat akan jadi keliru dengan manfaat yang boleh kita perolehi hasil pembayaran GST.
Realitinya, seberapa banyak pun teori ekonomi dikupas di kaca TV -- pada akhirannya; yang akan menanggung kenaikan tersebut ialah rakyat terbanyak.
Dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit; sangat ramai yang terkesan.
Sama ada miskin bandar mahupun marhaen; BR1M tidak cukup untuk menampung kos hidup tinggi -- waimah untuk sebulan. Dan, tidak semua memperoleh BR1M.
Dirgahayu, Malaysiaku tercinta.
.

Meranduk Arus.

Meranduk arus.
Semalam, hari ini dan esok 
yang tidak pasti.

Pejuang besar; yang meninggalkan kesan besar 
buat umat dan tanah air.
Al-Fatihah sekudusnya. 
Sekudusnya.
.

Jumaat, Oktober 16, 2015

IJTIMA’ HARAKIY KALI KE-4: PENUH NOSTALGIK; SARAT DENGAN ILTIZAM PADU.


Logo ABIM.
Lagu ABIM.
IJTIMA’ HARAKIY KALI KE-4: PENUH NOSTALGIK; SARAT DENGAN ILTIZAM PADU.
Biar orang tak kenal saya, asalkan orang kenal Islam!”
– Saudara Amidi Abd Manan, mantan Presiden ABIM.
1.0 MUKADIMAH.
Penuh nostalgik; tetapi sarat dengan idealisme serta iltizam baru yang padu. Demikianlah yang dapat disimpulkan terhadap Muktamar ABIM kali ke-44 serta Ijtima’ Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM kali-4 (IH4) yang berlangsung dengan meriah dari 18 hingga 20 September 2015.
Muktamar ABIM penuh signifikan ini dianjurkan di Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Kajang sempena Ijtima’ Harakiy kali ke-4. Kehadiran muktamirin dan muktamirat dari seluruh pelusuk tanah air – dari Perlis sampai ke Sabah; membuktikan bahawa ABIM terus relevan dalam menongkah arus modenisasi. Seramai 851 orang perwakilan dan pemerhati telah hadir ke IH4, dengan 319 orang daripadanya merupakan ahli serta aktivis ABIM yang membanjiri muktamar gerakan bersejarah tersebut.
Perkembangan kebangkitan Islam di Malaysia pada era 80an hingga 90 dan hingga hari ini; tidak dpat dipisahkan dengan budaya ilmu. Hakikat ini telah diperakui dalam pelbagai kajian oleh cendekiawan sama ada Muslim atau bukan Muslim, dalam mahu pun luar negara.
Atas dasar ini rangkaian WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) merasakan amat penting untuk kelompok Ilmuwan memainkan peranan penting dalam memimpin misi pencerahan umat menerusi penganjuran ‘Seminar Ilmuwan Muslim & Misi Pencerahan Umat’ yang akan mengupas peranan dan karakter yang perlu ditampilkan oleh kelompok ilmuwan dalam menghadapi isu semasa meliputi politik, sosial, budaya, ekonomi, dan pendidikan.


