Salam. :)
Saya sedang menghadapi peperiksaan akhir di UiTM. Tanggal-tanggal 25 Oktober sehingga 9 November ini adalah tarikh-tarikh penting bagi saya.
Sebagai seorang pelajar yang masih belajar dan perlu lulus semua kertas peperiksaan untuk bergraduasi, pastinya saya mengharapkan untuk lulus dengan cemerlang.
Justeru, saya pohon jasa baik semua sahabat agar mendoakan kejayaan saya. Sebagai seorang hamba ALLAH yang serba sederhana, saya masih punya impian yang besar untuk menjadi seorang manusia yang berjaya. Moga segala perit jerih dimakbulkan ALLAH. In sya ALLAH.
Hm, disebabkan terdapat jurang masa (lebih kurang 4 hari) antara Kertas Peperiksaan untuk Subjek-subjek Advanced Criminal Procedure II dan Bahasa Melayu Undang-Undang II, saya mengambil peluang ini dengan mendaki Bukit Broga di Semenyih.
Hal ini demikian bagi mengurangkan tekanan yang kami hadapi dalam menghadapi peperiksaan akhir kali ini. Buat release tension. :)
Tempatnya memang indah. Sungguh. Kendati, memang perlukan stamina yang tinggi untuk sampai ke puncak. Memang menduga sungguh. :)
Kami (saya dan beberapa orang sahabat saya) bertolak dari Shah Alam lebih kurang jam 4 pagi, dan tiba di Broga pada jam 6 pagi.
Kami tunaikan solat Subuh di tempat letak kereta di ladang kelapa sawit pinggir bukit tersebut. Satu pengalaman baru -- menunaikan solat Subuh di bawah rimbunan pohon-pohon kelapa sawit yang tinggi melampai. Dalam keadaan yang masih gelap (Subuh), solat yang ringkas jadi sangat bermakna dan terkesankan. Maha Suci TUHAN. :)
Kami mulakan pendakian lebih kurang pukul 6.30 pagi. Bermulalah kemudiannya rekreasi minda kami. Bak kata pepatah Arab, "Akal yang sihat adalah daripada badan yang sihat". :)
Ini adalah kerana badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan sekaligus meningkatkan kualiti kerja yang akan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang individu. :)
Sementelahan, sewaktu sampai di puncak bukit, saya bertemu dengan sekumpulan pendaki berketurunan Cina -- dua orang perempuan berusia lingkungan 40an, seorang perempuan berusia 64 tahun dan seorang lelaki berusia 72 tahun.
Menurut mereka, pendakian ke puncak Broga merupakan aktiviti lazim mereka. Hampir setiap hari mereka menjejaki puncaknya. Maka tidak hairanlah bila Uncle Chong yang berusia 72 tahun itu boleh tersenyum tenang dan ketawa sewaktu mendaki dan berbual dengan kami.
Uncle Chong, 72, dan sahabat baik saya, Khairul aka Gen.
Saya sangat kagum dengan semangat serta azam yang dipamerkan oleh Uncle Chong. Meskipun kurang fasih berbahasa Melayu, beliau memang sangat peramah dan menyenangkan.
Bukit Broga memang indah -- udaranya bersih dan nyaman. Paling menarik hati saya ialah beratus-ratus ekor burung layang-layang yang terbang dengan bebas dan riang di puncak bukit tersebut.
Tuntasnya, aktiviti yang asalnya dirancang secara spontan dan "last minute" ini akhirnya menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan; kerana di sebalik kepayahan mendaki Broga; saya temui bahawa -- "yang paling pedih itulah kemuncak syukur."
Sungguh! :)
Tragedi Tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat
Letusan Gunung Merapi yang terletak di sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta.
* Ayuh sedekahkan al-Fatihah buat mangsa Tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat serta mangsa letusan Gunung Merapi yang terletak di sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Semoga tragedi ini menginsafkan kita. Amin.
▼
Khamis, Oktober 28, 2010
Rabu, Oktober 13, 2010
Street Fighter: Bukan hanya permainan video!
Salam.
Saya kira -- belum terlambat untuk saya menghulur takziah dan simpati saya yang sekudusnya buat semua mangsa yang terkorban dan terlibat dalam nahas ngeri di Simpang Ampat, Lebuh Raya PLUS kelmarin.