2.0 “SEJAHTERAKAN MALAYSIA DENGAN DAKWAH: MENTERJEMAH MISI ILMUWAN DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI”.
Dalam ucapan dasarnya, Saudara Amidi Abd Manan membawa tajuk  “Sejahterakan Malaysia Dengan Dakwah: Menterjemah Misi Ilmuwan Dalam Menghadapi cabaran Masa Kini”. Antara lain, beliau mengimbau mutiara kata Buya Hamka mengenai peranan ulama’ dalam membangunkan umat, di samping menekankan perihal pendidikan tawhidik dan perjuangan bangsa. Beliau juga menyentuh bagaimana ulama’ serta tokoh terdahulu begitu gelisah dan kurang senang jika nama dan amal bakti mereka disebut-sebut.
Sementelah, Saudara Amidi menegaskan berkenaan isu gejala sosial yang semakin rakus dewasa ini. Ironisnya; menurut beliau, program serta peruntukan kem serta kelas pendidikan berunsur keagamaan semakin menyusut secara beransur-ansur. ABIM, menurut beliau, menyelar sikap acuh tidak acuh dalam menangani hal ini. Pendidikan adalah keutamaan bagi melahirkan generasi muda berkualiti pada masa hadapan.
Dalam Ucapan Dasarnya, Saudara Amidi menyentuh berkenaan ‘trend’ yang seragam dalam skala global. Dorongan yang mempengaruhi ‘trend’ tersebut adalah tujuan yang sama dan matlamat yang serupa. Bagi mempertahankan prinsip seorang ilmuwan, Ranngawarsita melaksanakan ‘mati sebelum mati’, iaitu mematikan segala kehendak duniawi yang melampau bagi mempertahankan prinsip dan tuntutan keilmuan.
Fenomena ini dinamakan mati raga. Mati yang menghidupkan prinsip dan asas pembinaan budi. Kita selaku penggerak dakwah hidup dengan memperdagangkan jiwa dan harta kita demi kebahagiaan yang abadi sepertimana yang disebut dalam Surah As-Saff: Ayat 10-11.
Beliau menyeru agar semua kembali mengingatkan diri kepada ‘pengkalan’ yang memberi ruang pendidikan dan pembentukan jiwa dan akal, kemahiran dan kompetensi diri. Beliau turut berdoa agar semua anggota jemaah WAP agar terus subur menabur bakti, memberi pencerahan dan didikan kepada umat seluruhnya.
Sepanjang berlangsungnya muktamar, beberapa usul dibentang dan dibahas, seperti: pendidikan, kaderisasi, pembangunan harta wakaf serta pembangunan sosial dan keluarga. Selain itu, penekanan turut dibuat berkenaan betapa perlunya perniagaan serta sukan disebatikan dengan jiwa serta keluarga kesemua ahli gerakan.
Saudara Hasri Harun, bekas Naib Presiden yang menyampaikan ucapan terakhirnya di atas platform ABIM, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan susah-payah serta jalan perjuangan panjang yang dilalui oleh para pemimpin serta aktivis ABIM. Beliau yang pernah diberi tanggungjawab berat selaku Yang Dipertua ABIM Selangor ketika baru berusia 27 tahun; menggesa semua anggota jemaah agar sentiasa bersedia; untuk diberi amanah bagi menyumbang kepada umat. Dengan penuh keinsafan, beliau mendeklamasikan sajak ‘Aku Orang ABIM’.
Tokoh Belia ASEAN dan bekas Naib Presiden ABIM, Saudara Jufitri bin Joha dalam ucapannya, menyentuh berkenaan perlunya ahli ABIM mempertingkatkan integriti pemikiran, pembacaan serta pidato bagi memperkasa lagi kemahiran diri dalam mendepani umat. Selain menyeru agar semua membina aspek yang lebih inklusif dalam masyarakat, beliau mengimbau bagaimana pentingnya kemampuan berpidato yang baik, apabila beliau sendiri – yang asalnya kurang mahir mendepani khalayak; menjadi semakin yakin apabila mendengar pidato-pidato Saudara Amidi (ketika era PKPIM).
Saudara Jufitri juga menyatakan keperluan besar untuk ABIM berusaha untuk  menjangkau (reach out) lebih banyak isu yang merentasi pelbagai bidang; termasuklah isu orang kelainan upaya (OKU) dan rasuah.
Puan Fadhlina Sidek, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA), tegas membangkitkan perlunya anggota jemaah supaya lebih menghormati serta menghargai pengorbanan dan sumbangan kaum wanita, khususnya golongan isteri. Beliau menyeru kepada semua pihak agar mengambil contoh teladan agung Rasulullah SAW, yang begitu menyantuni hak isteri serta tidak menjadikan perempuan sebagai bahan ketawa atau sindiran.
Seperti lazimnya, ABIM melantik barisan pimpinannya dengan latar belakang profesionalisme yang pelbagai. Semoga keseimbangan antara saf pimpinan daripada golongan agamawan dan profesional yang akan, sudah dan telah ditonjolkan ini; mendatangkan manfaat yang besar buat umat. Saudara Mohamad Raimi bin Ab. Rahim, mantan Presiden PKPIM dan seorang peguambela & peguamcara bertauliah, telah dilantik sebagai Presiden Ke-9, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sesi 2015/17.

3.0 “MISI KECENDEKIAWANAN DALAM GERAKAN REFORMASI ISLAHI
Muktamar Nasional (MUKNAS) Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) Ke-9 berlangsung di Bilik Syura, Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Kajang. Presiden WADAH, Dato’ Dr. Siddiq Fadhil mengangkat tajuk besar:  “Misi Kecendekiawanan Dalam Gerakan Reformasi Islahi”. Ini merupakan ucapan terakhir beliau sebagai Presiden WADAH.
Ustaz Siddiq menegaskan bahawa ‘Islam adalah agama Rahmat dan bukannya perkauman pekat’. “Kita ingin mengajak rakan-rakan yang berkongsi aspirasi amanah -- menampilkan Islam sebagai agama Rahmat sejagat supaya memeliharanya. Kita sama-sama sedari ada kalangan yang mencemari citra agama Rahmah ini, dengan menyimbah warna perkauman pekat, garang dan menakutkan.”
Ustaz Siddiq turut menyentuh berkenaan ‘repositioning’ pimpinan dalam menghadapi cabaran baru yang mesti dilakukan. Dalam gerakan WAP, tiada siapa pun yang ‘indispensible’ iaitu tidak boleh digantikan. Jemaah ini telah menyediakan kepimpinan dalam gerakan untuk peralihan. Sebagai pemimpin, tampillah ikut diri sendiri, tanpa perlu mengikut gaya orang lain.
Beliau turut menyebut, “ALLAH curahkan keberkatannya. Baraqah sangat penting dalam kerja. Komitmen kerja keras dengan ikhlas. Kalau ada kuasa dan banyak duit sekalipun, kalau ditadbir dengan kesombongan dan berlakunya penyelewengan, maka tidak akan kemana-mana, tiada keberkatannya.” Seterusnya, beliau menekankan bahawa ilmuan mesti bersifat tawaduk. Perjuangan mesti bersih daripada sifat sombong, riak, takabbur dan ujub. Intensifkan pendidikan rohaniah, belajar untuk ikhlas dalam perjuangan.
Beliau turut menyatakan bahawa dalam 10 tahun memimpin WADAH, sangat berbahagia bersama pimpinan yang ada. Tidak memberikan masalah, walaupun ada peralihan serba-sedikit sepanjang 10 tahun tersebut. Peralihan, menurut beliau, mestilah berlaku dalam semangat kebangkitan sesuatu perjuangan itu. “Kita ada kekuatan dan kekuatan kita harus diperhitungkan. ‘Politic looks at the show of strength’. Belajarlah daripada pengalaman kebangkitan Islam tahun 1970an iaitu tidak punya kuasa -- dan tidak punya duit!”











4.0 “MEMBANGUN MAHASISWA BITARA: TERAMPIL DAN BERKEMAJUAN, MENUNTASKAN MISI PENCERAHAN
Rimbunan meneduh anjung rumah,
Rumah gedang menghimpun keluarga,
Ilmuwan tawadhu’ dambaan ummah,
Raga dimati menghidup jiwa.”
“Kalau Tuan pergi ke Kajang,
Singgah sebentar di Sungai Ramal;
Kalau Tuan orang berjuang,
Sungguh berdoa kuat beramal.” – Fazril Saleh.
Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) ke-54 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Kompleks Pendidikan Islam, Bangi. Presiden PKPIM, Saudara Mohammed Fazril Saleh tampil dengan tajuk “Membangun Mahasiswa Bitara: Terampil dan Berkemajuan, Menuntaskan Misi Pencerahan”. Beliau menegaskan bahawa intima’ ahli dan pimpinan dengan PKPIM bukan sekadar berkegiatan dan berpesatuan dalam masa-masa menjadi pelajar dan mahasiswa, tetapi adalah latihan membangun peribadi terampil dan berkemampuan, dalam memenuhi keperluan mencerahkan umat: “Intima’ kita dalam jemaah ni bukan intima’ ketika program sahaja. Intima’ kita, intima’ jiwa yang mengubah budaya hidup kita.”
Selanjutnya, Saudara Fazril menyentuh berkenaan nikmat yang kita perlu syukuri dan sebut sentiasa. “Apa saja yang kita perolehi, jangan lupa sebut berulang-ulang kali; sebagai tanda kita bersyukur. Percaya pada keyakinan dan kesungguhan.”
Deklamasi sajak bertajuk “Ceritakan Aku tentang Persahabatan” dari Saudara Fazril Saleh juga sangat menginspirasikan. Selain itu, beliau menggariskan empat input pembinaan generasi pemuda unggul; yang dikenali sebagai ‘Lingkung Kebitaraan’: Idealisme; intelektualisme; aktivisme; dan spiritualisme.
Beliau turut memetik nukilan sasterawan besar negara, Allahyarhamhu Pak Usman Awang: “Jgn takut melanggar pantang; jika pantang menghalang kemajuan. Jangan segan menentang kemajuan; jika yakin kepada kebenaran.”
Saudara Fazril menyifatkan pada generasi muda kini lebih matang dan bijak memilih sesuatu isu. Beliau berkata, generasi anak muda sekarang tidak mudah menurut kehendak orang lain. “Inilah generasi Facebook, Twitter dan WhatsApp. Malah, generasi kami ini mungkin tidak lagi percaya kepada konsep 'senioriti' dalam interaksi dengan orang yang lebih berusia, tetapi kredibiliti dalam memberikan penghormatan.”
Justeru, zaman ini adalah zaman golongan muda mengangkat prinsip kebebasan berfikir dan kebebasan berkehendak," katanya ketika menyampaikan ucapan. Katanya, ‎rakyat kini tidak seperti dahulu yang menelan bulat-bulat apa sahaja yang berlaku, kerana rakyat kini berani melakukan apa sahaja untuk menegakkan kebenaran.