Ayuh, sedekahkan bacaan Al-Fatihah yang setulusnya buat mereka.
Sementelah, di kala kita masih bersedih dan terkejut dengan berita tersebut, ada satu lagi perkara yang menarik serta ingin saya singgung dalam posting kali ini. Iaitu berkenaan sikap penyokong bola sepak kita.
Sikap ini sudah saya perhatikan sejak beberapa ketika. Saya merupakan penyokong setia The Red Giants (gelaran pasukan Selangor); tak pernah jemu ke Stadium Shah Alam sejak kecil untuk menyaksikan pasukan kegemaran saya beraksi.
Sewaktu kejatuhan Selangor (sekitar 1998-2001), saya masih tetap setia menyokong pasukan ini. Kerana bagi saya, kalah atau menang itu soal kedua. Soal pokok ialah kesetiaan serta sokongan padu.
Untuk apa jadi oportunis jika hidup dalam kepura-puraan?
Lebih kurang jam 8 malam tadi (selepas menunaikan solat Maghrib), saya terus ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan.
Saya berasa senang, kerana di kawasan saya duduk, ada dua-tiga orang penyokong Selangor berbangsa Cina yang menyaksikan perlawanan malam itu. Rupa-rupanya, masih ada tempat untuk bola sepak kita di hati mereka. Saya sangat bersyukur.
Saya sangat merindui kemeriahan serta kegemilangan sukan di Malaysia yang merentasi isu perkauman sempit.
Dulu kita ada Jeffrey Ong dan Nurul Huda Abdullah untuk sukan renang, M. Kumaresan untuk sukan berbasikal, Datuk Soh Chin Aun, Mendiang R. Arumugam (The Spiderman), Serbegeth Singh, Santokh Sing, Datuk James Ong, Mendiang Ong Yu Tiang untuk sukan bola sepak (sekedar menyebut beberapa tamsilan).
Dulu, kemenangan serta kejayaan atlet-atlet ini dianggap sebagai kejayaan negara dan rakyat.
Malangnya, kini ada kecenderungan untuk menganggap kejayaan atlet daripada kelompok kaum tertentu sebagai kejayaan negara. Selebihnya, jika atlet itu mempunyai darah keturunan bangsa lain, maka kita berkecenderungan menganggap ia sebagai kejayaan peribadi mereka.
Mujur ada pengecualian dalam kes Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicole Ann David. Mereka diangkat sebagai wira negara.
Sudahlah bidang sukan semakin dikesampingkan sejak di peringkat awal persekolahan (kebanyakkannya mengejar kecemerlangan akademik -- siapa dapat A paling banyak), kini isu perkauman sempit pula yang timbul.
Berbalik kepada perlawanan Selangor-Kelantan tadi:-
Yang membuatkan saya sangat tersinggung ialah sikap penyokong kedua-dua pasukan -- yang tidak punya semangat kesukanan serta sivik yang tinggi.
Sejak sebelum wisel permulaan dibunyikan lagi, mercun sudah mula dibaling ke arah padang dan tempat duduk penyokong lawan.
Kemudian, ada usaha untuk menyeberang had kawasan tempat duduk yang telah ditetapkan pengurusan stadium (dan diawasi oleh RELA dan FRU).
Natijahnya, tempat duduk dikopak dan dilontar ke arah kawasan penyokong lawan. Ada yang merusuh, seolah-olah hilang pedoman.
Selepas perlawanan tamat, kawasan luar stadium dijadikan gelanggang "street fight" untuk kedua-dua penyokong melepaskan nafsu amarah tidak bertamadun mereka. Bermula dengan cemuh-mencemuh, kemudian diikuti dengan adegan tumbuk-menumbuk dan sepak terajang.
Selebihnya, kita boleh sama-sama teka dan bayangkan apa yang berlaku bila berpuluh-puluh ribu manusia merusuh. Aduhai!
Menurut seorang sahabat saya, seorang telah meninggal dunia kerana kelemasan dan banyak kereta dirosakkan.
Jadi, tuntasnya; keputusan Selangor lawan Kelantan: 0-0.
Yang kalah: Bola sepak Malaysia.
Yang menang: Semangat kenegerian dan kebejatan sikap yang melampau.