5.0 MALAM TAUTAN BUDI DAN PELUNCURAN 8 BUAH BUKU.
Dalam program selama tiga hari tersebut, turut diadakan ialah ‘Malam Sanjungan Budi’; di mana beberapa orang tokoh jemaah WAP yang telah pergi; diangkat nostalgia sumbangan serta jasa bakti mereka.
Antara tokoh yang dihargai adalah: Dato’ Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor; Ramli Ibrahim; Prof Dr Khalijah Mohd Salleh; Sheikh Nia’mat Yusof; Sheikh Azmi Bin Ahmad; dan Abdul Wahab Zakaria. Semoga Roh mereka semua dicucuri Rahmat oleh ALLAH SWT.
Sempena Ijtima’ Harakiy kali ke-4 ini juga, terdapat 8 buah buku terbaru hasil nukilan aktivis dan pimpinan WADAH-ABIM-PKPIM yang diluncurkan dalam Seminar Ilmuwan 2015. Menurut salah-seorang penulis yang juga Exco ABIM Pusat, Dr. Zulkifli Hasan, gerakan WAP seharusnya menjadikan penerbitan buku itu satu tanda aras untuk menyemarakkan budaya ilmu dan melahirkan ilmuwan yg lebih ramai.

6.0 PENUTUP.
Tahniah atas pelantikan dan takziah atas pentaklifan kepada semua jawatankuasa WADAH-ABIM-PKPIM; khususnya buat Tuan Hj. Ahmad Azam bin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Presiden Ke-2, WADAH sesi 2015/18. Sekalung penghormatan juga diucapkan buat Saudara Fazril Saleh, yang kekal menjawat amanah selaku Presiden PKPIM.
Alhamdulillah, muktamar kali ini berlangsung dengan lancar meski melibatkan pembabitan ramai perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Antara nikmat yang amat bermakna ALLAH SWT kurniakan ialah terpilih untuk sama-sama berada dalam Madrasah Tarbiyyah WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) .Para muktamirin-muktamirat dari seluruh Malaysia berhimpun untuk Sidang Muktamar dan Seminar Ilmuan yang dijalankan. Dalam perhimpunan tersebutlah; berlangsungnya muhasabah jamaah dan penilaian qiyadah, dalam meraikan hari kebesaran jemaah.
Moga apa yang dibincangkan dan dipersetujui mendapat barakah ALLAH SWT. Tahniah kepada semua perwakilan, pemerhati dan jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan program selama 3 hari ini. Harapan tinggi diletakkan ke atas bahu pimpinan jamaah yang baru dlm memimpin kebangkitan ummat. Kobar jiwa merdeka; julang semangat zaman. Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!

----------------------------------------------------------------
Sumber dan Pautan:
  1. https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/pkpimalaysia?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/wadahpencerdasan.umat?fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/MLL4S?fref=ts.


.