Soal sikap memang takkan pernah habis. Sungguh!
Daulatkanlah assobiyyah mu itu.
Huh!
** p/s:: Gambar -- Amri Yahyah. Beliau merupakan kenalan abang ipar saya. Abang ipar saya orang Kelantan (Kampung Chicha) dan menetap di Seri Kembangan. Mereka berkenalan sewaktu Datuk Satim Diman menjadi pengurus Selangor (sekitar 2005). Amri Yahyah memang berbakat besar dan mempunyai penyokong yang ramai. Cuma, beliau perlu mengawal sikap di atas padang. Viva Selangor!
Khamis, Oktober 07, 2010
Tora datang lagi! :)
Kepada sahabat-sahabat yang membesar di zaman awal dan pertengahan 90an, pasti pernah tonton iklan “Tora datang lagi!”, kan? :) Iklan tentang kotak permainan yang berisi coklat bulat bulat dalam kotak warna putih (Tora) dan warna biru (Ding Dang).
Sewaktu kecil dulu, Arwah Atuk saya gemar belikan saya kotak permainan ini. Harganya murah. Permainannya pun pelik-pelik.
Tapi, posting saya kali ini bukan berkenaan Tora atau Ding Dang. Tapi soal minat melukis. Melukis?
Ya, saya memang sangat minat melukis sewaktu kecil dulu. Malah, saya menghasilkan beberapa buah komik yang dilukis dalam buku latihan, difotostat dan dijual kepada rakan-rakan sekolah. Antara judul komik amatur yang saya hasilkan ialah Satria Budak Kundang (ada 4 siri), Jamaica (juga ada 4 siri) dan Ceritera Lubuk Derita (novel+kartun).
Antara sahabat yang memberi sokongan padu ketika saya menghasilkan komik-komik tersebut adalah Shukoq (Abdul Shukur Mohammed), Pino (Hafinor Adnin) dan Allahyarham Apin (Hafiz Zainuddin), Fareez dan Jelik (Azli Yunus). Zaman kanak-kanak memang indah. Sungguh!
M.e.l.u.k.i.s.
Saya memang minat melukis, malah, pernah terdetik untuk menjadi kartunis (kerana zaman 90an, kartunis komik majalah Ujang, Gila-Gila, Gelihati, Boom! dan Rileks! adalah sangat popular dan berbakat.
** p/s: Sebenarnya, zaman kanak-kanak saya memang dipenuhi dengan bermacam cita-cita. Malah, pernah ada impian nak jadi penyanyi rock macam Amy Search (dengan rambut gondrongnya). Ah, kenangan! :)
Kendati, minat melukis saya semakin lama semakin terhakis (meski saya menjadi Ketua Unit Ilustrasi As- Saadah -- majalah sekolah saya) dan tidak pernah jemu menghantar karya ke majalah sekolah tersebut dan juga dimuatkan dalam Risalah Jumaat sekolah saya.
Minat ini benar-benar terhenti lantaran kesibukkan di universiti. Sejak tiga tahun lalu, tangan saya sudah jadi agak kaku untuk melukis.
Entah kenapa, sejak beberapa hari lalu, setelah 3 tahun berlalu, tangan saya jadi gatal untuk melukis semula. Dan, ini antara hasil yang sulung -- lakaran karikatur wajah pensyarah Prosedur Undang-Undang Jenayah saya -- Tuan Lee.
Meski tidaklah sempurna, namun saya memperoleh banyak komen yang menggalakkan daripada rakan-rakan di Fb dan kampus.
Sebab itu saya namakan posting kali ini sebagai -- Tora datang lagi! -- laksana minat melukis saya, yang telah lama pergi, dan secara tiba-tiba - datang lagi. :)
** p/s: Sekedar berkongsi -- suara latar untuk iklan-iklan Ding Dang dan Tora adalah milik pelawak terkenal 60an dan 70an -- Mat Sentul. :)
Dalam satu babak (dalam filem beliau) di mana Seniman Mat Sentul terperangkap di zaman Batu, beliau bertemu dengan seorang lelaki zaman Batu yang hanya bercakap dalam bahasa "Agagaga Agagaga Agagaga."
Lalu beliau membalas, "Agar-agar je ke? Karipap ke masalodeh tak de ke?" :)